Friday, 29 January 2010

:: Tidur ditemani puteri bunian?

Puteri bunian teman Pak Su Nus tidur

Oleh Sabaruddin Abd Ghani


MASYARAKAT dulu, terutama yang tinggal di pedalaman begitu taksub dengan kepercayaan karut-marut. Antaranya fobia dengan bulan mengambang. Kehadiran bulan yang melimpahkan cahaya di segenap alam itu dikaitkan dengan beberapa kejadian berunsur tahyul. Kenapa ini boleh berlaku? Apakah minda mereka terpenjara dengan lakonan syaitan?

Tetapi lain pula halnya dengan tiga sahabat iaitu Pak Ngah Rushi, Pawang Suhud dan Pak Su Nus. Mereka gemar menjala ikan pada waktu malam. Hobi sebegini yang tidak disenangi penduduk kampung.

Pendirian mereka jelas. Mereka tidak mudah percaya dengan kepercayaan yang tidak berpijak di bumi nyata. Mereka tidak mahu menjadi hamba kepada iblis dan syaitan! Cuma Allah saja tempat berlindung dan memohon pertolongan. Syirik berkiblatkan yang lain! Itu pegangan hidup tiga sahabat berkenaan.


Paling berpengalaman, Pawang Suhud (sudah meninggal dunia), rakan baik tiga serangkai ini menjadikan Sungai Lipis dekat Benta, Pahang sebagai lokasi menjala ikan. Anehnya, mereka tidak gemar menjala pada waktu siang, sebaliknya waktu malam menjadi pilihan, terutama ketika bulan mengambang.

Kisah menarik dialami tiga rakan ini berlaku pada awal 60-an. Sudah melewati setengah abad namun Pak Ngah Rushi yang kini berusia 70 tahun masih boleh mengingati peristiwa paling aneh pernah ditempuhinya itu.

Pak Ngah Rushi yang pada masa itu tinggal dan berkerja di Ladang Budu mengenali Pawang Suhud agak lama juga. Kalau bukan kerana Pawang Suhud seorang pengusaha gula kabung di Kampung Peruang, sudah tentu mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

“Kebiasaannya, musim kemarau dan waktu malam menjadi pilihan kami meredah sungai berkenaan mencari ikan. Bagaikan terkena candu, kami tidak senang duduk jika tidak menjala di sungai itu apatah lagi ketika bulan penuh.

“Hasil tangkapan berbaloi ketika musim kemarau melanda daerah Kuala Lipis agak lama. Ini membuatkan kami kemaruk hingga sanggup bermalam di tepi sungai berkenaan,” kata Pak Ngah Rushi.

Pak Ngah Rushi yang kini kembali menetap di Semeling, Kedah setelah pernah merantau di Benta selama hampir 10 tahun berkata, lokasi sekitar Jeram Besu terkenal dengan ikan seperti kenerap, sebarau, kaloi, baung dan tengas kerana arusnya agak deras selain berbatu.

Beliau yang masih sihat penglihatan dan pendengaran terus bercerita mengenai pengalaman menjala ikan bersama Pawang Suhud dan Pak Su Nus (juga sudah meninggal). Pawang Suhud dan Pak Su Nus yang tinggal di Kampung Peruang sanggup berjalan kaki sejauh kira-kira 6 kilometer kerana ketika itu belum ada jalan raya dibina di kampung berkenaan.

Tanpa menggunakan lampu suluh (kerana bulan mengambang), tiga rakan baik itu rancak menebar jala di lokasi yang paras airnya hanya paras lutut. Sesekali suasana hening terhibur dengan kesayuan suara burung pungguk. Hingga jam melepasi 10 malam, hasil tangkapan diperoleh lebih daripada cukup untuk dimakan. Ketika berehat seketika di tebing sungai sambil menghirup kopi o dan menghisap rokok daun, mereka disapa seorang lelaki separuh usia ditemani isterinya menjinjing jala menghala ke arah hulu sungai.

Mengesyaki sepasang suami isteri itu mungkin penduduk kampung berdekatan, tiga sahabat terbabit tidak menghiraukan mereka berlalu dari situ. Mereka terus menghirup kopi o yang dicicah biskut kering untuk mengalas perut.

Ketika Pak Ngah Rushi cuba menanggalkan jala yang tersangkut di celah batu, dia terpandang beberapa biji limau purut terapung di suatu kawasan yang airnya agak tenang.

“Pawang Suhud yang sememangnya arif dengan perkara misteri mengarahkan kami buat tak tahu saja sambil kami menjejak dari arah mana buah itu hanyut.

“Ketika sampai di suatu jeram yang airnya kurang deras, pak cik teruja apabila melihat kawasan itu diterangi cahaya kerdipan kelip-kelip dalam bilangan yang amat banyak. Dalam suasana hening diterangi bulan purnama, kawasan itu terserlah indah hingga membuatkan kami seakan terpukau menyaksikan fenomena aneh itu.

“Pawang Suhud yang dapat menerima isyarat fenomena menakjubkan itu sekali lagi mengarahkan kami berdiam diri sambil memerhatikan perkembangan seterusnya,” cerita Pak Ngah Rushi lagi.

Selama hampir setengah jam mereka memerhatikan kejadian itu, pelbagai perkara pelik seperti terhidu bau sabun mandi, air mengalir berbuih dan wangian semerbak menerjah ruang persekitaran.

Lebih teruja , kata Pak Ngah Rushi lagi ialah apabila Pak Su Nus ternampak kelibat beberapa gadis berkemban menyelinap di sebalik batu besar. Yang menghairankan, kemunculan gadis itu dalam beberapa saat hanya dapat dilihat Pak Su Nus.

Bimbang kehadiran mereka disedari makhluk halus itu, penjala diketuai Pawang Suhud itu beredar semula ke khemah pisang sesikat yang didirikan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Kejadian aneh tidak hanya berkesudahan di lokasi jeram kelip-kelip itu. Pada malam itu, dalam keadaan antara terlelap dan jaga, Pak Su Nus yang tersentuh badan Pawang Suhud yang sasa terasa lembut dan gebu. Bahagian muka orang tua itu juga terasa lembut, tiada misai dan janggut.

Pawang Suhud yang terjaga lantaran tindakan Pak Su Nus seperti mengigau itu kehairanan lantas mengejutkannya. Apabila terjaga, wajah Pawang Suhud direnung Pak Su Nus agak lama tapi kemudian kembali tidur.

Keesokan harinya selepas sarapan, Pak Su Nus menceritakan apa yang dialami pada malam itu. Sama ada realiti atau gangguan perasaan, Pak Su Nus menceritakan dia didatangi seorang gadis cantik lalu berbaring di sebelahnya.

Untuk tidak mahu dia dipersendakan, Pak Su Nus yang lurus bendul itu menunjukkan sekuntum bunga raya merah muda dijumpai dalam poket seluarnya. Siapa yang memberi dan meletakkan bunga dalam poket seluar orang tua itu?

Pengalaman diketemukan jeram kelip-kelip dipercayai tempat puteri bunian mandi itu dijadikan iktibar Pak Ngah Rushi. Ketaksuban masyarakat zaman dulu terhadap perkara yang gagal diselami akal manusia berasas kerana Allah turut mencipta makhluk lain selain manusia.

“Menurut fahaman orang tua dulu, bulan mengambang sering dikaitkan dengan kejadian menyeramkan seperti langsuir berkeliaran, anjing menyalak menandakan ternampak makhluk halus dan waktu digemari orang bunian atau pari-pari mandi di sungai atau air terjun,” kata Pak Ngah Rushi mengakhiri perbualan kami.

No comments:

Post a Comment