Ilmu hitam amat dikutuk oleh Allah: Prof. Dato' Dr Haron
Oleh Aziz Idris
Prof. Dato' Dr Harun Din sedang menunjukkan cara rawatan. - Gambar Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Amalan ilmu hitam oleh manusia telah wujud berabad-abad lamanya dan penggunaan ilmu ini lebih menjurus kepada kejahatan dan ilmu hitam ini dikatakan berasal dari makhluk iblis dan makhluk ini adalah satu-satunya makhluk yang memiliki ajaran sesat.
Perkara ini dinyatakan oleh Prof. Dato' Dr Haron Din dari Malaysia dalam seminar mengenai perubatan Islam sempena majlis konvokesyen Darusysyifa' Warrafahah (DSR) hari ini.
Berangkat ke majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik.
Turut hadir ialah Mufti Kerajaan, Pehin Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Juned yang juga selaku ahli DSR.
Menurut Dr Dato' Haron, ilmu hitam telah wujud pada zaman Nabi Idris dan telah digunakan oleh kumpulan 'Bani Israil' pada tahun 586 Masihi.
"Ilmu hitam boleh didapati pada mana-mana komuniti tanpa mengira sejauh mana canggih atau primitif komuniti tersebut dan penggunaannya adalah dengan pemikiran melalui teknik atau strategi bagi faedah keduniaan tanpa menghiraukan nilai kewujudan," jelasnya. Pengamal ilmu hitam sanggup berbuat apa saja untuk memuaskan pelanggannya asal sahaja mereka mematuhi bayaran tinggi yang dikenakan dan katanya lagi, hasil dari ilmu hitam telah menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa termasuk penyakit yang tidak diduga tanpa penjelasan yang jelas dari pakar perubatan, perceraian, permusuhan, hilang kewarasan, sakit kepala yang kronik dan juga kematian.
"Ilmu hitam hanyalah ilusi dan ianya tidak wujud dan ilmu hitam ini mempunyai banyak definisi dari cendekiawan Islam tetapi semua definisi ini adalah serupa," katanya.
Dato' Dr Harun berkata ilmu hitam telah disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah dalam beberapa ayat dan beliau turut menjelaskan mengenai kesan ilmu hitam dan hukumannya dalam Islam. Amalan ilmu hitam, katanya adalah suatu dosa dan amat dikutuk oleh Allah dan terdapat banyak nama yang diberikan kepada pengamal ilmu hitam seperti 'bomoh', 'dukun' atau 'pawang'.
Ilmu hitam amat dilarang dalam Islam dan pengajian agama perlu menekankan mengenai kesan penggunaan ilmu hitam bagi mencegah penyebarannya. Seminar yang disusuli dengan sesi soal-jawab turut dihadiri oleh 400 peserta dengan 200 darinya adalah graduan DSR.
No comments:
Post a Comment