Wednesday 17 February 2010

:: Ilmu hitam di Brunei ?

Ilmu hitam amat dikutuk oleh Allah: Prof. Dato' Dr Haron

Oleh Aziz Idris

Prof. Dato' Dr Harun Din sedang menunjukkan cara rawatan. - Gambar Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Amalan ilmu hitam oleh manusia telah wujud berabad-abad lamanya dan penggunaan ilmu ini lebih menjurus kepada kejahatan dan ilmu hitam ini dikatakan berasal dari makhluk iblis dan makhluk ini adalah satu-satunya makhluk yang memiliki ajaran sesat.

Perkara ini dinyatakan oleh Prof. Dato' Dr Haron Din dari Malaysia dalam seminar mengenai perubatan Islam sempena majlis konvokesyen Darusysyifa' Warrafahah (DSR) hari ini.

Berangkat ke majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik.

Turut hadir ialah Mufti Kerajaan, Pehin Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Juned yang juga selaku ahli DSR.

Menurut Dr Dato' Haron, ilmu hitam telah wujud pada zaman Nabi Idris dan telah digunakan oleh kumpulan 'Bani Israil' pada tahun 586 Masihi.

"Ilmu hitam boleh didapati pada mana-mana komuniti tanpa mengira sejauh mana canggih atau primitif komuniti tersebut dan penggunaannya adalah dengan pemikiran melalui teknik atau strategi bagi faedah keduniaan tanpa menghiraukan nilai kewujudan," jelasnya. Pengamal ilmu hitam sanggup berbuat apa saja untuk memuaskan pelanggannya asal sahaja mereka mematuhi bayaran tinggi yang dikenakan dan katanya lagi, hasil dari ilmu hitam telah menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa termasuk penyakit yang tidak diduga tanpa penjelasan yang jelas dari pakar perubatan, perceraian, permusuhan, hilang kewarasan, sakit kepala yang kronik dan juga kematian.

"Ilmu hitam hanyalah ilusi dan ianya tidak wujud dan ilmu hitam ini mempunyai banyak definisi dari cendekiawan Islam tetapi semua definisi ini adalah serupa," katanya.

Dato' Dr Harun berkata ilmu hitam telah disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah dalam beberapa ayat dan beliau turut menjelaskan mengenai kesan ilmu hitam dan hukumannya dalam Islam. Amalan ilmu hitam, katanya adalah suatu dosa dan amat dikutuk oleh Allah dan terdapat banyak nama yang diberikan kepada pengamal ilmu hitam seperti 'bomoh', 'dukun' atau 'pawang'.

Ilmu hitam amat dilarang dalam Islam dan pengajian agama perlu menekankan mengenai kesan penggunaan ilmu hitam bagi mencegah penyebarannya. Seminar yang disusuli dengan sesi soal-jawab turut dihadiri oleh 400 peserta dengan 200 darinya adalah graduan DSR.

:: Darussyifa' ke Brunei

162 terima sijil perubatan Islam

Oleh Ak Fairol RMF
Gambar Infofoto


BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik hari ini berkenan berangkat mengurniakan sijil kepada 162 pengamal perubatan Islam yang menamatkan kursus pendidikan formal perubatan Islam Darusyssyifa' Warrafahah (DSR) dalam majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Bridex.

Kursus yang mengambil masa 80 jam pembelajaran dalam masa setahun itu mempunyai kursus ilmu dan kemahiran yang mengkhusus, seperti ilmu kemahiran bekam, herba untuk perubatan, urut tradisional dan lain-lain bidang ilmu yang dikira memenuhi visi dan misi persatuan, sebagai perubatan alternatif, khususnya perubatan Islam.

Kursus asas DSR mengandungi program pembelajaran kaedah pengubatan Islam dan asuhan pembudayaan mengistiqamah diri dengan disiplin amalan keimanan dan akhlak untuk kesempurnaan peranannya.

Menyertai program DSR adalah seperti mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi serta menentang syirik terhadapnya selain mengimani dengan sepenuh hati bahawa perubatan Islam adalah sebenar-benarnya wahyu Allah.

Presiden DSR, Dato Paduka Ahmad Bukhari Abu Hanafiah dalam ucapannya berkata, DSR berazam melahirkan pakar perawat tempatan dalam pelbagai bidang perubatan alternatif dengan iltizam bersedia berkhidmat ikhlas kepada masyarakat.

Di awal tahun 2007, sekumpulan 14 orang - kemudiannya menjadi 20 pengasas - sangat prihatin terhadap kebajikan umat Islam dan penduduk Brunei dalam perkara menyembuhkan penyakit yang tidak difahami dunia perubatan biasa.

Sunday 14 February 2010

:: Penunggu dan lembaga seiras beruk ?

Beruk gergasi kaut ikan dalam bot

Oleh Saiful Bahrin Mohd Shariff


CERITA yang hendak dikongsi ini benar-benar berlaku ketika sekumpulan pemancing meneroka perairan Pulau Jerejak pada April 2003 lalu. Pada suatu malam selepas selesai mesyuarat di pejabat, penulis dan seorang rakan - Suhairi, singgah makan dan minum di sebuah gerai di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sambil berbual datang pula rakan baik kami seorang peguam. Uzair namanya.

Perbualan kami malam itu semakin rancak apabila kehadiran seorang lagi penduduk tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Pak Long Din juga dari Bukit Mertajam. Topik malam ini bertambah menarik apabila tajuk cerita bertukar mengenai memancing. Pak Long Din orang yang paling menyerlah cerita pengalaman pasal ikan dan memancing.

Maka terjadilah perjanjian bersama Pak Long Din untuk keluar memancing di perairan Pulau Pinang seperti yang diceritakan. Masa yang ditunggu tiba. Maka bermula operasi kami dengan menaiki bot Pak Long Din di Batu Maung, Pulau Pinang. Kumpulan kami - Suhairi, Uzair dan penulis.


Jam tangan menunjukkan hampir jam 11 malam. Di lokasi pertama tiada sambutan memberangsangkan. Hanya anak kerapu dan gelama saja. Oleh kerana kurang yakin, Pak Long Din mengubah haluan ke lokasi Pulau Jerejak. Di perairan pulau berkenaan sambutannya juga hambar. Pak Long Din mulai tercabar dan agak malu dan apa yang digebangkan pada hari itu tidak menjadi.

Kami bertukar tempat lagi. Kali ini tidak jauh dari lokasi kedua tadi. Di lokasi ini agak menarik. Terdapat dua batu besar yang hampir tenggelam di pinggir Pulau Jerjak. Di sini barulah ada keyakinan sedikit. Ikan lapar agaknya. Kami tidak jemu melayan sentapan yang agak besar seperti kerapu, jenahak dan sebagainya. Pak Long Din tersenyum puas. Rasa malunya kian hilang. Apatah lagi beliau menaikkan pari hampir 15 kilogram dan hanya menggunakan tali koyan saja. Manakala Suhairi tidak henti-henti memutar kekili pancingnya sambil berteriak kegirangan.

Dalam keghairahan, Uzair tiba-tiba terpandang sesuatu lantas mencuit bahu penulis lalu bertanya: “Kau nampak sesuatu tadi?”

Sambil dia menunjukkan ke arah batu besar yang berdekatan dengan bot kami. Lantas penulis menjawab: “Aku tahu, tapi jangan bising. Diam sajalah”.

Beliau bertanya lagi: “Macam mana ada orang duduk atas batu tu. Macam mana dia panjat batu tu?”

Penulis cuba menenangkan fikirannya dengan memberitahu mungkin ada nelayan tempatan menunggu pukat yang dipasang dan datang dengan bot sendiri.

Kelibat orang di atas batu itu amat nyata seolah-olah sedang menghisap rokok. Pak Long Din merasainya dengan apa yang penulis beritahu dan mengakui dengan soalan Uzair, cuma mereka buat selamba saja.

Tiba-tiba kelibat orang itu hilang daripada pandangan. Penulis mulai cuak dan risau. Sementara itu, Suhairi tidak henti-henti menaikkan ikan sambil bergurau. “Hoi.... kau orang tengok ni.... Jenahak besar...,” katanya.

Penulis dan Uzair hanya senyum tawar.

Tiba-tiba Uzair bersuara: “Syok la... nanti naik hantu air baru padan muka...”

Penulis dan Pak Long Din tersentak dengan gurauan Uzair.

Tidak lama kemudian perkara pelik berlaku apabila hasil tangkapan Suhairi hilang satu persatu dari atas bot. Lantas beliau bersuara: “Siapa pulak sapu ikan aku ni...!”

Kemudian Pak Long Din bersuara: “Kamu duduk diam-diam... dia datang dah...”

Kami kehairanan. Kemudian bot kami rasa terumbang ambing seperti ada orang memanjatnya. Tiba-tiba wajah seekor berok berbulu tebal dengan sepasang mata yang merah berada atas bot . Penulis, Uzair dan Suhairi kecut perut dan seperti hendak pengsan. Suhairi terkencing dalam seluar. Apa boleh buat, kerana dia terlalu takut. Lembaga berkenaan merayap dengan menghulurkan tangannya yang panjang mengambil ikan kami.

Pak Long Din naik angin lalu bertempik dengan sekuat-kuatnya. Apa lagi meraunglah lembaga itu dan terjun ke laut berenang menuju ke Pulau Jerejak. Ketika lembaga berkenaan berada di pulau berkenaan suara jeritannya bergema hingga jelas kedengaran oleh kami dalam bot.

Hampir sejam menyepi, Pak Long Din menyambung semula aktivitinya selepas membelit semula ekor pari yang melibas badan lembaga tadi. Selepas itu, Pak Long Din menaikkan beberapa jenahak manakala kami yang sudah hilang semangat duduk berehat saja. Selepas itu kami pulang ke Jeti Batu Maung. Dalam perjalanan pulang Pak Long Din menceritakan semuanya supaya kami faham.

Kelibat orang di atas batu itu bukanlah manusia cuma penunggu pulau. Lembaga seiras dengan beruk pula adalah jelmaan syaitan dan iblis untuk mengganggu.

:: Dihantar pulang

Tidur di lubuk, terjaga di pangkalan

Oleh Nuri Angkasa


LIMA kali tarikh ditunda untuk turun memancing udang di hulu Sungai Semantan yang terdapat banyak lubuk udang galah bersepit biru tetapi sentiasa berdepan dengan bahaya sang bedal.

“Sebuah sampan besar dengan kuasa 25 kuda yang mengisi lima pemancing dan seorang tekong bot membawa kami ke hulu Sungai Semantan dengan harapan supaya dapat membawa pulang rezeki udang galah bersepit biru dengan banyak. Umpan cacing khas yang kami bawa dan anak udang kecil hidup mampu mengisi hajat kami yang besar,” demikian cerita Zubir sambil mengingati tragedi seorang rakan pancing disambar buaya tetapi pulang dengan selamat seminggu selepas itu.

Bertolak dari sebuah pangkalan di Kampung Bagan Jeram (bukan nama sebenar) pada awal pagi itu yang disifatkan langkah baik menurut ramalan tekong Dolmat, anak tempatan Temerloh, Pahang. Tekong berusia 25 tahun itu menganggap sepanjang Sungai Semantan adalah laluan permainannya walaupun ada kalanya berdepan dengan bahaya tetapi itu boleh dielak. Cuma pantang larang mesti dijaga dan mulut tidak terlepas cakap.


Lubuk pertama ditemui. Pancang sebatang kayu mati tidak jauh dari tebing sungai yang penuh dengan pokok rimbun dijadikan lokasi mencuba nasib kerana lokasi sebenar masih jauh ke hulu. Salim dan Mazlan menggunakan tiga batang joran serentak. Mereka menurunkan umpan cacing. Mazlan paling pantas mendaratkan seekor udang sederhana besar dan diikuti oleh Salim.

“Ada ummph lubuk ni Dol,” Salim bersuara gembira memandang tekong Dolmat yang berehat di tepi rumah enjin sangkut.

“Saya sendiri berjaya mendaratkan lima ekor udang galah,” cerita Zubir dan mengakui tekong Dolmat ada petua tersendiri kerana beberapa minit selepas itu beliau berpindah lokasi.

Air di lubuk itu bergelombang sebaik saja kami tinggalkan tetapi tekong Dolmat tidak menunjukkan reaksi perubahan air mukanya. Kami pun tidak bertanya sebab musababnya.

Lubuk kedua airnya lebih tenang berbanding lubuk pertama. Kawasannya juga lebih luas. Sebatang pokok besar mati menjadi labuhan. Kami terpaksa berhati-hati memancing kerana di bawahnya penuh dengan ranting dan dahan pokok besar yang masih belum rapuh. Saiz udang di sini agak besar dan sepitnya biru berlumput. Ini dibuktikan oleh tekong Dolmat sendiri yang turut sama memancing dan berjaya mendaratkan udang galah besar. Ini mendorong kami bagaikan tidak sabar untuk melakukan kejutan hampa sebab udang di sini bijak menarik tali pancing ke celah dahan kayu lalu.

Lokasi kedua ini tidak banyak rezeki yang didaratkan tetapi berbaloi kerana saiznya besar. Dua buah sampan kecil kepunyaan rakan tekong Dolmat memintas kami. Sambil melambai tangan, mereka terus memecut laju ke hulu. Dua jam kami berada di labuhan itu kerana berminat dengan udang bersaiz besar.

“Saya sendiri cuma dapat empat ekor tetapi berbaloi berjemur dua jam,” tambah Zubir.

Malam itu kami bermalam di kawasan lubuk tidak jauh dari tebing sungai. Kelihatan ada lampu pada beberapa tempat seperti ada orang memancing tetapi kami tidak bertanya dan tekong Dolmat juga tidak menyatakan apa-apa.

Kami diam dan terus memancing hingga jauh malam. Ketika jam 1 pagi suasana mula dirasakan berlainan. Bau wangi dapat dihidu dengan jelas dan angin bertiup lembut bagaikan berlagu. Kami berpandangan tetapi tekong Dolmat terus berehat sambil menghisap rokok.

Jauh sayup-sayup terdengar ketawa yang menyeramkan bulu roma dan pada permukaan air di lubuk itu ada beberapa bola mata merah mengintai kami.

“Kita tidur dulu, lepas itu kita memancing semula,” kata tekong Dolmat mengarahkan kami untuk tidur dan beliau memasangkan lampu lebih besar di hadapan dan belakang bot.

Kami tidur bagaikan dipukau. Kami pun tidak lagi mendengar suara ketawa kerana lelap dengan pantas.

Esoknya kami terjaga kerana dikejutkan dengan suara orang ramai. Kami hairan kerana sudah berada di Jeti Bagan Jeram tempat mula kami turun. Orang ramai sudah berada di kawasan itu.

“Macam mana kita boleh ada di sini? Malam tadi kita berlabuh di lubuk!” Salim bingung memandang tekong Dolmat yang hanya tersenyum.

“Kita dah selamat, bersyukur sahajalah,” dia menutup cerita ekspedisi memancing udang di hulu Sungai Semantan.

Tetapi yang menjadi misterinya ialah bagaimana mereka boleh berada di Jeti Bagan Jeram tempat turun memancing sedangkan mereka tidur di lubuk yang ada tanda-tanda keras tempatnya?

Itulah misteri yang sukar di jawab tetapi ia berlaku.

Saturday 13 February 2010

:: 5 jam terpukau

Pulau Tokong Burung lesap dari pandangan

Oleh Nuri Angkasa

DIA tidak menafikan bahawa laut menyembunyikan banyak misteri yang tidak terdapat di darat. Namun trip memancing selama tiga hari, dua malam yang dianjurkan oleh kumpulan enam pemancing itu kali ini menepati kehendak mereka yang diketuai seorang anak tempatan Kota Tinggi, Johor.

Selepas melakukan persiapan, kumpulan itu terus ke sebuah perkampungan nelayan di Penyabung, Endau, Johor. Bot mereka tidak berlengah-lengah lagi meninggalkan jeti Penyabung kerana mengejar masa dan air yang dianggap paling sesuai.

Tekong Ali Kerapu (gelaran di kalangan tekong dan pemancing) begitu yakin dengan masa yang diburu itu boleh membakar semangat pemancing dengan ikan yang bakal didaratkan.


Pulau Tokong Burung wujudnya seperti menjadi perumahan kekal burung camar laut sambil memberi makanan sampingan kepada spesies ikan berkawan jenis cupak yang merebut najis burung camar yang jatuh ke laut.

Pulau itu terletak agak jauh dari daratan Penyabung. Ia juga berjiran dengan Pulau Seribuat yang sentiasa menjadi meletak harapan yang menggunung tinggi bagi pemancing.

Bot yang membawa kumpulan yang memberi gelaran Wira Enam itu berlabuh pada satu unjam yang ditunjuk oleh burung laut.

“Di lokasi itu, kami mengaut ikan selar dan kembung,” cerita Husayn kepada penulis untuk mengisi halaman misteri kali ini.

Sebaik saja dapat memenuhkan satu tong merah sederhana dengan ikan selar, kembung, tamban dan selayang, mereka dibawa oleh Tekong Ali ke satu labuhan kapal karam (kapal perang tentera Jepun yang karam).

“Saya sendiri membuka tirai apabila mendaratkan seekor ikan jenahak seberat 4 kilogram sebaik saja bot stabil dalam ruang labuhan.

“Ini diikuti oleh tiga lagi rakan pancing lain,” cerita Husayn lagi.

Dua jam di lokasi itu, mereka meraih pelbagai spesies ikan karang. Kemudian mereka beredar menuju ke Pulau Tokong Burung yang kelihatan berbalam terang di hadapan.

Sudah satu jam mereka meninggalkan lubuk kapal karam tetapi bot masih belum berjaya tiba di Pulau Tokong Burung. Tekong Ali terus menjejaki pulau itu yang kadang kala hilang kemudian muncul semula. Ini menyebabkan Tekong Ali berada dalam keadaan seperti terpukau.

“Kami mula rasa kurang senang bila melihat keadaan tekong yang masih terus menjejak pulau itu sedangkan masa sudah mencecah lima jam perjalanan. Ertinya sudah jauh kami meninggalkan lubuk kapal karam. Sedangkan untuk sampai ke Pulau Tokong Burung cuma satu jam saja dari lokasi labuhan kami,” tambah Husayn lagi.

Beliau masih ingat dialog di lokasi ketika itu.

“Kita nak ke mana ni?” tanya Husayn setelah dirasakan ada sesuatu yang mempengaruhi Tekong Ali.

“Ke Pulau Tokong Burung, aku nampak lampu,” jawab Tekong Ali dengan penuh yakin.

Husayn terpaksa membantah kerana dia sudah biasa di kawasan perairan itu.

Lalu dia pun membaca ayat Qursi tiga kali dan bermohon kepada Allah untuk menunjukkan jalan sebenar ke Pulau Tokong Burung lalu ditiup ke muka Tekong Ali. Tekong itu serta-merta seperti terjaga dan bertanya keadaan sebenar yang berlaku lalu mengambil langkah pantas berpatah balik kerana nyata botnya sudah berada jauh ke tengah Laut China Selatan.

Lebih tiga jam mereka berpatah balik dan menemui semula Pulau Tokong Burung. Sambil itu, mereka bersyukur kepada Allah yang membuka jalan kembali dan berterima kasih kepada Husayn yang berjaya memulihkan pendirian Tekong Ali yang dipercayai dirasuk oleh makhluk halus untuk tujuan jahatnya.

“Kami tidak singgah di Pulau Tokong Burung dan terus membatalkan hasrat untuk memancing. Kami terus balik ke jeti Penyabung pada malam itu juga,” cerita Husayn sambil menamatkan misteri menjejak pulau yang hilang dan mengharap ada seorang yang boleh membantu jika berdepan dengan keadaan yang dirasuk hantu syaitan ketika memancing di tengah laut atau dalam hutan.

Friday 12 February 2010

:: Diganggu puaka ikan

Tidur di kelong, terjaga di kolam Ah Tong

Oleh Nuri Angkasa


SEBAIK saja meninggalkan jeti Sungai Besar, Selangor pada tengah hari itu, sekumpulan lima orang kaki pancing Sungai Buluh diketuai oleh jagoan pancing kolam iaitu Zaidi, dipelawa tekong Yop Atan untuk turun memancing di tukun konkrit dan tukun bot karam yang sudah bertahun bersemadi di dasar laut.

Lokasi tukun itu sudah dikenali sebagai lubuk harapan nelayan tempatan atau boleh diterjemahkan sebagai lokasi periuk nasi mereka yang bergantung hidup pada laut. Tekong Yop Atan satu nama baru bagi mereka yang diperkenalkan oleh Pak Herman yang sesekali datang ke Sungai Besar dan kadang kala berada di restoran lima bintang di Bandar Baru Sungai Buluh. Justeru daripada cadangan orang tua inilah rombongan lima ahli pemancing diperkenalkan kepada tekong Yop Atan yang berwajah garang bermisai panjang tetapi hatinya baik. Cuma beliau kurang bercakap.

Mereka dibawa ke satu jeti lain untuk mendapatkan sotong dan ikan segar yang baru saja dibawa pulang dari laut. Satu bakul kecil sotong dan dua bakul ikan kembung segar diambil begitu saja tanpa membayar sesen pun.


Dari jeti tempat memunggah ikan dari laut yang begitu sibuk pada ketika itu, mereka bagaikan terpanggil untuk mengingati kisah berkenaan. Bot nelayan sederhana besar tetapi lengkap sebagai sebuah bot mewah digunakan dalam trip itu, cerita Boboy anak muda kelahiran Sungai Buluh yang turut serta dalam rombongan lima orang itu. Katanya, mereka dua kali memintas sebuah sampan kayu yang didayung seorang tua bertopi lebar.

Cara berdayung sudah lama tidak digunakan kerana enjin sangkut dan enjin dalam sudah diperkenalkan. Tetapi bagaimana orang tua itu muncul dalam keadaan dunia yang sudah berubah? Apa pun cerita itu hilang begitu saja kerana sebuah lubuk ikan sudah ditemui oleh tekong Yop Atan. Bot dilabuhkan sambil beliau memberi isyarat supaya pemancing memulakan aktiviti memancing dengan melakukan pancing dasar.

Kedalaman air di kawasan itu cuma beberapa meter saja tetapi ikan merah bagaikan menggila memburu umpan sotong yang dihiris dua memanjang. Zaidi pula terus menerus mendaratkan ikan jenahak, rakan lain seperti Zam Zam dan Badrul pula jenuh bertarung dengan kerapu.

“Saya dan Yassin cuma dapat gelama pisang dan mayung saja,” cerita Boboy lagi sambil mengakui bahawa ada kelainan pada suasana laut ketika itu. Ini kerana ikan yang dipancing bagaikan berbulan tidak makan.

Tekong membawa mereka berpindah walaupun di lokasi pertama ikan masih memburu umpan namun tindakan tekong adalah muktamad. Lokasi kedua ialah sebuah kelong yang tidak bertuan.

“Kami singgah dan naik dengan arahan tekong supaya kami dapat berehat sebelum turun memancing semula dalam suasana lebih bertenaga. Selepas itu kami akan menuju lokasi yang paling mencabar dan akan berdepan ikan besar.

“Rehat dan tidur dulu, nanti apabila tiba masa saya akan kejutkan awak semua,” cerita Boboy memetik kata-kata tekong memberi harapan tinggi menggunung kepada mereka untuk bertarung dengan ikan besar.

Boboy berkata, selepas itu mereka berehat dan terlelap bagaikan terlalu letih serta mengantuk selepas masing-masing melalui sesi pertarungan hebat.

“Kami terjaga sebaik saja digerak oleh Ah Tong (seorang taukeh kolam pancing) dengan mengatakan bahawa kami masuk kolam tanpa membayar dan tidur begitu lama.

“Semua rakan saya terkejut, terutama Zaidi yang terus mengatakan bahawa mereka ada di laut bersama tekong Yop Atan dan mereka tidur di kelong.

“Mana ada kelong, ini bukan laut, ini kolam pancing. Awak selalu datang sini Zaidi, apa macam semua boleh tidur,” kata Ah Tong sambil ketawa besar dan menepuk bahu Zaidi. Dia kemudian pergi sambil menggeleng-geleng kepala.

Semua terdiam dan duduk semula di kerusi panjang tempat mereka tidur. Zaidi berjalan sambil berfikir, kemudian memandang Boboy .

“Bukankah kita sama-sama turun di jeti Sungai Besar dan memancing dengan tekong Yop Atan? Macam mana boleh ada kat kolam pancing Ah Tong,” kata Zaidi menggelengkan kepala.

Misteri itu sehingga hari ini masih belum terjawab. Malah tiada seorang pun yang mahu mengingatinya semula terutama Zaidi yang terus menganggap biarlah misteri itu tinggal sebagai misteri.

Thursday 11 February 2010

:: Disergah harimau tepok

Orang tua, harimau tepok jaga tasik Bukit Koman

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

SEKITAR 1960-an, kawasan tertentu di Raub, Pahang menjadi sarang gerombolan komunis termasuk bekas lombong emas di Bukit Koman. Tempat itu sering dikunjungi anggota pengganas terbabit untuk mengambil air dan memancing.

Sesekali mereka dilihat muncul di tepian bekas lombong seakan-akan tasik itu untuk memancing. Antara ikan yang menghuni di situ ialah kaloi, puyu, haruan dan keli. Penduduk yang memancing di situ jarang pulang dengan tangan kosong. Habis tidak pun tiga atau empat ekor kaloi dijinjing pulang, cerita Wang Chik.

Mengimbas kenangan memancing di situ sekitar 60-an, Wang Chik (bukan nama sebenar) mengakui ketika itu ada antara penduduk pekan kecil terbabit yang majoriti dihuni masyarakat Tionghua pernah terserempak dengan gerombolan komunis memancing dan mandi.


Pun begitu, katanya, dia dan dua rakan sebaya iaitu Boon Chai dan Bakri sesekali mencuri masuk ke lubuk itu kerana mahu menguji kegelojohan haruan dan kaloi meratah umpan.

Kenakalan tiga rakan tinggal berjiran itu sering mengunjungi tasik terbabit yang jika nasib kurang bernasib baik boleh mengundang risiko; membuatkan ibu bapa mereka naik angin.

Kesan lebam di telinga kanan Wang Chik dipulas ibunya membuktikan kedegilannya mengetepikan nasihat ibunya.

Bagi Wang Chik yang ketika itu menjangkau usia 18 tahun, ada sesuatu yang lebih merangsang dirinya untuk ke tasik itu. Dia tetap ke situ selagi apa yang dihajati belum kesampaian.

Dia tidak akan menceritakannya kepada sesiapa pun, melainkan apa yang diidamkan itu tertunai.

Pada hari itu, Sabtu jam 8.30 pagi, tiga serangkai ini dengan menggunakan tipu muslihat sekali lagi berjaya menyelinap ke lokasi yang sering mereka kunjungi itu. Cuma mengambil masa kira-kira 15 minit memandu kereta Datsun model 1960 yang dipandu Boon Chai, lokasi diidamkan berada di depan mata.

“Cuaca hari itu redup tetapi sehingga jam 11 pagi, tiada seekor ikan pun menyentuh umpan. Kami mula berasa bosan dan bersiap-siap mengemas peralatan untuk pulang.

“Namun, sebaik saya bangkit, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an muncul dari rimbunan pokok senduduk sambil membuang sesuatu ke dalam tasik. Orang tua tepuk (cacat) kaki kanan itu rasanya pernah saya temui di Sega tapi tak ingat bila,” cerita Wang Chik lagi.

Tidak lama selepas lelaki berusia melepasi setengah abad itu menabur sesuatu ke dalam bekas lombong, hujan agak lebat membasahi persekitaran. Ketika air tasik berkocak disiram hujan, kelihatan ikan rancak menyambar sesuatu.

Ada harapan nampaknya, itu ungkapan yang terdetik dalam hati Wang Chik.

Boon Chai dan Bakri kelihatan kalut mengenakan semula umpan pada kail masing-masing. Habuan pertama diperoleh apabila Boon Chai yang menggemari haruan, teruja dengan seekor haruan sebesar betis menggelupur di hujung kail.

Kali ini, nasib Wang Chik kurang menyerlah. Kailnya cuma mampu menjinakkan dua kaloi dan seekor puyu sebesar tiga jari sedangkan Bakri dan Boon Chai bagaikan berpesta ikan dengan tangkapan cukup lumayan untuk dijamu seisi keluarga.

“Pak cik tak berputus asa lalu beredar kira-kira 50 meter dari lokasi asal. Sambil memancing, mata melilau mengawasi persekitaran. Takut juga, manalah tahu sedang asyik memancing, harimau menyeringai di sebelah.

“Di situ pun kail pak cik kurang menjadi. Tangkapan yang dinaikkan dua ekor anak kaloi bersaiz tiga jari seakan-akan menguji kesabaran pak cik,” cerita Wang Chik lagi.

Wang Chik yang kini berusia 66 tahun dan menetap di Kampung Paya, Kota Kuala Muda menganggap peristiwa pernah dialami ketika remaja itu paling berharga baginya. Sukar baginya untuk melupakannya.

Kesan dua tapak kaki harimau yang dijumpai di tepi tasik berhampiran tempat dia menaikkan anak kaloi itu juga menghairankannya. Adakah tasik itu menjadi tempat harimau mandi atau minum?

Namun, persoalan itu terjawab ketika Wang Chik membuka pintu bahagian hadapan kereta Boon Chai sewaktu mereka mahu meninggalkan bekas lombong emas itu. Enam baung sebesar lengan yang dibungkus daun pisang menggeletek di tempat duduk sebelah pemandu.

Hasrat Wang Chik mahu membuktikan kepada penduduk pekan berkenaan yang tasik itu dihuni pelbagai spesies ikan termasuk baung kesampaian. Cemuhan penduduk menyatakannya budak mentah terpalit ke muka mereka sendiri.

Melihatkan kejayaan Wang Chik membawa pulang baung, seorang penduduk bertanya sama ada dia ada didatangi seorang lelaki tua tepuk ketika memancing di tasik itu. Ini kerana, penduduk itu mendakwa apa yang berlaku ke atas Wang Chik sama seperti pernah dialaminya.

Penduduk itu yang hampir putus asa bagi mendapatkan seekor patin untuk sajian isterinya yang mengandung anak sulung, akhirnya kesampaian apabila memancing di tasik bekas lombong itu selepas diberi sebatang rokok daun oleh seorang lelaki tua yang kaki kanannya tepuk.

Cerita lain lebih menarik ialah pernah sekumpulan enam pemancing yang datang ke tasik itu untuk menuba disergah dan diekori seekor harimau berbadan sasa yang sebelah kakinya tepuk. Dua hari selepas kejadian itu, tiga daripada mereka mengalami sakit misteri dengan meratah ikan mentah.

Apa pun, pelbagai andaian dibuat, ada yang yakin harimau itu jelmaan lelaki tua yang menjaga kawasan berkenaan.

Ada pula yang membuat andaian haiwan itu cacat mungkin terkena jerat atau perangkap dipasang komunis. Bagi Wang Chik, kegagalannya menjejak lelaki tua itu yang pernah bertemu di Sega menganggap itu semua berlaku atas kehendak Allah.

“Tasik itu menyimpan pelbagai misteri tersendiri. Pernah juga pak cik dengar cerita tasik itu ghaib tidak ditemui, mungkin yang datang ke situ dengan niat tidak baik.

Wednesday 10 February 2010

:: Penangan puyu di parit

Diserang kerbau jadian di ladang kelapa sawit

Oleh Zaiton Abdul Karim

MUSTAFA, Bakar, Jamal dan Hamid adalah sahabat karib yang amat gemar memancing. Hampir setiap hujung minggu mereka akan keluar untuk memenuhi hobi itu. Pantang mereka mendengar ada tasik, kolam , sungai atau tali air yang banyak ikan, pasti mereka akan pergi menduga. Bagaimanapun kumpulan pemancing ini tidak pula gemar memancing di laut.

Pada suatu hari, Mustafa mencadangkan mereka pergi ke kampung rakan sekerjanya di Muar, Johor. Menurut kawannya, parit saliran di kebun sawit bapa saudaranya banyak dihuni ikan puyu sebesar tiga empat jari. Penduduk kawasan itu pula menurutnya tidak menggemari ikan puyu.

“Ini peluang baik! Sambil memancing boleh buat duit sikit!,” kata Bakar girang apabila mendengar cadangan yang menarik itu.


Orang di kampungnya memang lebih menyukai ikan puyu berbanding ikan air tawar yang lain. Harga ikan itu yang siap disiang boleh mencecah RM12 sekilogram.

“Aku nak bawa jaring sekali,” sambungnya lagi.

Rakan lain hanya tersenyum melihat telatah sahabat mereka yang memang pandai mencari duit lebih itu.

Pada hari Sabtu berikutnya, pagi-pagi lagi mereka berkumpul di rumah Jamal. Dari situ, mereka akan menaiki van Jamal ke Muar. Masing-masing akan berkongsi membayar duit petrol untuk perjalanan kali ini.

Perjalanan ke Muar hanya mengambil masa satu jam dari kampung mereka di Melaka. Rakan sekerja Mustafa, Zulkifli sedia menunggu di tempat yang dijanjikan. Empat sekawan itu begitu teruja apabila melihat begitu banyak ikan puyu di dalam parit yang amat jernih airnya. Ikan itu berenang bertali arus secara berkumpulan dengan saiz yang memang jauh lebih besar berbanding ikan puyu di kampung mereka.

Mustafa, Jamal dan Hamid mula mengambil tempat untuk menghulurkan joran masing-masing. Zulkifli meminta izin untuk beredar dulu kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Bakar pula memilih sebatang parit lain yang terletak 15 meter dari situ dan mula memasang jaringnya. Dia kemudian turut memancing di parit yang sama dengan rakan lain.

Ikan puyu tidak menunggu lama untuk memakan umpan. Keempat-empat sahabat itu bersorak kegembiraan setiap kali ikan puyu mengena mata kail masing-masing. Tidak sampai dua jam, tong ikan mereka dipenuhi dengan tangkapan.

“Aku nak tengok jaring aku!” kata Bakar sambil beredar meninggalkan rakannya. Bakar berasa pelik apabila mendengar bunyi kerbau menguak. Dia sudah lama tidak melihat haiwan itu. Penduduk kampungnya pun tidak lagi memelihara kerbau. Seingatnya kali terakhir dia melihat kerbau adalah di sekitar tahun tujuh puluhan. Bunyi itu semakin kuat apabila Bakar semakin menghampiri tempat dia memasang jaring.

Bakar melihat seekor kerbau jantan yang agak besar dan seorang lelaki bersama seorang budak perempuan yang berusia tiga atau empat tahun berdiri beberapa meter di hadapannya. Kerbau jantan sedang merenung dua beranak itu sambil menguis-guis kaki hadapannya dengan marah. Dengusan nafasnya kedengaran agak kuat. Tiba-tiba kerbau jantan itu meluru ke hadapan dan menanduk budak perempuan itu. Budak kecil itu terpelanting sebelum terhempas ke tanah. Seluruh badannya berlumuran darah. Si ayah terjerit kuat dan segera berlari mendapatkan anaknya.

Bakar pun menjerit sama. Dia amat terkejut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Kerbau jantan yang naik minyak itu berpusing ke arah Bakar pula. Ia meluru laju dan dan menanduk Bakar dengan kasar. “Ya, Allah selamatkan aku!” laung Bakar apabila terasa tanduk kerbau itu mengoyakkan daging di dadanya.

“Krakk!” Bakar dapat mendengar jelas bunyi tulang bahu dan tangan kanannya patah akibat tandukan kerbau itu. Seluruh badannya juga terasa dipijak-pijak dengan ganas oleh haiwan itu dan akhirnya dia tidak sedarkan diri.

Rakan lain amat cemas apabila mendengar jeritan Bakar. Lebih terkejut apabila melihat Bakar tertiarap di atas tanah dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Mereka memandang sekeliling tetapi tiada sesuatu yang mencurigakan. “Cepat! Cepat! Kita bawa ke hospital,” teriak Jamal apabila Bakar masih pengsan setelah ditepuk berkali-kali. Jamal bimbang jika Bakar dipatuk ular berbisa kerana ladang sawit itu memang menjadi habitat pelbagai jenis ular.

Bakar mula sedar apabila hampir sampai di hospital. Seluruh badannya terasa amat sakit, katanya. Jamal, Hamid, Mustafa berpandangan sesama sendiri apabila mendengar cerita Bakar. Mereka tidak pula ternampak kelibat kerbau jantan dan dua beranak yang diserangnya. Setelah pemeriksaan dijalankan, tiada keretakan atau patah tulang yang dialami oleh Bakar.

Bakar akhirnya sedar bahawa kejadian itu hanyalah mainan syaitan. Namun dia tidak pernah serik untuk memancing lagi. Bakar dan rakannya kini lebih berhati-hati memilih tempat yang ingin mereka kunjungi selain menambah serba sedikit ilmu di dada sebagai bekalan jika menghadapi gangguan yang serupa.

Tuesday 9 February 2010

:: Suara meminta beredar

Ular, suara misteri di air terjun Tengkil

Oleh Noh Ismail


SETIAP kali pergi memancing di hulu sungai atau kawasan air terjun, penulis pasti teringat peristiwa yang berlaku pada dua tahun lalu. Kejadian berlaku ketika penulis pergi memancing ikan tengas di air terjun Sungai Tengkil di kaki Gunung Muntahak. Peristiwa itu tidak akan penulis lupakan sampai bila-bila.

Begini ceritanya. Pada satu pagi minggu, penulis bersama tiga orang rakan iaitu Aziz TNB, Che Mat dan anak saudaranya bernama Yusri, berpakat masuk hutan. Penulis cadangkan pergi ke air terjun Sungai Tengkil di kaki Gunung Muntahak, kira-kira 20 kilometer (km) dari tempat penulis di Bandar Tenggara. Kebetulan penulis sudah lama tidak ke situ. Mungkin ikan tengas daun yang banyak di situ sudah besar disebabkan tempat itu jarang dimasuki orang.

Dalam kumpulan itu, cuma penulis dan Che Mat minat memancing. Aziz pula minat mencari dan mengumpul orkid hutan. Sementara Yusri minat dalam hal-hal fotografi. Kawasan air t yang bertingkat itu mempunyai pemandangan menarik untuk dirakamkan dalam kamera. Cadangan penulis dipersetujui, kerana selain penulis mereka bertiga memang tidak pernah pergi ke air terjun itu.


Selepas menyiapkan peralatan dan membeli bekalan makanan, kami berempat bergerak ke destinasi dengan menaiki van kepunyaan Aziz. Selepas melalui jalan raya sejauh hampir 12km, van kemudian memasuki jalan lombong berlubang-lubang sejauh hampir 8km. Dulu kawasan itu lombong bijih timah. Sekarang ia bertukar menjadi lombong pasir. Pada hari minggu, lombong pasir ditutup. Di penghujung jalan terdapat sebuah pagar besi yang berkunci. Jadi, kenderaan tidak boleh memasukinya kecuali motosikal. Pada hari biasa, berpuluh lori masuk ke kawasan lombong untuk mengangkut pasir.

Tempat yang akan kami masuk tidak jauh lagi - kira-kira 3km. Tetapi memandangkan jalan tidak boleh dilalui, kami memutuskan untuk berjalan kaki. Van diletakkan bersebelahan pintu pagar. Kelihatan Gunung Muntahak berdiri megah di hadapan seolah-olah menyambut kedatangan kami. Untuk sampai ke kaki gunung, kami terpaksa meredah bekas lombong lama yang tidak berpokok. Bahang matahari terasa begitu panas sekali. Kami juga terpaksa meredah semak samun, resam tebal dan kawasan paya serta mengharung anak sungai sedalam paras pinggang.

Selepas sejam berjalan, kami akhirnya tiba di pinggir hutan. Bunyi air terjun jelas kedengaran. Sebelum itu, kami terpaksa meredah belukar rumput resam tebal untuk tiba di jeram. Penulis berjalan di hadapan diikuti rakan lain. Tiba-tiba terdengar Aziz menjerit: “Lari...! Lari...! Penyengat...!”

Kami bertempiaran lari. Habis semak resam dirempuh. Tiba di jeram, kami berhenti rehat. Masing-masing tercungap kepenatan. Aziz kena dua sengatan di tangan dan badan. Rupanya ada penyengat bersarang dalam rumput resam dan diredah oleh Aziz. Pelik juga macam mana penulis yang berjalan di depan tidak terlanggar sarang penyengat itu. Aziz yang berjalan paling belakang pula yang terlanggar.

Hilang penat, kami menyambung perjalanan ke air terjun beberapa meter lagi di hadapan. Kami sampai di tingkat pertama air terjun. Terdapat kolam di bawahnya tetapi tidak berapa dalam. Kelihatan hanya anak ikan tengas berkeliaran. Kami naik ke atas lagi dan sampai ke tingkat kedua air terjun. Terdapat sebuah kolam yang agak dalam, kelihatan banyak ikan tengas daun bersaiz agak besar berenang ke sana-sini.

Penulis dengan tidak berlengah terus memasang pancing. Begitu juga Che Mat. Aziz yang pulih sedikit setelah disengat, sibuk dengan aktivitinya mencari orkid hutan. Yusri pula sibuk mencari sudut sesuai untuk merakamkan gambar pemandangan air terjun itu. Beberapa ekor ikan tengas bersaiz empat jari dan seekor keli dipancing. Sedang leka memancing, tiba-tiba Che Mat yang memancing di sebelah atas penulis bersebelahan air terjun menjerit: “Ular...! Ular...!”

Penulis menoleh ke belakang. Kelihatan seekor ular sawa batik sebesar betis meluncur laju di atas batu menuju ke bawah. Ular itu lalu betul-betul di sebelah kiri penulis dan terus masuk ke dalam kolam tempat penulis memancing. Pelik! Dari mana ular itu keluar? Apabila penulis bertanya Che Mat yang mula-mula nampak ular itu pun dia tidak perasan dari mana ular itu muncul. Katanya tiba-tiba saja ular itu meluncur laju dari bawah air terjun.

Hilang semangat penulis hendak terus memancing di situ lantas mengajak rakan lain mendaki ke atas lagi. Terdapat beberapa tingkat lagi air terjun di sebelah atas. Hanya Aziz yang hendak mengikut penulis. Che Mat dan Yusri hendak berehat di bawah saja. Penulis bersama Aziz pun mendaki ke atas melalui tebing berbatu yang curam. Kami berpaut pada akar yang keluar dari rekahan batu dan pokok yang tumbuh. Kami pun tiba di tingkat ketiga air terjun. Terdapat sebuah kolam agak besar tetapi tidak ada ikan di dalamnya. Mungkin air terjun yang tinggi menyukarkan ikan untuk naik ke atas.

Sedang penulis meninjau di kolam itu, tiba-tiba sayup terdengar suara orang berteriak: “Oii...! Turun.....turun...!”

Makin lama makin jelas pula suara itu. Penulis bertanya Aziz adakah dia mendengar suara itu. Aziz menangguk, Katanya suara itu macam suara Che Mat.

Suara itu masih lagi kedengaran: “Oii...! Turun bawah..! Turun....”

Bimbang sesuatu terjadi pada Che Mat, kami bergegas turun ke bawah. Sampai saja di tingkat kedua air terjun, penulis nampak Che Mat dan Yusri santai saja sambil mandi. Apabila penulis bertanya Che Mat, betulkah dia yang menjerit memanggil kami turun, Che Mat berkata, tidak.

Bunyi air terjun pun kuat. Macam mana suara dia boleh didengar sampai ke atas.

Penulis menceritakan pada Che Mat yang suara itu seperti macam suaranya. Kami berpandangan sesama sendiri dan penulis pun bersuara: “Jom kita balik...”

Ikan yang dipancing tadi dilepaskan di dalam kolam. Kami berempat tidak berlengah terus turun meninggalkan kawasan air terjun. Sehingga kini penulis masih teringat suara misteri itu, suara siapakah itu?

Monday 8 February 2010

:: Perkampungan orang asli dikaburi ?

Diserang gerombolan lembaga putih

Oleh Nuri Angkasa

HUJAN lebat berterusan berserta dengan angin kencang dan guruh bersahutan. Namun, kumpulan empat kaki pancing udang galah itu meneruskan misi mereka ke hulu Sungai Lembing, Pahang yang sangat terkenal dengan spesies sepit biru yang sangat lazat isinya.

Mereka berehat di hujung kampung penempatan masyarakat Orang Asli yang belum begitu tersusun. Kelompok etnik itu sudah dapat menerima perubahan kecil sekali gus keluar dari kepompong cara hidup lama. Limat yang mengetuai kumpulan empat pemancing itu adalah anak tempatan Temerloh. Dia sudah biasa dengan sungai di sebelah sini. Melihat keadaan cuaca buruk yang berterusan, Limat membatalkan hasrat ke hulu Sungai Lembing. Tambah pula air sungai sangat deras dan mula melimpah tebing.

Sebuah pondok lama yang sudah ditinggalkan mereka gunakan untuk berteduh. Jika keadaan memaksa, mereka akan terus bermalam.


“Jika keadaan bertambah buruk memang kami merancang tidur di situ,” cerita Karim yang turut menyertai kumpulan itu.

Dia berkata, malam itu mereka dikejutkan dengan air banjir dari limpahan sungai sudah mencecah lantai pondok berkenaan. Mereka mula cemas apabila mendapati air naik begitu pantas. Pada masa sama, hujan semakin lebat.

“Tetapi kami bernasib baik apabila beberapa buah sampan kayu penduduk Orang Asli datang memberi pertolongan lalu membawa kami ke kawasan selamat di atas sebuah bukit. Di sana pun sudah dipenuhi oleh penduduk Orang Asli yang diselamatkan dari perkampungan penempatan yang sudah ditenggelami air limpahan Sungai Lembing.

“Keadaan bertambah buruk dan mencemaskan apabila beberapa ekor ular sawa besar turut mencari mangsa tetapi berjaya dihalau oleh seorang lelaki tua yang dianggap sebagai bomoh di kalangan penduduk di situ,” katanya.

Limat diberi layanan baik walau pun keadaan makin terdesak kerana air terus naik. Namun itu tidak membimbangkan masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan yang sudah biasa dengan keadaan seperti itu.

Tetapi bagi Limat dan kawannya menganggap kejadian itu satu pengalaman baru. Menjelang tengah malam itu, mereka dibawa berpindah ke satu lagi kawasan selamat oleh pembantu ketua Orang Asli. Ini kerana menurut ketuanya bahawa mereka perlu diselamatkan sebelum keadaan bertambah buruk. Mereka tiba di kawasan kecil tetapi tempatnya menarik. Mereka dibekalkan dengan sedikit makanan yang sudah dimasak. Beberapa orang yang dibawa khas mula membuat kerja mendirikan pondok serta unggun api di tengah kawasan lapang. Kumpulan itu kemudian meninggalkan Limat dan kawannya sebaik saja semua keperluan sudah disiapkan.

Pertolongan yang diberikan oleh masyarakat Orang Asli itu sangat bererti buat mereka, cerita Karim lagi sambil mendakwa bahawa pada malam itu mereka bagaikan terpukau lalu tidur dengan nyenyak hingga pada saat-saat terjaga dengan satu kejutan yang sangat menakutkan. Mereka terdengar hilai ketawa mengelilingi kawasan itu. Kelihatan lembaga putih berterbangan.

“Kami ketakutan tetapi Limat tidak menunjukkan perubahan dan tetap tenang. Dia duduk bersila kemas sambil membaca sesuatu yang tidak kami dengar dengan jelas. Tetapi nyata dia cuba menghalau makhluk putih yang mengilai dengan lebih garang itu daripada mendekati kami.

“Limat cuba diheret keluar dari pondok tetapi kerana duduknya yang kemas serta amalan yang tidak kurang hebatnya lembaga putih itu kemudian meninggalkan kawasan kami untuk beberapa waktu. Tetapi lembaga itu datang semula dengan bilangan yang lebih banyak sambil mengilai dengan bunyi yang lebih mengerikan,” katanya.

Dek kerana ketakutan, mereka berpelukan sesama sendiri. Namun Limat cekal membaca ayat al-Quran. Pondok tempat mereka berteduh digoyang dengan kuat dan hampir roboh.

“Limat bangun lalu melaungkan azan dengan kuat. Pondok roboh dan kami terbaring di atas tanah perkuburan dengan batu nesan yang bertaburan.

“Kami semakin terkejut tetapi Limat merasa syukur sebaik saja menamatkan laungan azan yang sekali gus melenyapkan gangguan lembaga putih yang mengganggu mereka pada dinihari sebelum subuh itu.

Paling menghairankan apabila mereka sebenarnya berada di tengah-tengah kawasan perkuburan Islam di sebuah kampung Melayu di Sungai Lembing dan bukan perkampungan Orang Asli seperti yang berlaku dalam tragedi misteri yang dilalui sepanjang hari dan malam itu.

“Limat tidak banyak bercakap malah terus membawa kami pulang sambil singgah di sebuah surau dalam perjalanan pulang. Kami solat sunat kesyukuran dan doa selamat yang diimamkan sendiri oleh Limat.

“Apa yang berlaku adalah satu misteri bagi kami dan tentunya banyak lagi misteri yang dilalui oleh kaki pancing dalam kisah yang berlainan,” kata Karim menamatkan perbualan.

Sunday 7 February 2010

:: Suara dari udara ?

Suara melolong atas jambatan

Oleh Noh Ismail

AZMAN, begitulah nama abang penulis yang lebih mesra kami panggil Itam saja. Itam anak kelima daripada sepuluh adik-beradik. Sewaktu bersekolah rendah, kami adik-beradik suka merayap di kawasan paya dan hutan berhampiran kampung atau memancing ikan. Masa itu sekitar tahun 70-an, masih banyak lagi ikan seperti haruan, putih, terbol dan keli dalam paya atau anak sungai tidak jauh dari rumah kami.

Apabila kami dewasa dan berkeluarga, masing-masing tinggal berjauhan bersama keluarga. Itam masih meneruskan hobi memancing dan boleh dikategorikan sebagai pemancing tegar. Bagaimanapun Itam hanya memancing di laut atau pulau, tepian pantai atau kuala sungai.

Dia tidak berapa gemar memancing di darat kerana geli dengan pacat. Sepanjang pembabitan dalam aktiviti memancing, Itam tidak pernah berhadapan atau mengalami peristiwa ganjil atau misteri. Cuma ketika zaman persekolahan dulu banyak juga kejadian menakutkan dialami ketika kami memancing ikan. Kami pernah dikejar beruk, terserempak ular tedung selar yang berdiri tiga suku badan ketika memancing udang galah di Sungai Semangar dan sesat ketika mencari jalan untuk ke Sungai Sayong.


Bagaimanapun itu semua tidak menghalang kami meneruskan hobi ini. Apabila datang rasa gian hendak memancing, Itam sanggup pergi seorang diri walaupun malam hari. Kadang-kadang jika anaknya tidak bersekolah, Itam akan membawanya ke lokasi. Tetapi selalunya Itam lebih banyak pergi seorang diri. Itam yang tinggal di Pasir Gudang, Johor, sanggup memandu seorang diri waktu malam menuju ke sebatang sungai di Sedili, Kota Tinggi, hanya untuk melepaskan giannya memancing. Bagaimanapun sejak berlaku satu peristiwa yang menakutkan ini, Itam tidak lagi berani pergi memancing sejauh itu seorang diri. Kejadian itu berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Kisahnya begini. Satu malam selepas Maghrib, Itam memandu kereta seorang diri bersama kelengkapan memancing menuju ke sungai di Sedili dari rumahnya di Pasir Gudang. Sebenarnya, itu bukan kali pertama dia ke situ untuk memancing. Sungai direntang dengan jambatan. Di jambatan itulah Itam memancing ikan sembilang, gemang, tetanda, siakap merah, gelama dan lain-lain.

Tiba di situ kira-kira jam 11 malam, Itam pun terus melabuhkan umpan hirisan ikan ke dalam sungai yang mengalir di bawah jambatan. Kebetulan malam itu ada sekumpulan pemancing, di sebuah jeti kecil kira-kira 100 meter dari jambatan. Malam itu agak gelap. Hanya suara mereka yang kedengaran. Itam mengagak mungkin ada tiga atau empat orang memancing di situ.

Tiba-tiba Itam terdengar suara sayup di seberang sungai. Suara itu tidak pernah di dengarnya sebelum ini. Hendak dikatakan suara anjing bukan, suara burung pun bukan. Suara itu semakin lama semakin jelas. Ia seakan-akan lolongan serigala. Suara itu dari udara! Serentak dengan bunyi aneh itu, tiba-tiba Itam terdengar kumpulan pemancing yang di atas jeti menjerit.

“Jangan kacau!...” Kemudian kumpulan pemancing itu bergegas masuk kereta. Kedengaran bunyi enjin kereta memecut laju meninggalkan jeti tempat mereka memancing. Itam tercengang kehairanan. Bunyi melolong yang didengar tadi sudah berada di jeti. Tidak lama kemudian bunyi yang menyeramkan itu menuju ke arahnya. Bunyi yang seakan-akan ketawa dan melolong itu betul-betul berada di atas pokok berhampiran jambatan.

Itam serta-merta terus menggulung pancing dan mencampaknya ke dalam but kereta yang sedia terbuka. Bunyi lolongan itu masih jelas kedengaran tetapi entah apa bendanya Itam pun tak pasti. Yang penting dia perlu meninggalkan jambatan itu. Enjin kereta dihidupkan. Itam menekan pedal minyak, memecut meninggalkan tempat berkenaan tanpa menoleh ke belakang. Sejak itu Itam tidak pernah pergi ke jambatan itu lagi untuk memancing. Suara melolong yang menyeramkan itu masih terngiang-ngiang lagi di telinga Itam.... mungkinkah hantu, mungkinkah jembalang?

Saturday 6 February 2010

:: Buaya saka bapa ikut ke laut ?

Buaya kuning muncul di tengah laut

Oleh Nuri Angkasa

mainpix.jpg

SELAMA beberapa bulan Alang Darwes tidak berhasrat lagi untuk turun memancing terutama di sungai sama ada di lubuk mahu pun tebing sungai. Semua ini gara-gara sudah tiga kali beliau karam ketika memancing udang galah dan berdepan dengan sang bedal yang bermata merah tetapi tidak mengusiknya.

Ketakutan itu masih dirasai dan terus menghantui. Perasaan itu lebih jauh mencengkam dalam dirinya apabila melihat air sungai serta ketenangan lubuk yang banyak dihuni oleh udang galah bersepit biru.

Walau pun Darwes adalah anak sulung kepada arwah Tok Itam yang juga pawang buaya namun ilmu itu tidak diwarisi oleh beliau atau sesiapa pun. Ini kerana Alang Darwes beranggapan beliau tidak mahu adanya permusuhan dan dendam antara sang bedal dengan manusia.


Pun begitu, antara reptilia ganas di sungai dengan manusia yang bernama Darwes terdapat batas sempadan yang tidak disedari oleh anak muda berkelulusan Diploma Asas Tani itu. Namun pengalaman tiga kali karam di sungai dan lebih-lebih lagi ketika bertentang mata dengan buaya masih meninggalkan kesan psikologi yang mendalam. Beliau tidak lagi berminat untuk turun memancing udang galah walau di mana-mana sungai mahu pun lubuk yang terdapat banyak udang.

Darwes masih bujang. Sesekali ketika pulang ke kampung, beliau dikerumuni oleh rakan. Ada yang mempelawa turun memancing udang. Tetapi Darwes menolak dengan pelbagai alasan. Pun begitu, satu trip memancing di laut dalam yang diatur oleh akan karibnya, Sulung Pandak - keturunan masyarakat Orang Asli. Sulung berpengalaman di laut kerana beliau berkawan rapat dengan anak nelayan sebelum bertemu dengan Darwes di kolej.

Trip memancing laut sudah diatur rapi oleh Sulung bersama lima orang rakan pancing lain yang sudah biasa di lokasi pilihannya kali ini.

Semua peralatan memancing laut termasuk joran pancing disediakan oleh Sulung untuk rakan kolejnya yang sudah lama tidak turun memancing di laut. Apa pun, dia tahu bahawa Darwes seorang pemancing yang penganyir.

Berbekal pengalaman dan ketabahan semangat, Darwes dan Sulung diajak berlumba mendapatkan ikan terbanyak dari spesies kerapu bara di lokasi karang semula jadi di perairan Pulau Nyireh dekat Dungun, Terengganu.

Hari pertama ekspedisi Darwes berjaya mendaratkan tiga ekor kerapu bara sederhana besar tetapi Sulung masih kosong. Menjelang tengah malam di lokasi yang sama, suasana menjadi gempar bila seekor buaya kuning besar timbul berlegar dalam kawasan tempat memancing dan beberapa minit kemudian buaya itu menghilang.

Tekong berpindah meninggalkan kawasan itu lalu mencari lubuk lain. Perjalanan satu jam ke lokasi kedua. Namun yang menghairankan bahawa bot masih berada dalam lokasi pertama. Darwes mengingati peristiwa tenggelam di sungai dan berdepan dengan buaya. Ketakutan menerpa semula dalam dirinya. Begitu juga dengan tekong, Sulung dan semua rakan pancing lain. Buaya kuning timbul semula di tepi bot. Saiz badannya hampir sama dengan bot.

Mereka masih belum dapat keluar dari kawasan itu walaupun sudah tiga jam bot bergerak tetapi berlegar dalam kawasan yang sama.

Menyedari bahawa mereka masih berada dalam kepungan misteri yang tentunya sukar untuk keluar maka Darwes terpaksa melakukan sesuatu. Selain memohon pertolongan Allah, anak muda berdarah Pawang Itam itu meludah tiga kali ke laut sebagai ikhtiar yang dia sendiri tidak tahu maknanya. Tetapi tidak lama selepas itu buaya kuning berkenaan melambung tinggi di permukaan air lalu tenggelam semula dan menghilang.

Sejurus selepas itu, keadaan laut kembali tenang. Mereka berada semula dalam kawasan labuhan pertama. Semua berpandangan. Tekong dan Sulung menepuk bahu Darwes sambil bersuara: “Mujur awak ada sama! Buaya itu tak pernah ada di laut sebelah sini,” kata tekong yang bertambah hairan sambil memandang jauh di daratan Pulau Nyireh.

Itulah misteri paling ditakuti oleh Darwes hingga di laut pun ada buaya mengejarnya. Tetapi benarkah buaya yang dilihat? Atau itu cuma satu misteri yang hingga hari ini menjadi tanda tanya Darwes. Selepas peristiwa itu, Darwes tidak lagi turun memancing hingga beliau meninggal dunia.

Friday 5 February 2010

:: Berani mencabar

Cabaran yang akhirnya makan diri

Oleh Nuri Angkasa

“PEDULIKAN dengan hantu, syaitan, pontianak. Sekarang ni dah zaman moden, kita jangan takut, tasik tu memang banyak ikan, kita mesti pergi minggu depan ni,” tegas Kamarul anak muda yang menetap di Kuala Lumpur, cerita Pak Daud kepada penulis misteri untuk berkongsi pengalaman dengan kaki pancing seluruh negara dalam halaman Misteri Joran.

Sama ada kita mahu percaya atau tidak tentang misteri, ianya tetap ada malah berlaku dengan jelas, Pak Daud meneruskan cerita tentang Kamarul bersama lima rakan pancing yang bertekad untuk meneruskan rancangan memancing di Tasik Merbau Jati, yang dikatakan berpuaka, tapi banyak ikan kerana jarang di kunjungi pemancing.

Kamarul mulutnya memang celupar, dia bercakap tidak mengira tempat, walau pun dia sudah dua kali disergah lembaga hitam semasa memancing di kolam berbayar yang jauh dari bandar, tapi dia masih belum serik.


Hari itu hujung minggu, dia dengan rakan pancing dari kampung asalnya Lembah Beringin (bukan nama asal) bergerak ke lokasi dengan menaiki tiga motosikal. Perjalanan mengambil masa hampir empat jam itu membuatkan mereka tidak sabar untuk beraksi dengan ikan toman, patin dan baung bersaiz besar hingga mencecah puluhan kilogram setiap ekor ingin didaratkan. Cerita beberapa beberapa orang pemancing yang sudah pergi ke tasik tersebut menyebabkan Kamarul tambah teruja, dan mengulangi ke lokasi itu lagi atas sebab-sebab yang penuh dengan rahsia.

Kumpulan Kamarul tiba di Tasik tepat jam tiga petang. Suasana sangat tenang sekitarnya dan tasik terbentang luas dengan lompatan ikan sambil bermain hingga ke bahagian tebing tasik dengan bebas.

Kamarul dengan rakan pancingnya terus mencari tempat yang sesuai dan dengan pantas melabuhkan umpan anak ikan seluang hidup yang disimpan dalam bekas bantuan oksigen. Mereka tidak kering tangan mendaratkan ikan baung dan patin bersaiz sederhana dan besar hingga mencecah 12 kilogram. Paling banyak mendaratkan ikan patin ialah Luqman (anak tempatan kampung Mukut Pulau Tioman) yang bekerja satu pejabat dengan Kamarul di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun program mereka untuk bermalam di lokasi tasik dibatalkan kerana ikan sudah banyak diperolehi. Sepanjang mereka berada di lokasi Tasik Merbau Jati tiada sebarang gangguan atau bunyi yang menakutkan. Mereka hanya mengambil masa tiga jam saja melakukan aktiviti memancing tanpa berhenti berpuluh ekor spesies ikan dari patin, lampam, baung dan toman berjaya didaratkan. Mereka pulang sebelum senja.

“Mana ada penunggu tasik, lokasi cantik, tenteram, kan aku dah cakap zaman moden ni mana ada pontianak,” Ngomil Kamarul lagi sambil memecut laju motosikalnya. Dia kelihatan begitu ceria dan bangga dengan tindakan berani yang tidak pernah memikirkan risikonya kelak.

Trip kedua diatur dalam masa terdekat bagi mengulangi kejayaan pertamanya. Kali ini Kamarul lebih berani sambil mencabar untuk melihat kalau ada penunggu tasik berkenaan seperti yang di war-warkan sebelum ini. Cabaran berani dari Kamarul kali ini kurang disenangi oleh semua rakan pancingnya yang terdiri dari rakan lama yang menyertai trip pertama minggu lepas. Mereka merancang untuk meninggalkan lokasi tapi Kamarul tiba-tiba hilang sebaik saja mereka berkemas peralatan pancing untuk pulang, keadaan menjadi kelam kabut yang akhirnya membuat laporan polis dan akhirnya seluruh kawasan tasik itu menjadi tumpuan masyarakat kampung, polis dan tentera.

Pencarian gagal hingga menelan masa satu minggu. Khidmat bomoh dan pawang dilakukan yang akhirnya Kamarul ditemui di bawah pokok rimbun dalam keadaan tidak bermaya dan tidak bercakap hingga meninggal dunia dua tahun lalu, cerita Pak Daud menamatkan misteri Tasik Merbau Jati yang kini sudah dibangunkan perkampungan orang asli.

Jangan mudah mencabar sesuatu yang kita tidak arif dengannya, kelak memakan diri sendiri.

Thursday 4 February 2010

:: Tidur dalam bot... terjaga di pulau ?

Badrul tidur dalam bilik hawa dingin

Oleh Nuri Angkasa

TRIP ekspedisi memancing laut yang diatur rapi Razak, seorang pemancing serba boleh yang di lahirkan di Sabak Bernam tapi dibesarkan dalam keluarga nelayan di perairan Dungun Terengganu.

Berbekal semangat pelaut yang tinggi Razak mengatur program masa cuti sekolah untuk membawa beberapa rakan lamanya memancing di sekitar karang dan tukun semula jadi di perairan Dungun yang kaya dengan ikan karang gred A atau sotong untuk bermain candat.

Sepuluh pemancing dibawa sekali gus untuk meneroka laut sebelah sini sambil menguji kemahiran memancing yang setengah daripada mereka sudah lupa dengan teknik memancing laut kerana sudah lama meninggalkan joran pancing.


Mengingati semula detik manis dan menakutkan semasa ekspedisi sepuluh tahun lalu, tekong Tok Dol (bukan nama sebenar) menceritakan detik manis ketika mencandat sotong pada malam pertama tidak jauh dari tanah daratan Dungun. Mereka bagaikan berpesta dan sotong menjadi pada malam itu. Setiap kali candat diturunkan janji yang pasti terjawab sotong tentu mengena paling tidak seekor antara tiga mata candat yang dilabuhkan.

“Mereka sangat seronok terutama daripada kalangan yang sudah lama tidak turun mencandat sotong,” Cerita Tok Dol yang baru berusia 25 tahun ada ketika itu.

Dari lokasi pertama mereka berpindah agak jauh kerana ingin mencari lubuk ikan tambak yang di cadangkan oleh Razak.

Tepat jam 2 pagi, cuaca baik, angin bertiup lambat bermain sama dengan anak-anak gelombang, karang tambak ditemui. Razak yang sudah bersedia dari awal berjaya jadi pemancing pertama mendaratkan ikan tambak melalui umpan isi sotong segar yang dihiris memanjang. Rakan lain mengikut teknik Razak dan hasilnya tidak menghampakan. Pesta ikan tambak pula menjadi buruan sepuluh pemancing daripada rakan pilihan Razak yang sudah biasa memancing laut.

Waktu ikan tambak memburu umpan sudah hampir tamat apabila arus air laut mula deras dan kumpulan dibawa oleh tekong Tok Dol ke unjam dalam satu kawasan yang di penuhi dengan bubu. Unjam tetap menjanjikan ikan kecil seperti selar, tamban, kembung dan selayang dan sesekali berjaya mendaratkan ikan kerisi merah.

Ada rancangan untuk menjenguk lebih jauh membawa perjalanan enam jam tapi kurang di senangi oleh tekong Tok Dol kerana bimbangkan cuaca boleh berubah pada bila-bila masa saja sejak kebelakangan ini.

Malam itu malam terakhir ekspedisi kami cerita Tok Dol dan mendapati bahawa mungkin ribut akan turun, jadi sebagai persiapan kami mencari tempat berlindung lebih awal. Berlabuh di tepi sebuah pulau kecil yang biasanya tidak di sentuh gelombang besar walaupun ribut kencang melanda di sekitar kawasan itu.

Peristiwa menakutkan pada malam itu sebaik saja mengetahui bahawa Badrul dari Pahang hilang apabila diperiksa Tok Dol.

Kumpulan itu gempar terutama Razak, kerana sebelum ini Badrul sering bersungut untuk mendapatkan tempat tidur selesa dalam bot. Tekong Tok Dol tidak menunjukkan rasa cemas tapi sentiasa melempar pandangan pada sebuah pulau lain yang kelihatan berbalam tidak jauh dari pulau kecil tempat mereka berteduh.

“Dia tak hilang, cuma ada di tempat lain,” Jelas Tok Dol memecah ketakutan kami tapi dia sendiri masih belum yakin. Awal subuh esoknya bot bergerak ke sebuah pulau yang lebih besar daripada pulau tempat kami berteduh.

Tok Dol tidak sepatah pun bercakap terus menurunkan sebuah sampan kecil lalu berkayuh menuju ke pulau berkenaan. Kumpulan pemancing berpandangan sesama sendiri. Tidak lama selepas itu Tok Dol membawa Badrul pulang semula dalam bot dalam keadaan lemah tapi ceria.

“Aku dapat tidur lena dalam bilik hawa dingin, taklah sempit macam dalam bot ni,” cerita Badrul sebaik saja berada dalam bot. Semua berpandangan manakala tekong Tok Dol meneruskan perjalanan pulang dan berjaya memulihkan semangat dan ingatan Badrul seperti sedia kala sebaik tiba di darat.

“Siapa membawa Badrul ke pulau? misteri saja dapat menjawab. Justeru itu kita pemancing kena berhati-hati dan sentiasa mohon pertolongan dari Allah dari sebarang kejahatan.

Wednesday 3 February 2010

:: Perkampungan hilang menjadi hutan tebal ?

Imam berjanggut putih pelawa makan

Oleh Nuri Angkasa

SEBAIK saja selepas menikmati juadah berbuka puasa bersama isteri petang itu, Kamarul sempat menunaikan solat maghrib dan selepas itu bergegas ke rumah kawan karibnya Marzuki yang sudah bersedia dengan joran pancing.

SEBAIK saja selepas menikmati juadah berbuka puasa bersama isteri petang itu, Kamarul sempat menunaikan solat maghrib dan selepas itu bergegas ke rumah kawan karibnya Marzuki yang sudah bersedia dengan joran pancing. Mereka terus ke warong Pak Mail untuk bertemu dengan tiga lagi rakan pancing yang sudah lama menunggu. Sebuah kereta pacuan empat roda mereka meninggalkan warong Pak Mail selepas menghirup segelas teh tarik. Lokasi pertama ialah ke Kuala Sungai Belanak untuk memancing ikan sembilang pada waktu air pasang. Dengan umpan perumpun sarung, nipah dan perumpun air tentunya habuan paling baik bagi spesies ikan sembilang itu.

Oleh kerana perjalanan ke lokasi Kuala Sungai Belanak itu melalui kawasan tasik lama dan hutan belukar mereka menghadapi sedikit kesukaran kerana jalan kecil menuju ke Kuala sudah di tutup dengan ranting-ranting kayu yang baru tumbuh. Mengharung selama hampir satu jam mereka bertemu dengan sebuah warung minum dalam sebuah perkampungan kecil yang didiami ramai warga yang berkupiah putih sedang menuju ke sebuah masjid.

Sebaik selepas minum kami dipelawa oleh seorang lelaki tua berjanggut putih untuk menunaikan solat tarawih. Kamarul dengan rakan pancingnya tidak menolak pelawaan orang tua berjambang yang juga seorang imam di masjid itu. Tidak ada kaum wanita yang menunaikan solat tarawih di masjid berkenaan dan kanak-kanak lelaki berkurangan.


Selesai saja solat terawih, jamuan kecil di adakan dan Kamarul dipelawa oleh bilal masjid untuk makan bersama dengan tuan imam (orang tua yang berjambang).

Kamarul berbual panjang dengan orang tua itu manakala rakan pancing yang lain turut bermesra dengan jemaah masjid. Sebaik meninggalkan masjid untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Sungai Belanak, angin kencang, ribut serta guruh dan kilat bagaikan membakar kawasan masjid yang sudah hilang dari pandangan. Cuma hutan tebal di sekeliling, kenderaan pacuan empat roda yang di pandu sendiri oleh Bujang (tuan punya kenderaan) terus membelah lorong kecil yang samar-samar.

Hujan mula turun dan beransur lebat beserta kilat dan guruh. Perjalanan diteruskan walau arah tuju sudah mula bercelaru dalam kepala Bujang, tapi mula bersemangat apabila mendengar suara azan lalu bertemu dengan sebuah lagi perkampungan kecil tapi ramai dari kaum wanita bertelekung putih menuju ke masjid.

Kali ini semua kaum wanita yang pergi ke masjid, kami langsung tidak dibenarkan ke masjid berkenaan malah tiada seorang pun yang menegur kami. Kami menjadi bingung tapi mujur dapat diselamatkan oleh seorang tua perempuan yang juga berjubah putih. Kami dipelawa ke warungnya lalu di beri minum kopi panas.

“Macam mana cucu boleh sampai ke kampung ni ? Perempuan tua itu bersuara sambil memandang sekeliling (bimbang).

“Kami dalam perjalanan ke Kuala Sungai Belanak untuk memancing Nek,” Jelas Kamarul.

“Ini kampung orang perempuan, Kuala Sungai Belanak tak ada kat sini ! Berkedut kulit dahi orang tua tu, lalu menghilangkan diri sebaik saja melihat beberapa orang perempuan datang menuju ke arahnya.

Melalui isyarat tangan kami di arah meninggalkan kampung itu dengan segera. Sebaik saja kenderaan bergerak kampung hilang daripada pandangan, kami berada dalam hutan yang lebih tebal daripada yang ditempuh sebelum itu.

Melihat keadaan yang ketara perubahannya, Bujang memecut kenderaannya membelah hutan tebal dengan tidak mengira keselamatan diri dan kawan-kawan lain. Akhirnya kenderaan menjunam jatuh ke dalam gaung, kami menjerit kuat, tapi Kamarul terjaga apabila dikejutkan oleh rakan pancing lain.

Dalam keadaan terpinga-pinga itu Kamarul yang masih sedar dengan tidak bertanya sambil memegang bahu Bujang.

“Engkau tak cedera, mana kawan-kawan kita yang lain,” suaranya cemas.

Semua gelang kepala sambil menghirup teh tarik.

“Kamu tu mengigau..... bila lagi kita nak pergi Kuala Sungai Belanak mancing ikan sembilang,” Marzuki bersuara.

“Kitakan dah kesana tadi, singgah dua kampung, lepas tu kereta menjunam dalam gaung, kita selamat, suara Kamarul sungguh-sungguh sambil memandang kawan-kawannya.

“Kita belum bergerak lagi !!

“Tapi..... Kamarul terhenti apabila dipintas cakap oleh Marzuki sambil ketawa.

“Engkau tu.....” suara gelak ketawa terus mengisi suasana malam itu.

Kamarul mengaru kepala antara percaya dengan tidak, tapi dirasakan misteri itu benar-benar berlaku.

“Entahlah....” Ngumilnya sendirian.

Tuesday 2 February 2010

:: Buluh berlagu

Buluh berlaga memukau Bais ke tengah laut

Oleh Nuri Angkasa


"AKU bukan nak mancing sangat, tapi suara gemersik yang datang dari barisan buluh togok itu yang membuatkan aku tak boleh lama di darat," Kata Bais dalam satu perbualan di warung Mak Jah di Kuala Sungai Tiram (bukan nama sebenar) beberapa tahun lalu semasa rombongan lima pemancing yang diketuai oleh Bais sendiri, cerita Leman yang turut bersama rombongan itu.

Laut banyak mempunyai misteri tersendiri malah sering menjadi bualan para nelayan dengan pelbagai cerita tidak terkecuali kepada pemancing yang sering berdepan dengan pelbagai peristiwa.

Justeru bagi berkongsi pengalaman mengisi halaman misteri kali ini apa yang dapat diceritakan oleh Leman Bawang Merah (gelaran kepada seorang pemancing dalam kawasan perkampungan nelayan berkenaan) untuk dikongsi bersama rakan pancing lain. Tetapi apa yang berlaku dalam peristiwa Bais ditelan air laut lalu hilang hingga sekarang menjadi satu misteri terus di lupakan, cerita Leman lagi lalu mengimbas kembali peristiwa berkenaan kepada penulis.


Togok buluh yang sering dikunjungi Bais walaupun seorang diri turun memancing mempunyai rahsia paling sinonim dengan nama buluh perindu kerana bagi Bais selalu menceritakan bunyi merdu suara nyanyian dari togok berkenaan pada waktu tengah malam dan menjelang subuh tapi bagi kami cuba mendengar bunyi geselan beberapa batang buluh jerajar togok, malah pada tengah malam yang sunyi bunyi itu boleh diterjemahkan sebagai bunyi yang berlainan pengertiannya tapi Bais ada cerita sendiri yang kami semua tidak tahu, tambah Leman lagi.

Hari itu sabtu, cuaca agak baik, kami berlima yang masih di ketuai oleh Bais membuat program turun memancing di lokasi yang sama, kerana Bais sejak kebelakangan ini sudah bertekad tidak minat untuk berpindah lokasi.

Warung Mak Jah, adalah persinggahan tetap sebelum turun memancing, tapi petang itu Mak Jah berpeluang duduk semeja dengan kami cerita Leman lagi. Mak Jah bertanya lokasi memancing kami, dan cara spontan Daud tidak ragu-ragu menceritakan togok yang hendak kami tuju.

“Kalau boleh jangan pergi tempat tu, cari aja tempat lain, togok banyak,” nasihat Mak Jah dan terputus perbualan kerana ada pelanggan yang datang. Kami berpandangan sama sendiri tapi Bais tidak sedikit pun membayangkan ada yang tersirat dan tersurat daripada percakapan yang diluahkan Mak Jah sebentar tadi.

Kami meninggalkan warung agak tergesa-gesa atas arahan Bais kerana beliau tidak mahu Mak Jah datang semula menyambung cerita yang kurang disenangi itu. Leman lalu menambah bahawa trip memancing kali ini terasa berlainan kerana keadaan Bais nyata berubah. Petang itu sebaik tiba di togok yang diminati oleh Bais keadaan agak tenang tapi nyata berlainan yang sukar untuk digambarkan melalui perkataan.

Tekong melabuhkan sauh jauh sedikit dari permukaan togok tapi selesa untuk menjatuhkan batu ladung pada deretan jajar buluh yang menjadi misteri buat Bais. Kami mula menurunkan umpan perumpun nipah dan udang segar yang dipesan daripada nelayan yang turun melangai di Kuala Sungai. Bagaimanapun Bais tidak turut sama memancing, dia berehat sambil merebahkan badan di tepi kabin tidur.

Rezeki tangkapan agak lumayan pelbagai spesies ikan sembilang dan mayong hingga menjelang malam. Suasana gelap pada ketika itu baru Bais bangun lantas memulakan aktiviti memancing manakala tekong menyediakan masakan malam tapi dalam keadaan masih berjaga-jaga. Bais terus melakukan kejutan dengan menangis teresak-esak dan cuba terjun ke laut tapi sempat kami memegangnya dengan kuat, cerita Leman lagi.

Bais terus meronta bagaikan dirasuk, kekuatannya bertambah hingga kami tidak berdaya menahannya lalu Bais terjun ke laut berenang mendapatkan sebatang jajar buluh lalu memeluknya dengan kuat sambil menangis teresak-esak.

“Jangan pergi, jangan tinggalkan aku,” suara Bais merayu dalam tangisan tapi tekong yang sedikit sebanyak ada berisi ilmu laut segera membantu Bais dengan jampi serapahnya menggunakan ayat Al-Quran dan berjaya memulihkan semangat Bais yang kemudian meninggalkan togok berkenaan dan tidak jenguk lagi hingga sekarang.

Namun misteri togok berkenaan dikatakan ada kaitan dengan suara merdu pada tengah malam masih menjadi misteri. Bunyi buluh yang berlaga apabila berlaku arus deras kawasan togok menyebabkan buluh mengeluarkan bunyi yang sukar di diterangkan, tapi bagi Bais ada pengertian lain yang enggan diceritakan kepada rakan lain sebelum hilang di telan laut dalam satu peristiwa mengejar buluh berlagu yang sekali gus meragut nyawanya.

Monday 1 February 2010

:: Waris pawang buaya

Berkayuh belakang buaya disangka sampan

Oleh Nuri Angkasa


ENTAH macam mana, hatinya pada malam itu tergesa-gesa hendak ke sungai memancing udang galah seperti yang di harapkan oleh isterinya yang sedang hamil empat bulan, cerita Suhaimi kepada penulis sebaik tiba di rumah Tok Penghulu Batin Itam, di sebuah perkampungan orang asli hulu Sungai Pahang.

Kerana tidak mahu menghampakan hajat isterinya, Suhaimi bersama seorang rakan karibnya (Alang Ali) terus menghulu sungai berkenaan yang sudah biasa dengan mereka malah lubuk-lubuk udang dan liku sungai sudah terpeta dalam kepala mereka. Justeru atas keyakinan itulah membuatkan isteri Suhaimi tidak merasa bimbang pemergian suaminya meredah malam itu untuk memancing udang galah yang diidamkan sejak kebelakangan ini.

Begitu juga dengan Alang Ali yang berketurunan darah waris orang asli masih kukuh berpegang kepada kepercayaan bahawa sesuatu yang berlaku itu datangnya dari Allah maka kepadaNyalah kita minta pertolongan. Alang Ali dan keluarga sudah lama memeluk agama Islam.


Beliau masih bujang tapi berkeluarga rapat dengan Penghulu Batin Itam yang terkenal dengan dakwahnya untuk menarik lebih ramai masyarakat orang asli di kampung itu memeluk agama Islam.

Sebaik tiba di pangkalan dengan tidak menggunakan sebarang lampu, cuma bantuan cahaya bulan di langit mereka menaiki sebuah sampan kecil yang cuma selesa untuk dua orang saja lalu meneruskan perjalanan ke hulu sungai dengan berkayuh.

Keadaan cuaca pada malam itu seperti biasa saja, cuma sesekali ada rasa berlainan ketika berkayuh. Pengalaman dua rakan pemancing udang di sungai berkenaan tidak diragukan jika dengan pantas mereka berjumpa lubuk udang galah.

Oleh kerana kawasan lubuk itu terlindung dari arus deras, sampan tidak dilabuhkan, tapi ianya terapung diam bagi memberikan keselesaan memancing kepada Suhaimi dan Alang Ali. Lubuk berkenaan mendatangkan hasil tangkapan yang lumayan spesies udang galah bersaiz besar.

Masing-masing dengan hanya menggunakan dua batang joran setiap seorang sudah menghasilkan belasan udang galah dan dalam waktu yang sama sampan bergerak perlahan ke lokasi yang lebih tenang tapi kurang disenangi kedua-dua pemancing berpengalaman itu.

Alang Ali cuba berkayuh menghala arah lain tapi sampan tidak mengikut arah yang kemudian oleh Suhaimi, tapi lokasi itu juga mereka banyak mendaratkan udang yang lebih besar.

Kerana rezeki sudah lebih dari mencukupi mereka pulang semula ke pangkalan tapi sepanjang jalan mereka merasa berlainan dengan sampan yang mereka naiki, kerana sesekali bagaikan ada air menyimbah masuk dalam sampan. Alang Ali dan Suhaimi tidak mahu memikirkan itu semua kerana yang lebih di harapkan agar mereka selamat tiba di pangkalan.

Sebaik mendarat di daratan sampan yang mereka naiki tenggelam dan timbul tidak jauh dari pangkalan lalu menghilang ketengah sungai. Suhaimi dan Alang Ali menarik nafas panjang kerana tidak menyangka rupanya bukan sampan yang mereka naiki sepanjang melakukan aktiviti memancing.

Mereka tidak sepatah pun bersuara tentang sampan yang mereka naiki, cuma isteri Suhaimi saja yang ada menyebut tentang sampan yang digunakan oleh suaminya serentak dengan itu Suhaimi teringat bahawa isterinya adalah waris cucu kepada Awang Dolmat (Pawang buaya).