Thursday, 28 January 2010

:: Beting Beras Basah dikawal 7 jin ?

Misteri: 'Penjara ghaib' Beting Beras Basah

Oleh Hazirah Che Sab


Ariffin Mohd Dahlan berdiri di samping bendera di Beting Beras Basah, empat tahun lalu.

Lokasi wajib tabal Sultan di Sungai Perak ini turut dikenali lubuk misteri

KAWASAN Beting Beras Basah yang terletak di Bagan Datoh Perak, sememangnya sinonim dengan catatan sejarah kesultanan Perak sejak sekian lamanya. Namun, di sebalik kewujudannya sebagai lokasi wajib diziarahi Sultan baru, ada pelbagai catatan lain yang mengaitkannya sebagai lubuk misteri yang menggerunkan.

Ini termasuk kaitannya sebagai tempat penunggu, tempat makhluk ghaib ‘dipenjara’, selain kewujudan lubuk pusar ketika air pasang.

Menyingkap kewujudannya, penyelidik dan pengkaji sejarah, Ariffin Mohd Dahlan atau Pak Engku mendakwa semuanya bermula pada 1528 apabila pembesar Perak mengadap Sultan Mahmud Shah, pemerintah terakhir Melaka yang bersemayam di Kampar, Sumatera, ketika itu.

Permintaan mereka ialah supaya salah seorang putera baginda dijadikan pemerintah Perak yang tidak mempunyai Sultan. Permintaan itu diperkenankan dan Raja Muzaffar dititah menjadi pemerintah Perak pertama.

“Bagaimanapun Raja Muzaffar lari ke Pagar Ruyong ketika itu kerana merajuk apabila adindanya dilantik Sultan Johor, sedangkan beliau anak sulung. Rombongan diraja itu belayar membawa bersama alat kebesaran diraja Melaka seperti nobat, nafiri, pedang Chura Simanjakini, cop mohor halilintar dan beberapa alat lain.

"Rombongan diiringi Megat Terawis. Mereka singgah di Siak, kemudian ke Klang dan seterusnya ke kuala Sungai Perak dengan pelayaran dikemudi Nakhoda Tumi. Bagaimanapun, bahtera Raja Muzaffar dilanda ribut taufan dan ombak besar ketika melalui kawasan lubuk pusar di Beting Beras Basah. Bahtera baginda tidak boleh bergerak sehingga terpaksa membuang segala peralatan kecuali alat kebesaran diraja,” katanya pada majlis sembang sejarah Kesultanan Perak, baru-baru ini.

Pak Engku berkata, jin yang menjaga lubuk pusar itu, Datuk Maharaja Siraja Jin, meminta baginda membuang mahkota yang dipakai ke laut.

“Arahan itu dituruti Raja Muzaffar. Selepas itu barulah ribut taufan reda dan bahtera boleh belayar. Sejak itu, Perak tidak memakai gelaran Tengku Mahkota memandangkan mahkotanya sudah dibuang sebaliknya diganti dengan gelaran Raja Muda.

“Selepas Raja Muzaffar berseru ‘Selikit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilingkung Ular Saktimuna, Sebenarnya Aku Menjadi Raja, Jauhkan Segala Malapetaka, Perpisahan Aku Di Selat Melaka” barulah bahtera baginda dapat bergerak ke tepi tebing dan disambut rakyat negeri Perak yang diketuai Tun Saban. Baginda kemudian dibawa mudik ke hulu dan ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama di Tanah Abang,” katanya.

Kajian Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdullah Jumain Abu Samah, pula menyebut Raja Muzaffar terpaksa menyelam ke dasar laut selama tujuh hari tujuh malam untuk mengadakan perjanjian dengan makhluk ghaib yang menjaga kawasan berkenaan.

Bagi Pak Engku, lokasi Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak dan menghala ke selat Melaka itu juga kaya dengan pelbagai misteri tersendiri.

“Kawasan beting ialah kawasan lubuk pusar yang kadang-kadang timbul dan tenggelam apabila air pasang. Keadaan pasirnya keras dan putih, seluas padang bola seperti beras basah. Ia tempat pertabalan Sultan Perak sejak Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak pertama pada 1528 hingga sekarang. Setiap Sultan yang bakal menduduki takhta Perak dimestikan menziarahi Beting Beras Basah dan menjejakkan kaki di atas beting pasir,” katanya.

Beliau berkata, kawasan lubuk pusar itu dikenali sebagai Tasik Pawa Janggi dan menurut cerita rakyat Perak, ia tempat yang digeruni kerana banyak perkara misteri berlaku. Di dasar tasik itu dikatakan mempunyai kerajaan yang diperintah tujuh jin.

Kawasan berkenaan dikatakan menjadi tempat pawang memenjarakan makhluk ghaib yang jahat sejak dulu sehingga sekarang.

“Ia juga dikatakan ‘pusat’ makhluk ghaib seluruh dunia, termasuk Islam serta perkampungan orang bunian,” katanya yang turut berharap catatan sejarah itu mendapat perhatian dan pengiktirafan Persatuan Sejarah Malaysia dan bahannya dapat dibukukan untuk tatapan serta rujukan pencinta sejarah tanah air,” katanya.

Malah, Pak Engku sendiri tidak terkecuali mengalami pengalaman pelik sepanjang mengenali Beting Beras Basah.

“Saya bermimpi seseorang berpakaian ihram, duduk di atas sejadah mengarahkan supaya saya ke Beting Beras Basah. Saya ingat tarikh pertama kali ke sana iaitu 5 Januari 1976. Pada jam 6.30 pagi saya bertolak dari jeti Sepani Kampung Kayan, Bagan Datoh menyusuri Sungai Perak sehingga tiba di Beting Tepi, tempat pertabalan Sultan Perak pada jam 7.00 pagi.

“Saya turun ke laut mengambil segenggam tanah dan kemudian menuju ke muara Sungai Perak di kawasan lubuk pusar Beting Beras Basah iaitu beting tengah,” katanya.

Selama hampir 15 minit, bot yang dinaikinya mengelilingi lubuk pusar itu sementara menanti beting berkenaan muncul.

“Tiba-tiba saya ternampak kain berwarna-warni muncul dari lubuk pusar itu. Apabila air semakin surut, beting timbul dan saya dapati ada bendera tujuh warna terikat di tujuh batang tiang setinggi kira-kira 4.5 meter.

“Kain berkenaan berwarna putih, hijau, kuning, biru, merah, hitam dan ungu. Kain dengan warna bendera negeri perak berada pada tiga tiang tengah, dua lagi tiang dengan kain pelbagai warna itu di kiri dan kanan tiang bendera perak, manakala kain putih membentuk tiga segi di hujung kiri dan kanan,” katanya.

Beliau mendakwa warna berkenaan mewakili setiap satu jin yang memerintah kerajaan bawah laut. Pada jam 7.20 pagi berkenaan, Pak Engku meminta pawang yang mengiringinya membacakan tahlil dan doa arwah di situ. Selesai majlis beliau terus menuju ke kolam air pusar membawa kain tujuh warna yang dibawa untuk diikat pada tiang bendera negeri Perak.

“Pada awalnya ia tiada masalah tetapi sebaik menghampiri kawasan pusar itu, saya tidak boleh melangkah seolah-olah ada sesuatu yang menghalang.

“Saya cuba merempuh tetapi gagal dan akhirnya saya berseru ‘Aku adalah keturunan Panglima Hitam daripada Raja yang berdaulat. Mudahkan segala pekerjaanku.’ Selepas itu barulah kain tujuh warna berkenaan dapat diikat pada tiang bendera berkenaan. Saya juga sempat berdoa sebelum keluar.

“Selepas keluar dari kolam itu untuk mengambil wuduk, saya lihat ke arah laut dari luar kolam dan nampak seperti mata manusia tetapi cuma sebelah memerhatikan saya. Saya tidak berkata apa-apa kerana sudah dipesan, jika ternampak sesuatu di situ jangan ditegur,” katanya.

1 comment:

  1. Sejarah perak awal memang diliputi dengan misteri, narasi sejarah perak menjadi terdistorsi, campur aduk antara reality dan dongeng. Sejarah dalam arti yang sebenar sepatutnya disokong oleh bukti yg semua orang dapat melihatnya. Tanpa itu susah utk meyakinkan orang. Cerita misteri di Beting Beras Basah, boleh jadi untuk melegitamasi Raja Muzaffar tidak mempunyai Mahkota, kerana adinda (Raja Alauddin) yang mewarisi Mahkota itu daripada Sultan Mahmud, ketika proses berkenaan berlaku di Kampar, Riau, Sumatera. Benarkah beliau di jeput? atau beliau berjuang membina negeri Perak melalui peperangan dengan Tun Saban?

    ReplyDelete