Monday, 25 January 2010

:: Dilanggar makhluk ghaib

Rebah dilanggar makhluk ghaib di pesta kepah

Oleh Zaiton Abdul Karim

PERISTIWA ini berlaku lebih kurang 28 tahun lalu. Ketika itu, aku masih kanak-kanak. Kampung kami dikejutkan dengan kehadiran kepah yang banyak di pantai berhampiran. Tidak pernah begitu banyak hidupan laut itu ditemui di pantai kampung kami.

Sejak berita baik itu dihebahkan dari mulut ke mulut, berduyun-duyun penduduk kampung mengunjungi pantai berkenaan. Bukan penduduk tempatan saja yang datang malah ramai pengunjung dari luar yang turut berkampung di situ. Semuanya ingin mengambil kesempatan yang mungkin berlaku sekali dalam seumur hidup itu.

Setiap hari selama dua minggu, suasana Pantai Hailam bagaikan pesta menuai kepah. Masing-masing membawa bersama cangkul, pengais, baldi dan segala macam alatan yang difikirkan sesuai untuk mencari kepah. Beberapa gerai sementara juga didirikan berdekatan dengan pantai. Semuanya berebut-rebut untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin.


Keghairahan mencari kepah juga berjangkit kepada keluarga kami. Jiran sebelah rumah turut sama tumpang sekaki. Mereka sering mengajak kami anak-beranak sama-sama memeriahkan suasana. Namun ayah melarang keras hasrat kami untuk mengikut jiran ke sana. Menurut ayah, pantai itu agak keras.

Setiap hari kami merayu ayah supaya dibenarkan pergi ke pantai. Seorang demi seorang kami sebelas beradik memujuk ayah. Kami turut mengajak ibu sama-sama menyertai operasi kami itu. Malangnya hati ayah tidak berupaya kami lembutkan. Biasanya ayah tidak begitu. Segala permintaan kami sedaya upaya dipenuhi walaupun kami bukan terdiri dari orang yang berada.

Kami akhirnya berputus asa. Bagaimanapun kami tetap dapat merasai keenakan kepah segar. Ayah membeli beberapa kilogram kepah daripada penduduk kampung. Terubat sedikit rasa terkilan di hati kami. Namun kakak sulung kami, Kak Mas masih tidak berpuas hati. Dia masih ingin ke pantai mencari kepah.

Kak Mas akhirnya mengambil keputusan mengikut anak jiran secara senyap-senyap. Kata Kak Mas, dia ingin ke sekolah pada petang itu kerana ada kelas tambahan. Kebetulan memang dia berada dalam tingkatan tiga dan akan menduduki peperiksaan SRP tidak lama lagi.

Belumpun setengah jam Kak Mas keluar, kami didatangi oleh Pak Su Kadir dengan skuter. Terjerit-jerit dia memanggil ayah di hadapan rumah. Kami bertempiaran lari ke muka pintu. Berdentum-dentam papan lantai rumah kami dihentak-hentak dengan kasar oleh bilangan kami yang ramai. Kami turut cemas apabila melihat Pak Su Kadir tercungap-cungap.

“Kenapa kau, Kadir?” tanya ayah. Kami turut tidak sabar untuk mendengar berita yang dibawa oleh Pak Su Kadir. “Anak abang, Masnaini pengsan kat pantai!” jeritnya. “Ya Allah, anak aku! Kau bawa aku ke pantai sekarang!” tegas arahan ayah kepada adik bongsunya itu.

Pak Su menunggang skuter dengan laju. Menurut ayah setibanya di pantai, orang ramai mengerumuni Kak Mas yang berada di bawah sebatang pokok ru. Seorang anak jiran memangku kepalanya. Kata Pak Su pula badan Kak Mas berpeluh-peluh dan mukanya merah seperti di dalam kesakitan. Mulutnya berbuih-buih bagaikan orang kena sawan. Matanya pula menjula-jula dan sesekali terbuntang memandang orang ramai di sekelilingnya. Mulutnya tidak berkata-kata tetapi menderam seperti bunyi anjing ingin berkelahi. Kak Mas akhirnya pengsan tidak sedarkan diri.

Ayah membawa Kak Mas ke hospital dengan sebuah kereta sapu yang kebetulan berada di situ. Kak Mas ditahan di wad selama dua malam. Menurut doktor, Kak Mas mungkin disengat ikan pari atau ampai-ampai. Ayah memang sering mengingatkan kami bahawa perairan pantai itu memang banyak ampai-ampai dan ikan pari. Kami hanya dibenarkan bermain-main pasir di pantai setiap kali kami sekeluarga menghabiskan masa di kawasan itu. Kami tidak sekali-kali dibenarkan mencecahkan kaki di gigi air sekalipun. Kami hanya akan dibenarkan bermain air jika kami pergi lebih jauh ke utara iaitu di Pantai Puteri, satu kilometer dari situ.

Kata ayah air laut di situ lebih selamat untuk bermandi-manda. Ibu menyuruh kami menurut saja larangan ayah. Menurut ibu ayah memang pakar dengan laut kerana lama menghabiskan masa mudanya menjadi kelasi kapal.

Kami berasa lega apabila Kak Mas dibenarkan pulang ke rumah. Kasihan sungguh melihat keadaannya yang lemah dan tidak bertenaga. Namun walaupun mukanya masih pucat lesi, Kak Mas masih becok mulutnya bercerita. Kata Kak Mas, dia bukannya disengat ikan pari atau ampai-ampai kerana dia belum pun mencecahkan kakinya ke dalam air. Ketika itu dia sedang berbual-bual dengan seorang rakan yang ditemuinya di pantai itu. Tiba-tiba Kak Mas berasa seperti dirempuh dengan kasar oleh sesuatu yang besar. Kak Mas dapat merasai benda itu kemudian meresap masuk ke dalam tubuhnya sebelum dia rebah pengsan di atas pasir. Tapi kata Kak Mas, dia tidak pula melihat makhluk yang mengganggunya itu.

Kehidupan kami tidak tenteram sejak Kak Mas pulang dari hospital. Dia akan menjerit-jerit dan meracau-racau setiap kali tidur malam. Entah apa-apa yang diucapkannya. Tiada seorangpun yang memahami kata-katanya. Mujur keadaan itu tidak berpanjangan. Kak Mas pulih setelah ayah memanggil penduduk kampung membaca Yasin di rumah kami selama tiga malam berturut-turut.

Ayah dan ibu sering mengingatkan kami supaya membaca ayat Kursi dan empat surah-surah lazim serta dua puluh satu kali Bismillah setiap kali sebelum tidur, sesuatu yang kami amalkan sehingga kini.

Kejadian itu benar-benar memberi kesan kepada kami adik-beradik terutama Kak Mas. Dia berasa menyesal kerana melanggar arahan ayah, namun tidak pernah serik untuk berkelah di pantai. Oleh itu jangan sekali kita membantah larangan ibu bapa. Pasti ada hikmahnya jika kita sentiasa menurut nasihat yang diberikan mereka.

No comments:

Post a Comment