Saturday 20 November 2010

:: Pondok kuning atas kubur di Tumpat ?





NEGARA


Pondok kuning atas kubur





INILAH pondok kubur berwarna kuning di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang, Tumpat yang mencetuskan tanda tanya penduduk.




TUMPAT - Kewujudan sebuah pondok berwarna kuning di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang bersebelahan sebuah masjid dekat sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan sejak dua bulan lalu.

Pondok tersebut yang berukuran panjang tiga meter dan lebar dua meter dengan lantai jubin serta beratapkan daun nipah dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan.

Penduduk mendakwa pondok tersebut dibina oleh dua lelaki termasuk seorang penduduk tempatan yang mengaku bomoh.

Malah seorang bomoh terbabit baru berusia 18 tahun.

Tinjauan Kosmo! Ahad semalam mendapati dua payung berwarna kuning dipacak di atas kubur yang ditabur dengan pelbagai jenis bunga.


..............................................................................................


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_06.htm

Bomoh 18 tahun puja kubur di Tumpat?

TUMPAT 20 Nov. - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) digesa bertindak segera ke atas seorang lelaki dan bomoh berusia 18 tahun yang dikatakan menggunakan sebuah kubur sebagai tempat pemujaan.

Kedua-duanya difahamkan membina sebuah pondok berwarna kuning sepanjang tiga meter dan lebar dua meter dengan berlantaikan mozek serta beratap daun nipah sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk kampung.

Seorang mangsa bomoh itu, Che Roslina Che Othman, 42, mendakwa, dia telah membuat enam laporan polis di Kelantan termasuk satu di Terengganu terhadap bomoh berkenaan namun tiada sebarang tindakan diambil.

Che Roslina juga mendakwa kerugian melebihi RM5,000 kerana terlalu taksub terhadap bomoh yang memakai nama 'Yang Mulia Tengku Mohd. Faris' itu.

"Saya telah diperkenalkan dengan bomoh itu melalui seorang kawan selepas kami sekeluarga mengalami sakit misteri, semasa berubat saya melihat sendiri dia pergi ke kubur itu untuk memuja.

"Dia membuat pelbagai permintaan tetapi saya bernasib baik kerana sebuah rumah, kereta dan geran tanah yang diberikan kepada bomoh berkenaan dapat diambil kembali baru-baru ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di tanah perkuburan itu mendapati dua payung berwarna kuning dipasang di atas kubur yang ditabur dengan pelbagai jenis bunga, selain terdapat sebentuk cincin dan tasbih bersaiz besar di atas kubur berkenaan.

Kesemua peralatan itu dipercayai digunakan untuk aktiviti pemujaan.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Su, 70, berkata, dia pernah melarang lelaki terbabit daripada membina pondok tersebut bagaimanapun tidak diendahkan.

"Mereka cuma memberi alasan bahawa pondok ini dibina untuk mengindahkan kubur itu tetapi bagi saya ia bercanggah dengan ajaran Islam kerana saya pernah melihat bomoh ini membawa beberapa pesakit ke kubur tersebut.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JHEAIK, Mohd. Ab. Aziz Mohd. Nor berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut memandangkan kegiatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau akan menghubungi Pejabat Agama Islam Daerah Tumpat dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut untuk tindakan lanjut.

"JHEAIK belum menerima laporan mengenai dakwaan kegiatan pemujaan kubur itu. Insya-Allah saya akan menghubungi Pejabat Agama Daerah Tumpat esok untuk mengetahui perkembangan aktiviti berkenaan.

"Jika siasatan mendapati bahawa wujudnya unsur-unsur pemujaan kita boleh merampas bahan yang berkaitan dan kedua-dua lelaki ini boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

...................................................................................

Saturday 30 October 2010

:: Jumpa harimau, langsuir dan....bunian mandi








Terserempak bunian mandi


TASIK Kenyir menjadi tempat tumpuan pemancing ikan toman, kelah dan sebarau.


KEGILAAN kaki pancing terhadap hobi itu sudah lama diketahui. Mereka sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli peralatan memancing sahaja.

Ada pula yang mengambil cuti selama berminggu-minggu semata-mata untuk mencari lubuk ikan.

Namun, di sebalik semua itu, cerita-cerita misteri sering melingkari kaki-kaki pancing tegar ini.

Jurnal minggu ini berkesempatan berbual-bual dengan beberapa kaki pancing mengenai kisah pelik yang pernah mereka alami.

Salah seorang daripada mereka ialah kartunis terkenal Ibrahim Anon, atau Ujang, 45.

Penggemar ikan kelah dan sebarau ini berkata dia pernah terserempak dengan harimau, gajah dan hampir dipatuk ular semasa memancing di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Saya akan memancing di sana setiap tahun. Ngauman harimau sudah biasa didengar.

“Jadi untuk mengelakkan daripada bertembung dengan haiwan pemakan daging itu, kami kumpulan pemancing bergerak perlahan-lahan ke tempat lain.

Harimau

“Pantang harimau ialah jangan diganggu,” kata Ujang yang kini mengusahakan perniagaan berbentuk penganjuran aktiviti memancing.

Ceritanya lagi, tindakan yang sama juga dilakukan jika ternampak kelibat gajah.

Menyentuh mengenai kejadian aneh, Ujang memberitahu dia tidak pernah mendengar suara misteri apatah lagi terserempak dengan bunian.


UJANG hanya pernah terserempak kelibat gajah liar dan mendengar ngauman harimau.


“Mungkin itu perasaan kita sahaja. Paling penting niat kita adalah untuk memancing, bukan ada tujuan lain,” tegasnya yang hampir lemas dalam satu kejadian bot terbalik di Sungai Tembeling, Pahang tetapi mujurlah dia pandai berenang.

Seorang lagi kaki pancing, Ku Ahmad Adzam Ku Saud, 33, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, pernah berasa seperti ada orang menepuk bahu kanannya semasa memancing di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.

“Namun, apabila menoleh, tiada siapa di belakang saya.

“Pada mulanya saya fikir itu hanyalah khayalan tetapi perkara itu berlaku berulang kali menyebabkan saya percaya ia perbuatan makhluk halus,” kata penggemar ikan sebarau dan toman ini.

Bicaranya lagi, kejadian itu menyebabkan dia ketakutan dan kembali ke khemah semula.

Ku Ahmad demam selama beberapa hari selepas peristiwa itu.

“Saya juga pernah melihat gadis bunian sedang mandi. Dia kelihatan seperti wanita biasa tetapi kulitnya lebih putih dan berwajah cantik.

“Saya cuma nampak muka dan tapak tangannya. Tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan saya terpikat,” katanya tersenyum.

Bagi Mohd. Suhaimi Abdul Karim, 29, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, dia hampir lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakan karam semasa memancing di Pulau Sembilan, Perak.

Kejadian itu berlaku lima tahun lepas.

“Bayangkan pada masa itu saya dan tujuh orang rakan lain tidak memakai jaket keselamatan.

“Kami hanya berpaut pada badan bot tersebut dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi sebelum diselamatkan.

“Selepas peristiwa itu, saya tidak lagi pergi memancing di laut,” katanya yang memberitahu bot tersebut bocor sebelum tenggelam.

Langsuir


TAMAN Negara, Pahang didakwa kaki-kaki pancing mempunyai kisah pelik dan menyeramkan.


Suhaimi juga mendakwa ternampak hantu langsuir semasa memancing di Taman Negara, Kuala Tahan.

“Ketika itu saya dan rakan-rakan berkhemah di hutan. Kami tidak nyenyak tidur kerana mendengar bunyi bising yang berulang kali.

“Namun, akhirnya mereka tertidur juga kerana terlalu penat kecuali saya.

“Saya sebaliknya keluar dari khemah untuk mencari arah bunyi tersebut.

“Sebaik sahaja dijumpai, saya terkejut kerana rupa-rupanya ada hantu langsuir sedang mengilai di atas sebatang pokok,” ceritanya.

Katanya lagi, hantu itu memakai pakaian putih, berambut panjang, matanya merah manakala giginya tajam.

“Akibat kejadian itu, saya demam panas selama beberapa hari,” ujarnya.

Mohd. Hanipah Wahi, 47, dari Sepang, Selangor pula menceritakan pengalamannya memancing di sebuah jeti lama di Bagan Datoh, Perak pada awal tahun 1990-an.

“Saya ke sana kerana rakan mengatakan kawasan itu terdapat banyak ikan. Jadi saya pergi seorang diri dengan menyewa sebuah bot.

“Hasil tangkapan cukup banyak tetapi apabila bercakap dengan orang kampung, mereka kata mereka tidak berani memancing atau menangkap ikan di situ kerana sering terserempak dengan hantu sungai,” katanya.



:: Siti Balqis dilarikan




'Dilarikan makhluk wajah anjing, babi'
Oleh Mohammad Ishak
bhkt@bharian.com.my
2010/10/10



Foto
ANTARA SMS yang sempat dihantar kepada ibunya ketika dia dibawa makhluk halus.

Foto
SITI Balqis menujukkan siling tempatnya pernah disembunyikan.

Foto
NAJIB Abdullah Ghani berusaha mengubat Siti Balqis.


Siti Balqis ghaib dibawa ke rumah tinggal, atas pokok dan tanah perkuburan

NASIB gadis, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Terengganu, yang melalui peristiwa seram memasuki alam ghaib, sememangnya mencuri tumpuan ramai. Namun, seperti misterinya kejadian itu, begitu jugalah sukarnya kaedah bagi merungkai nasib dirinya yang tidak lagi dapat melalui kehidupan tenang apabila terus berdepan kejadian pelik berkenaan.

Apa yang pasti, seperti diakui Siti Balqis yang selesa dipanggil Siti, setiap kali hilang dari rumah, dia yang sudah melalui beberapa pengembaraan ke alam ghaib sejak dua bulan lalu, dibawa suatu lembaga besar dan tinggi berwajah anjing dan berbulu tebal seperti beruang. Ada kalanya, makhluk itu menyerupai babi yang sentiasa ada di sekelilingnya.
Makhluk itu yang menggendong di bahu 'berjalan' merentas apa saja hinggakan mereka sampai ke destinasi dengan begitu cepat sebaik diambil makhluk itu dari rumahnya dan sampai ke destinasi yang pernah sejauh 10 kilometer dari rumahnya.

“Saya berada di alam yang sukar digambarkan insan lain. Kadang-kadang rasa seperti bermimpi, tetapi anehnya, saya dapat mengamati kejadian yang berlaku seperti orang menangis, meraung meminta tolong dan mengaji al-Quran di kubur,” katanya yang menetap bersama keluarga di Kampung Gong Nangka, Apal di Jertih.

Dalam nada keletihan, Siti Balqis berkata, anehnya, dia pasrah dengan nasib dirinya yang pelik itu dan yakin pasti ada penyelesaian terhadap masalahnya itu.

“Pada mulanya, memanglah takut. Tetapi apabila sudah hampir setiap hari dapat melihat makhluk ini, saya seakan sudah biasa. Kebanyakannya ia muncul dalam bentuk makhluk besar berwajah anjing dan berbulu tebal seperti beruang.
“Pada masa lain pula, ia berupa babi. Ia juga ada di mana-mana baik di dalam mahu pun di luar rumah. Saya tidak dapat mengelaknya kerana ia sentiasa berada di sekeliling. Mungkin disebabkan itu saya tidak berasa takut biarpun bimbang apa yang akan dilakukan kepada diri ini,” katanya.

Malah, wartawan Berita Minggu turut sama menyelami sendiri kehidupan keluarga berkenaan yang terpaksa berjaga malam mengawal pergerakan Siti pada malam Selasa lalu tetapi dia tidak ghaib pada malam itu. Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, anaknya tidak ghaib jika berada dalam kesakitan.

Namun, penulis dan jurugambar, Aswadi Alias, sempat merasai pengalaman seram apabila mendengar dentuman seperti suatu objek berat terhempas di lantai.
Namun, selepas diperiksa, tiada apa terjadi. Tidak lama kemudian, objek yang berbalut kain putih melayang dalam rumah.

Logam sepanjang kira-kira 12 sentimeter itu kemudian terhempas di penjuru ruang tamu, cukup untuk menegakkan bulu roma sesiapa saja, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bersama isterinya yang turut hadir.

Bercerita lanjut, Siti Balqis berkata, berbanding pengalaman orang lain yang hilang dibawa makhluk halus, dia sebaliknya tidak berasa seperti berada di taman indah atau dihidangkan untuk menikmati makanan yang sedap. Malah dia berasa seperti berada di suatu tempat dan dapat melihat orang ramai mundar mandir mencarinya. Pernah sekali, ketika ghaib ke dalam sebuah rumah tinggal di kampung itu, dia menyentuh tangan bapa saudaranya beberapa kali tetapi mereka tidak berasakan kehadirannya.

Dalam tempoh dua bulan lalu, termasuk Ramadan, Siti Balqis sudah berada di lima lokasi luar rumahnya selain ghaib hampir setiap malam antara enam hingga tujuh jam sebelum ditemui semula selepas keluarga membuat solat hajat, membaca al-Quran dan melaungkan azan di tempat dia dipercayai berada.

Setakat ini, Siti sudah dibawa makhluk itu ke sebuah rumah tinggal, atas pokok, atas siling rumahnya, dalam mesin pembancuh simen dan paling jauh 'perjalanan' ke dua tanah perkuburan pada malam tujuh likur Ramadan. Perjalanan lebih 10 kilometer ke tanah perkuburan berkenaan memang mengambil masa. Justeru, Siti yang dibawa semula bersama penulis ke kawasan perkuburan itu, berasa hairan kerana dia ke sana dengan pantas merentas laluan yang sangat berbeza.

“Ini bukan laluan saya pergi ke kubur tetapi ada jalan pintas meredah hutan dan belukar untuk sampai ke sana ketika saya dibawa lembaga menyerupai anjing yang lebat bulunya,” kata Siti, yang kelihatan agak letih selepas keadaan yang menimpanya, mengenai perjalannnya ke Perkuburan Islam Kampung Gong, Gucil, Jertih, Terengganu.

Katanya, pada malam itu, dia berasa seperti berada dalam sebuah keranda selepas dibawa makhluk berkenaan. Selepas di alam ghaib itu, dia tersedar dan berada di atas tanah kubur. Ketika itulah dia yang masih menggenggam telefon bimbitnya, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu meminta tolong kerana takut. Tetapi tidak lama kemudian, dia kembali ke alam ghaib apabila diambil lembaga itu dan dibawa ke tanah perkuburan lain di Kampung Gong Rengas, yang lebih jauh dari kampungnya.

Norizan mengakui menerima SMS itu kira-kira jam 3 pagi bergegas bersama tiga anak lain dengan sebuah kereta yang dipandu jiran, tetapi gagal menemui Siti. Mereka kemudian ke balai polis bagi membuat laporan kehilangannya. Akan tetapi sebaik masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, mereka terhidu sesuatu yang sukar digambarkan dan tiba-tiba Siti muncul di depan rumah. Seluruh tubuhnya dibasahi air dan bajunya kotor berlumuran tanah liat merah.

Ibarat berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kehidupan Siti sekeluarga, khususnya Norizan, dipenuhi pelbagai usaha bagi memulihkan anak kesayangannya termasuk solat hajat, membaca al-Quran, membaca surah Yasin dan kaedah lain menurut ajaran Islam tetapi belum berhasil.

Keluarga itu turut menggunakan lebih 100 bomoh dari Kelantan, Terengganu dan Pahang selain empat guni beras, satu guni garam, lima kilogram pulut hitam dan dua kilogram lada hitam yang menjadi sebahagian ikhtiar, tetapi keadaan tidak berubah.

“Sudah banyak wang dibelanjakan untuk upah bomoh dan sekarang kami sudah tidak mampu lagi kerana tiada sumber kewangan yang cukup,” katanya yang mengharapkan rezeki sebagai tukang jahit.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi), Omar Musa, berkata apa yang dialami Siti mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.

Katanya, keluarga mangsa hendaklah bersabar dan mencari perubatan alternatif secara perubatan Islam bagi membolehkan mangsa tidak lagi diganggu makhluk halus.

"Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis itu ada kaitan dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah kita (orang Islam)," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata kerajaan negeri simpati dengan masalah Siti Balqis dan tidak menolak kejadian menimpanya ada kaitan dengan gangguan makhluk halus dan hendaklah dirawat menggunakan kaedah Islam.

INFO
Kehilangan misteri global pernah dilaporkan

  • Di Indonesia, pada 2009, seorang gadis, Aslina yang menetap di Bengkalis, koma selama 48 jam. Sebaik sedar, dia mendakwa melihat pelbagai kejadian aneh berkaitan amal dan perbuatan manusia di dunia. Malah ketika sidang media di sebuah stesen televisyen di daerah itu, kejadian aneh seperti bekalan elektrik terputus dan kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang, mengejutkan wakil media.

  • Kehilangan misteri penulis terkenal England, Agatha Christie selama 11 hari pada 3 Disember 1926, yang mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk masalah tekanan dan masalah lupa ingatan atau amnesia serta unsur mistik.

  • Diplomat Britain, Benjamin Bathurst, baru kembali dari Hamburg dengan seorang rakannya selepas hadir di mahkamah Austria pada 1809. Dalam perjalanan, mereka berhenti makan malam di bandar Perelberg. Sebaik habis makan, mereka kembali ke kereta kuda yang menunggu. Rakan Bathurst melihat diplomat itu menaiki koc depan kereta kuda itu untuk memeriksa kuda dan dia terus hilang tanpa dapat dikesan.

  • Tiga anggota tentera New Zealand yang mendakwa melihat sendiri kehilangan misteri satu batalion pada 1915. Tiga anggota tentera New Zealand berkata mereka nampak dengan jelas batalionRejimen Diraja Norfolk berkawad menaiki bukit di Teluk Suvla, Turki. Bukit itu dikelilingi awan dan tentera Inggeris itu berkawad memasuki awan dengan mudah. Mereka dapat dikesan lagi selepas kejadian itu.
  • Thursday 28 October 2010

    :: Selawat tafrijiyyah/kamilah






    SATURDAY, JANUARY 23, 2010

    Selawat Tafrijiyyah atau Selawat Kamilah



    Selawat Tafrijiyyah ini telah diberikan oleh Ustaz Nazri tahun lepas dan selawat ini juga telah diajar oleh Ustaz Rizqon Saleh ketika aku menunaikan Umrah pada Jun 2009.Ramai yang mempertikaikan kegunaan selawat ini, untuk keterangan lanjut silalah pergi ke website darul syifa untuk mendapat penjelasan tentang amalan selawat ini daripada Ustaz Harun Din. Alhamdulilah, aku telah mengamalkan selawat ini tiap kali selesai solat 5 waktu.

    Antara kebaikan pengamal selawat ini... Insya Allah... :

    1. melenyapkan kesedihan, kesulitan serta bahaya yang menimpa dirinya.

    2. memudahkan segala urusan hidupnya, dipancarkan nur (cahaya) dalam hatinya juga ditinggikan martabatnya.

    3. dimurahkan rezekinya, dijauhkan daripada kelaparan dan kemiskinan.

    4. suaranya didengari dan pandangan serta pendapatnya diterima ramai.

    5. dilindungi daripada segala bencana dan malapetaka.

    6. sentiasa dicintai oleh semua orang.

    7.Segala yang dihajati akan dimakbulkan Allah.


    Kebaikan lain ialah :-

    1. Apabila dibaca 3 kali selepas selesai solat fardhu maka pahalanya samalah seperti haji mabrur/haji yang maqbul.

    2. Kata Iman al-Dainuri, "sesiapa yang kekal membaca selawat ini selepas setiap solat fardhu sebanyak 11 kali, rezekinya tidak akan putus serta meraih suatu kedudukan yang baik dan tinggi".

    3. Sesiapa yang kekal mengamalkan selawat ini selepas setiap kali solat subuh sebanyak 41 kali, Allah akan menyampaikan segala hajat dan cita-citanya.

    4. Sesiapa yang sanggup mengamalkan sebanyak 100 kali setiap hari, akan mendapat apa yang diinginkan serta meraih semua daripada apa yang dia hajati dan kehendaki.

    5. Sesiapa yang mengamalkan selawat ini sebanyak 313 kali (bil para rasul) setiap hari, akan terbuka Asrar 9 Rahsia... sesungguhnya akan dapat melihat segala sesuatu yang dikehendakinya.

    6. Sesiapa yang mengamalkan selawat ini dengan kekal sebanyak 1000 kali setiap hari, maka dia akan memperolehi segala apa yang dihajatkan juga mendapat sesuatu yang belum pernah dia terfikir sebelum ini.


    .........wallahu;alam.......

    Friday 22 October 2010

    :: Histeria di SMK Anjung Batu...Mersing



    MERSING: Kehadiran lembaga wanita berambut panjang serta kanak-kanak di belakang dewan Sekolah Menengah Anjung Batu (SMKAB) di sini, pagi semalam mencetuskan histeria membabitkan lebih 10 pelajar sekolah berkenaan.

    Lembaga wanita serta kanak-kanak itu dikatakan menjelma di depan seorang pelajar perempuan sebelum ia berjangkit kepada lebih 10 yang lain termasuk tiga pelajar lelaki.

    Pengetua SMKAB, Abu Othman Ibrahim berkata, kejadian berlaku jam 9.30 pagi dan pelajar terbabit dibawa ke surau sekolah itu sebelum diberikan rawatan.


    “Kumpulan pelajar berkenaan tiba-tiba menjerit dan kami meminta bantuan tiga pengamal perubatan tradisional untuk membantu merawat mereka.

    “Ibu bapa serta keluarga pelajar terbabit dengan kejadian turut dihubungi untuk dimaklumkan berkaitan kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

    Sementara itu, ketua pengamal perubatan berkenaan dikenali sebagai Wahid Junid, berusia 40-an, mendakwa ada makhluk halus menjadikan kawasan belakang dewan SMKAB sebagai kediaman mereka.

    “Seorang daripada mangsa mengalami histeria sejak Jumaat lalu dan masih belum pulih sepenuhnya akibat kejadian pertama dialami itu.

    “Kami nasihatkan pelajar yang menjadi mangsa supaya memperbanyakkan amalan masing-masing selain tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejadian yang menimpa mereka,” katanya.

    Menurut Wahid, dia bersama dua lagi rakannya akan berusaha untuk cuba menghalang gangguan itu daripada berulang.




    Wednesday 20 October 2010

    :: Ilmu penunduk ?



    Gadis diganggu jin ilmu hitam

    Oleh Mohd Nur Hafidz Nordin



    Gadis diganggu jin ilmu hitam


    KULAIJAYA: Seorang gadis sengsara akibat gangguan histeria yang dikatakan berpunca daripada tindakannya menggunakan jin dan amalan ilmu hitam bagi menundukkan lelaki supaya memenuhi kemahuannya memiliki barangan berjenama.

    Gangguan histeria dialami gadis berusia 18 tahun itu berlaku jam 10.30 malam pada 14 Oktober lalu memaksa keluarga remaja berkenaan memanggil pengamal perubatan tradisional bagi memulihkan keadaan.

    Hasil rawatan, bomoh berkenaan memberitahu kejadian berpunca daripada jin belaan gadis berkenaan mengamuk apabila dia yang mahu dikenali sebagai Ila tidak menunaikan janji dalam mengamalkan ilmu hitam.


    Bapa mangsa yang enggan dikenali mendakwa, ‘ilmu penunduk’ yang diamalkan anak gadisnya diperoleh remaja itu daripada bapa saudaranya yang juga seorang bomoh di Negeri Sembilan.

    “Anak perempuan saya itu dibela abang ipar saya sejak kecil lagi sebelum saya mengambilnya semula empat tahun lalu selepas dia melakukan pelbagai kesalahan di sekolah.

    “Saya menyedari dia mengamalkan ilmu hitam selepas isteri menjumpai sehelai kertas bertulis ayat mantera yang tidak difahami dalam simpanannya,” katanya.

    Menurutnya, akibat tidak sedap hati, dia dan isterinya membakar kertas berkenaan sebelum bertanya kepada anaknya mengenai ayat di atas helaian kertas itu.

    “Dia menggelengkan kepala dan mengatakan itu kertas conteng biasa tapi kami yakin ia mantera dibekalkan bapa saudaranya.

    “Saya berani berkata demikian kerana saya sendiri pernah melihat abang ipar (bapa saudara gadis berkenaan) menggunakan bara api ketika menjalankan proses perubatan,” katanya.

    Ibu Ila pula berkata, gangguan histeria dialami anak gadisnya makin kerap berlaku dan minggu lalu kali ketiga menimpanya sepanjang tempoh dua bulan lalu.

    Katanya, sebelum tubuh Ila dimasuki jin, dia duduk diam di satu sudut menangis sambil diiringi gelak tawa yang menyeramkan dan memarahi sesiapa yang cuba menenangkannya.

    “Ila mengaku dia mengamalkan ilmu yang diberi bapa angkatnya selepas gangguan kali pertama berlaku pada pertengahan bulan lalu.

    “Dia menggunakan ilmu itu bagi membuatkan semua lelaki yang dikenalinya menurut perintah dan meminta apa saja barangan mewah dikehendakinya.

    “Tahap kesabaran kami sekeluarga sampai ke kemuncak apabila dia menggunakan ilmu penunduk itu ke atas anak angkat kami yang juga seorang mualaf bagi memenuhi kehendaknya memiliki barangan berjenama.

    “Walaupun kami berulang kali menasihatinya supaya membuang ilmu itu, dia tetap berdegil dan mengamalkan ilmu hitam itu,” katanya.

    Wanita itu berkata, walaupun tiga kali diubati, Ila belum pulih sepenuhnya dan dia percaya gangguan histeria itu boleh berulang lagi.

    “Jika perkara ini berlaku di rumah, kami masih boleh mengawasinya tapi jika ia berlaku di luar, saya bimbang ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain,” katanya.

    Sementara itu, pengamal perubatan tradisional, Abu Samah Ahmad yang merawat Ila berkata, apa yang dialami gadis berkenaan kesan buruk apabila seseorang manusia mengamalkan ilmu hitam.

    “Inilah akibatnya jika mengamalkan benda terlarang kerana ia bukan saja memudaratkan diri, malah boleh membawa kita kepada syirik kerana meminta pertolongan selain daripada Allah SWT,” katanya.

    Katanya, ketika tubuh Ila dimasuki jin, tindak-tanduknya juga berubah kerana akal fikirannya dikawal jin.


    Saturday 31 July 2010

    :: SMK Dato Permaisuri: Pelajar guna darah seru roh

    Seru roh duit hantu punca histeria

    July 31, 2010, Saturday

    Kumpulan pelajar terbabit turut guna titisan darah mereka untuk menyeru roh tersebut yang dipercayai masih bersama mereka

    Permainan menyeru roh duit hantu yang melibatkan sekumpulan pelajar dipercayai punca serangan histeria yang merasuk pelajar perempuan SMK Dato Permaisuri kelmarin.

    Kumpulan pelajar itu turut menggunakan titisan darah mereka sendiri untuk menyeru roh tersebut yang dipercayai masih bersama mereka dan mengganggu pelajar lain.

    “Pelajar-pelajar ini telah bermain permainan duit hantu ini semasa cuti Hari Gawai di kediaman mereka.

    “Mereka telah guna darah untuk menyeru roh duit hantu itu,” jelas sumber daripada pihak sekolah yang ditemui semalam.

    Siasatan punca serangan histeria yang merasuk lebih 20 pelajar perempuan sekolah itu telah dilakukan.

    Tidak mahu namanya disiarkan, sumber tersebut memberitahu, histeria menyerang pelajar sekolah itu sejak awal bulan lalu setelah tamat cuti persekolahan.

    Roh duit hantu itu dipercayai mengekori kumpulan pelajar berkenaan di kawasan sekolah dan mengganggu serta merasuk pelajar secara perseorangan.

    “Serangan kelmarin adalah yang serius melibatkan pelajar kami. Beberapa pelajar diserang histeria sementara yang lain menjadi ketakutan setelah melihat kawan mereka menangis dan menjerit,” jelasnya.

    Menurutnya, keadaan semalam semakin terkawal tetapi tempoh pembelajaran sesi persekolahan telah dipendekkan.

    Bagaimanapun, ramai pelajar sesi pagi takut untuk datang ke sekolah kerana terkejut dengan serangan histeria yang menimpa rakan mereka. Mangsa histeria kelmarin masih dibenarkan berehat di rumah.

    Pelajar asrama juga dibenarkan balik untuk mengelak mereka dirasuk dan mencederakan diri sendiri.

    Semua pelajar sesi pagi juga berkumpul di dalam dewan bersama guru dan pengetua di mana pelajar dinasihati supaya menumpukan perhatian terhadap pelajaran bukan masalah histeria di sekolah mereka.

    Seorang pelajar tingkatan lima yang ditemui memberitahu, serangan histeria kerap berlaku di sekolah itu termasuk di dalam tandas dan menyerang pelajar asrama.

    “Kami meminta pihak PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan pihak sekolah mencari jalan penyelesaian serangan histeria di sekolah ini.

    “Kami tidak mahu anak kami (pelajar) berasa takut untuk ke sekolah,” jelas seorang ayah.


    ..............................................................................................


    SMK Dato Permaisuri Miri dilanda histeria

    Oleh Hazel Lee:

    MIRI- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri di sini, kecoh apabila lebih 20 pelajar perempuannya di serang histeria secara berperingkat semasa waktu rehat pagi tadi.

    Kejadian bermula kira-kira jam 10 pagi, apabila pelajar sesi pagi dari tingkatan tiga empat dan lima secara tiba-tiba meronta, menjerit, menangis dan pengsan.

    Difahamkan, serangan bermula dari seorang pelajar perempuan yang secara tiba-tiba menangis dan meraung dalam kelas sebelum merebak kepada pelajar lain.

    Serangan berlarutan sehingga sesi pagi berakhir pada jam 12.30 hari dan menular kepada beberapa pelajar sesi petang yang memasuki perkarangan persekolahan.

    “Salah seorang pelajar perempuan tingkatan lima secara tiba-tiba menjerit dan kemudian berjangkit kepada pelajar-pelajar lain. Mereka seperti dirasuk ,” kata seorang pelajar yang ditemui.

    Dia yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu, pelajar perempuan itu adalah sahabatnya dan pernah mengalami histeria pada hari Selasa lalu kira-kira jam 8.30 pagi.

    Berikutan serangan histeria, pembelajaran sesi petang sekolah itu terpaksa dihentikan untuk mengelak serangan dari menular kepada pelajar lain.

    Ibu bapa bergegas datang ke sekolah setelah dimaklumkan dengan kejadian mengejutkan itu yang turut mengakibatkan beberapa pelajar jatuh pengsan.

    Pelajar dibawa keluar dari bilik kelas oleh ibu bapa, guru dan pelajar lain. Pelajar yang masih meronta-ronta, menjerit dan menangis juga ditenangkan.

    Pelajar yang diserang histeria dibawa ke surau untuk rawatan dengan bantuan guru, kakitangan sekolah serta pelajar lain.

    Pihak sekolah mengambil tindakan merawat pelajar menerusi bacaan ayat suci Al-Quran dan doa.

    “Saya berharap pihak sekolah memberi masa kepada pelajar-pelajar ini untuk berehat dan masa untuk mengembalikan kekuatan semangat mereka,” jelas seorang ayah yang juga tidak mahu namanya disiarkan.

    Pengetua, Piel Adeng yang dihubungi memberitahu, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa pada hari ini (30 Julai) dimana pelajar akan diperjelaskan tentang serangan berkenaan dan tindakan yang akan diambil oleh pihak sekolah berdepan masalah berkenaan.

    “Pelajar yang terkena serangan ini termasuk mereka yang masih terkejut boleh berehat dan tidak dipaksa untuk ke sekolah,” jelasnya.

    Kejadian berkenaan turut dimaklumkan kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam.

    “Saya akan cuba mendapatkan maklumat daripada Jabatan Pelajaran dan pihak sekolah tentang insiden ini. Setakat ini saya belum menerima laporan dari Jabatan Pelajaran berhubung kes berkenaan,” jelasnya yang dihubungi.