Sunday, 20 December 2009

:: Renungan mampu membakar

Iblis siat kulit pokok terap

Oleh Sabaruddin Abd Ghani


DALAM perjalanan menaiki sampan dari Kuala Ketil menuju ke lubuk Batu Berarak di Sungai Sedim dekat Kampung Sidam, perasaan Wahab agak gugup. Fikirannya terbayang kisah yang menyeramkan pernah berlaku di kawasan lubuk berkenaan.

Bukan dia takut kepada gangguan iblis dan syaitan tetapi hakikatnya gangguan tegar yang di luar dugaan boleh membuatkan seseorang, terutama yang lemah semangat dirasuk atau kena histeria.

Dia membayangkan apa akan terjadi sekiranya seorang daripada mereka yang tengah asyik memancing tiba-tiba dirasuk dan terjun sungai! Musibah menunggu mereka. Tapah di lubuk itu pula dikatakan rakus membaham tanpa mengenal mangsa.


“Awat diam saja ni? Kurang sihat atau takut?,” kata ayah Wahab, Zakaria atau nama panggilannya Pak Ya Pacak memecah kesunyian sambil mengusap kepalanya. Fikiran Wahab yang sejak tadi diulit keresahan hilang serta merta. Dia bagaikan disuntik semangat baru.

Kira-kira jam 5 petang, mereka tiga beranak iaitu Wahab, Hassan (abang Wahab) dan Pak Ya Pacak sampai di lokasi. Demi keselamatan, mereka memilih kawasan tebing agak tinggi bagi mengelak gangguan atau ancaman sang bedal.

Setelah khemah ala kadar sekadar melindungi daripada kedinginan embun pagi siap terpacak, tiga beranak itu pun memulakan misi menjejak penghuni lubuk berkenaan. Sambil memerhatikan joran yang mula meliuk-liuk, mata Wahab melilau memantau persekitaran.

Ketika itu musim kemarau. Air sungai jernih dan mengalir lesu. Persekitaran di daratan penuh dengan pepohon besar merendang selain ditumbuhi semak dan belukar membuatkan hatinya berbisik dengan perkara yang bukan-bukan. Antara yang nyata iaitu binatang berbisa seperti ular tedung selar dan yang fantasi ialah kehadiran makhluk halus menghantui fikirannya.

Namun, perasaannya terpujuk apabila menyedari keampuhan ilmu ayahnya pasti mampu berdepan dengan apa juga bentuk mainan makhluk halus. Kalau dia hilang sabar, berselerak penunggu dikerjakannya.

“Ketika itu, lubuk berkenaan memang banyak udang galah dan baung tetapi ada benda yang selalu mengusik. Pokok rendang tempat bergayut pokok tanduk rusa menjadi persinggahan langsuir.

“Sebab itu, orang dulu tidak berminat mengambil pokok tanduk rusa untuk dijadikan hiasan di rumah,” kata Wahab yang pakar memancing udang galah menceritakan kisah Lubuk Batu Berarak yang penuh misteri 15 tahun lalu.

Wahab kini menetap di Kampung Padang, Kulim dekat Kuala Ketil. Namun dia sukar untuk melupakan peristiwa pernah dialaminya itu. Mungkin orang tidak percaya tetapi dia sendiri melihat apa yang berlaku itu di depan matanya. Menyeramkan!

Menjelang senja, habuan diperoleh Wahab dan Hassan cukup lumayan. Udang galah sebesar lengan budak dan baung berkulit kuning tanah bersilih ganti meragut umpan. Wahab saja berjaya mendaratkan lapan udang galah dan enam baung. Hassan pula berpuas hati dengan lima baung dan tujuh udang galah tidak termasuk ikan kurang komersial seperti lampam, tilapia dan kaloi.

Sejurus selepas Wahab menggantikan umpan baru, permukaan air di lubuk itu beralun agak kuat. Dari pengelihatannya disinari cahaya bulan separuh penuh, permukaan air lubuk itu mengeluarkan gelembung udara sebesar bola tenis.

Serentak itu, jorannya disambar sesuatu hingga melentuk hampir mencecah air. Wahab segera mengawal permainan tetapi terasa bebanan yang tersangkut berat seperti menarik seekor anak lembu.

Dia bagaikan tidak percaya. Jantungnya seakan-akan mahu berhenti berdenyut apabila melihat kelibat satu objek berwarna putih seperti ikan belida sebesar paha tersangkut pada mata kailnya.

Peliknya, cubaan Wahab menjinakkan ikan itu gagal apabila tali seperti terlucut setiap kali digulung. Akhirnya, terasa tali kail ringan dan tiada bebanan. Objek itu ghaib entah ke mana.

Ketika dia dan Hassan bangun untuk memberi tahu ayahnya di khemah yang baru selesai solat Maghrib, tiba-tiba terdengar bunyi libasan kuat di kawasan lubuk itu. Kedua-duanya teruja dengan fenomena yang belum pernah dilihatnya itu, Wahab dan Hassan memberanikan diri memerhatikan kejadian menyeramkan itu.

Bunyi libasan itu jelas kedengaran seperti ekor ikan besar atau papan memukul permukaan air. Percikan air hasil daripada libasan itu memenuhi ruang lubuk berkenaan. Namun, tidak kelihatan ekor ikan pun yang melibas.

“Arwah ayah yang faham sangat dengan gangguan seperti itu terus berdayung di pinggir lubuk. Dia kemudian memacakkan sebatang galah buluh ke dalam sungai. Sejurus kemudian, lubuk itu kembali tenang.

“Bagaimanapun, ikhtiar yang dibuat arwah ayah saya itu tidak terhenti di lubuk itu saja. Ketika kami makan malam berlaukkan baung dan udang panggang, iblis di seberang tebing di sebelah sana pula mengganggu," cerita Wahab lagi.

Gangguan kali ini tidak kurang hebatnya. Bunyi ribut seperti menumbangkan pokok dan mematahkan dahan. Ia bagai mahu mencabar kejantanan Pak Ya Pacak. Namun, orang tua itu tidak hilang punca. Cuma dengan berdiri seperti bertafakur menghadap ke arah tebing seberang sana, bunyi gangguan seperti ribut itu tiba-tiba berhenti.

Keesokan harinya, ketika mereka bersiap untuk pulang, Wahab terpandang sebatang pokok terap yang tersiat kulitnya seperti dipanah petir. Agak lama dia merenung ke arah pokok itu.

Wahab faham apa yang berlaku. Dia berasa bertuah dapat menimba pengalaman yang mungkin orang lain belum mengalaminya. Mungkin juga peristiwa itu atas kehendak Tuhan yang mahu menyedarkan manusia mengenai kewujudan makhluk lain di dunia ini selain manusia.

Bapa kepada empat anak itu juga pernah teruji ketika memancing di Sungai Muda dekat Bumbung Lima, tahun lalu. Ketika dia dan tiga rakan lain asyik melayan kail untuk menjinakkan udang galah, tiba-tiba terasa perahu yang mereka naiki dilanggar sesuatu bentuknya seperti balak.

Dia tidak berani menyuluh. Tindakan menggunakan sesuatu yang boleh mengeluarkan cahaya bagaikan memanggil sang bedal. Buaya cukup pantang melihat sesuatu yang bercahaya apatah lagi lampu picit. Jika nasib kurang baik, dengan sampan sekali dilibas pasti berkecai!

Selain dijadikan santapan untuk keluarga, udang galah yang dipancing Wahab dijual kepada seorang pengusaha restoran masakan ikan segar di Karangan, Kulim. Harga yang dijual amat lumayan iaitu antara RM40 dan RM50 sekilogram.

“Mereka yang ingin memancing udang galah harus mengamalkan beberapa petua atau pantang larang antaranya jangan sesekali meletakkan pendayung atau galah melintang perahu. Seelok-eloknya diletakkan dalam keadaan membujur.

“Berdasarkan pengalaman saya, petua atau pantang larang ini elok diamalkan supaya tidak diganggu buaya atau kejadian lain yang boleh mengancam nyawa,” kata Wahab lagi.

No comments:

Post a Comment