Friday, 12 February 2010

:: Diganggu puaka ikan

Tidur di kelong, terjaga di kolam Ah Tong

Oleh Nuri Angkasa


SEBAIK saja meninggalkan jeti Sungai Besar, Selangor pada tengah hari itu, sekumpulan lima orang kaki pancing Sungai Buluh diketuai oleh jagoan pancing kolam iaitu Zaidi, dipelawa tekong Yop Atan untuk turun memancing di tukun konkrit dan tukun bot karam yang sudah bertahun bersemadi di dasar laut.

Lokasi tukun itu sudah dikenali sebagai lubuk harapan nelayan tempatan atau boleh diterjemahkan sebagai lokasi periuk nasi mereka yang bergantung hidup pada laut. Tekong Yop Atan satu nama baru bagi mereka yang diperkenalkan oleh Pak Herman yang sesekali datang ke Sungai Besar dan kadang kala berada di restoran lima bintang di Bandar Baru Sungai Buluh. Justeru daripada cadangan orang tua inilah rombongan lima ahli pemancing diperkenalkan kepada tekong Yop Atan yang berwajah garang bermisai panjang tetapi hatinya baik. Cuma beliau kurang bercakap.

Mereka dibawa ke satu jeti lain untuk mendapatkan sotong dan ikan segar yang baru saja dibawa pulang dari laut. Satu bakul kecil sotong dan dua bakul ikan kembung segar diambil begitu saja tanpa membayar sesen pun.


Dari jeti tempat memunggah ikan dari laut yang begitu sibuk pada ketika itu, mereka bagaikan terpanggil untuk mengingati kisah berkenaan. Bot nelayan sederhana besar tetapi lengkap sebagai sebuah bot mewah digunakan dalam trip itu, cerita Boboy anak muda kelahiran Sungai Buluh yang turut serta dalam rombongan lima orang itu. Katanya, mereka dua kali memintas sebuah sampan kayu yang didayung seorang tua bertopi lebar.

Cara berdayung sudah lama tidak digunakan kerana enjin sangkut dan enjin dalam sudah diperkenalkan. Tetapi bagaimana orang tua itu muncul dalam keadaan dunia yang sudah berubah? Apa pun cerita itu hilang begitu saja kerana sebuah lubuk ikan sudah ditemui oleh tekong Yop Atan. Bot dilabuhkan sambil beliau memberi isyarat supaya pemancing memulakan aktiviti memancing dengan melakukan pancing dasar.

Kedalaman air di kawasan itu cuma beberapa meter saja tetapi ikan merah bagaikan menggila memburu umpan sotong yang dihiris dua memanjang. Zaidi pula terus menerus mendaratkan ikan jenahak, rakan lain seperti Zam Zam dan Badrul pula jenuh bertarung dengan kerapu.

“Saya dan Yassin cuma dapat gelama pisang dan mayung saja,” cerita Boboy lagi sambil mengakui bahawa ada kelainan pada suasana laut ketika itu. Ini kerana ikan yang dipancing bagaikan berbulan tidak makan.

Tekong membawa mereka berpindah walaupun di lokasi pertama ikan masih memburu umpan namun tindakan tekong adalah muktamad. Lokasi kedua ialah sebuah kelong yang tidak bertuan.

“Kami singgah dan naik dengan arahan tekong supaya kami dapat berehat sebelum turun memancing semula dalam suasana lebih bertenaga. Selepas itu kami akan menuju lokasi yang paling mencabar dan akan berdepan ikan besar.

“Rehat dan tidur dulu, nanti apabila tiba masa saya akan kejutkan awak semua,” cerita Boboy memetik kata-kata tekong memberi harapan tinggi menggunung kepada mereka untuk bertarung dengan ikan besar.

Boboy berkata, selepas itu mereka berehat dan terlelap bagaikan terlalu letih serta mengantuk selepas masing-masing melalui sesi pertarungan hebat.

“Kami terjaga sebaik saja digerak oleh Ah Tong (seorang taukeh kolam pancing) dengan mengatakan bahawa kami masuk kolam tanpa membayar dan tidur begitu lama.

“Semua rakan saya terkejut, terutama Zaidi yang terus mengatakan bahawa mereka ada di laut bersama tekong Yop Atan dan mereka tidur di kelong.

“Mana ada kelong, ini bukan laut, ini kolam pancing. Awak selalu datang sini Zaidi, apa macam semua boleh tidur,” kata Ah Tong sambil ketawa besar dan menepuk bahu Zaidi. Dia kemudian pergi sambil menggeleng-geleng kepala.

Semua terdiam dan duduk semula di kerusi panjang tempat mereka tidur. Zaidi berjalan sambil berfikir, kemudian memandang Boboy .

“Bukankah kita sama-sama turun di jeti Sungai Besar dan memancing dengan tekong Yop Atan? Macam mana boleh ada kat kolam pancing Ah Tong,” kata Zaidi menggelengkan kepala.

Misteri itu sehingga hari ini masih belum terjawab. Malah tiada seorang pun yang mahu mengingatinya semula terutama Zaidi yang terus menganggap biarlah misteri itu tinggal sebagai misteri.

No comments:

Post a Comment