Wednesday, 10 February 2010

:: Penangan puyu di parit

Diserang kerbau jadian di ladang kelapa sawit

Oleh Zaiton Abdul Karim

MUSTAFA, Bakar, Jamal dan Hamid adalah sahabat karib yang amat gemar memancing. Hampir setiap hujung minggu mereka akan keluar untuk memenuhi hobi itu. Pantang mereka mendengar ada tasik, kolam , sungai atau tali air yang banyak ikan, pasti mereka akan pergi menduga. Bagaimanapun kumpulan pemancing ini tidak pula gemar memancing di laut.

Pada suatu hari, Mustafa mencadangkan mereka pergi ke kampung rakan sekerjanya di Muar, Johor. Menurut kawannya, parit saliran di kebun sawit bapa saudaranya banyak dihuni ikan puyu sebesar tiga empat jari. Penduduk kawasan itu pula menurutnya tidak menggemari ikan puyu.

“Ini peluang baik! Sambil memancing boleh buat duit sikit!,” kata Bakar girang apabila mendengar cadangan yang menarik itu.


Orang di kampungnya memang lebih menyukai ikan puyu berbanding ikan air tawar yang lain. Harga ikan itu yang siap disiang boleh mencecah RM12 sekilogram.

“Aku nak bawa jaring sekali,” sambungnya lagi.

Rakan lain hanya tersenyum melihat telatah sahabat mereka yang memang pandai mencari duit lebih itu.

Pada hari Sabtu berikutnya, pagi-pagi lagi mereka berkumpul di rumah Jamal. Dari situ, mereka akan menaiki van Jamal ke Muar. Masing-masing akan berkongsi membayar duit petrol untuk perjalanan kali ini.

Perjalanan ke Muar hanya mengambil masa satu jam dari kampung mereka di Melaka. Rakan sekerja Mustafa, Zulkifli sedia menunggu di tempat yang dijanjikan. Empat sekawan itu begitu teruja apabila melihat begitu banyak ikan puyu di dalam parit yang amat jernih airnya. Ikan itu berenang bertali arus secara berkumpulan dengan saiz yang memang jauh lebih besar berbanding ikan puyu di kampung mereka.

Mustafa, Jamal dan Hamid mula mengambil tempat untuk menghulurkan joran masing-masing. Zulkifli meminta izin untuk beredar dulu kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Bakar pula memilih sebatang parit lain yang terletak 15 meter dari situ dan mula memasang jaringnya. Dia kemudian turut memancing di parit yang sama dengan rakan lain.

Ikan puyu tidak menunggu lama untuk memakan umpan. Keempat-empat sahabat itu bersorak kegembiraan setiap kali ikan puyu mengena mata kail masing-masing. Tidak sampai dua jam, tong ikan mereka dipenuhi dengan tangkapan.

“Aku nak tengok jaring aku!” kata Bakar sambil beredar meninggalkan rakannya. Bakar berasa pelik apabila mendengar bunyi kerbau menguak. Dia sudah lama tidak melihat haiwan itu. Penduduk kampungnya pun tidak lagi memelihara kerbau. Seingatnya kali terakhir dia melihat kerbau adalah di sekitar tahun tujuh puluhan. Bunyi itu semakin kuat apabila Bakar semakin menghampiri tempat dia memasang jaring.

Bakar melihat seekor kerbau jantan yang agak besar dan seorang lelaki bersama seorang budak perempuan yang berusia tiga atau empat tahun berdiri beberapa meter di hadapannya. Kerbau jantan sedang merenung dua beranak itu sambil menguis-guis kaki hadapannya dengan marah. Dengusan nafasnya kedengaran agak kuat. Tiba-tiba kerbau jantan itu meluru ke hadapan dan menanduk budak perempuan itu. Budak kecil itu terpelanting sebelum terhempas ke tanah. Seluruh badannya berlumuran darah. Si ayah terjerit kuat dan segera berlari mendapatkan anaknya.

Bakar pun menjerit sama. Dia amat terkejut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Kerbau jantan yang naik minyak itu berpusing ke arah Bakar pula. Ia meluru laju dan dan menanduk Bakar dengan kasar. “Ya, Allah selamatkan aku!” laung Bakar apabila terasa tanduk kerbau itu mengoyakkan daging di dadanya.

“Krakk!” Bakar dapat mendengar jelas bunyi tulang bahu dan tangan kanannya patah akibat tandukan kerbau itu. Seluruh badannya juga terasa dipijak-pijak dengan ganas oleh haiwan itu dan akhirnya dia tidak sedarkan diri.

Rakan lain amat cemas apabila mendengar jeritan Bakar. Lebih terkejut apabila melihat Bakar tertiarap di atas tanah dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Mereka memandang sekeliling tetapi tiada sesuatu yang mencurigakan. “Cepat! Cepat! Kita bawa ke hospital,” teriak Jamal apabila Bakar masih pengsan setelah ditepuk berkali-kali. Jamal bimbang jika Bakar dipatuk ular berbisa kerana ladang sawit itu memang menjadi habitat pelbagai jenis ular.

Bakar mula sedar apabila hampir sampai di hospital. Seluruh badannya terasa amat sakit, katanya. Jamal, Hamid, Mustafa berpandangan sesama sendiri apabila mendengar cerita Bakar. Mereka tidak pula ternampak kelibat kerbau jantan dan dua beranak yang diserangnya. Setelah pemeriksaan dijalankan, tiada keretakan atau patah tulang yang dialami oleh Bakar.

Bakar akhirnya sedar bahawa kejadian itu hanyalah mainan syaitan. Namun dia tidak pernah serik untuk memancing lagi. Bakar dan rakannya kini lebih berhati-hati memilih tempat yang ingin mereka kunjungi selain menambah serba sedikit ilmu di dada sebagai bekalan jika menghadapi gangguan yang serupa.

1 comment:

  1. Saya adalah penulis artikel di atas. Artikel ini adalah untuk Joran, Berita Harian, 6 Feb 2009. Saya amat kesal apabila terlihat artikel ini di blog saudara. Diharap saudara dapat memadam/mengeluarkannya dari blog ini. Saya memandang aktiviti ini sebagai tidak langsung beretika kerana pihak saudara tidak langsung menhubungi saya untuk mendapatkan kebenaran menyiarkan artikel di atas.

    ReplyDelete