Tuesday, 22 December 2009

:: Memujuk dengan nasi berkunyit

Teratai terkuak ditabur nasi kunyit

Oleh Sabaruddin Abdul Ghani

TIGA malam berturut-turut beliau bermimpi kanak-kanak bermain di sebuah kolam dan ada antara mereka memberi makan ikan. Indah sungguh kawasan kolam itu ibarat taman bunga raja zaman dulu kala. Harum semerbak memenuhi persekitaran.

Apabila terjaga, beliau terasa tangan kanannya seakan-akan menggenggam sesuatu tetapi tiada apa-apa yang digenggam kecuali berbau hanyir seperti bau ikan. Beliau termanggu seketika dan segera memberitahu bapa saudaranya yang baru selesai menunaikan solat Subuh, demikian kata Wak Mashud (bukan nama sebenar) membuka cerita.

Berkerut dahi bapa saudaranya apabila mendengar kisah mimpi yang diceritakan itu. Berkali-kali lelaki itu bertanya benarkah apa yang dikatakan itu. Maklumlah ketika itu Wak Mashud baru berusia 12 tahun. Orang tua itu kurang percaya kalau-kalau beliau berbohong, cerita Wak Mashud lagi mengimbau kisah lama sekitar 1950-an.

“Seminggu sebelum itu, bapa saudara wak memberitahu hasratnya untuk memancing di Lubuk Lela di Sungai Lipis, Pahang. Musim kemarau panjang ketika itu menyebabkan air sungai berkenaan surut dan cetek. Memang sesuai untuk memancing.

“Lubuk itu menjadi idaman nelayan sungai dan kaki pancing untuk mendapatkan ikan baung tetapi tidak berani kerana banyak mainan makhluk halus seolah-olah tidak suka kehadiran manusia di situ,” kata Wak Mashud yang kini berusia 70 tahun.

Yakin dengan mimpi itu, bapa saudara Wak Mashud membuat persiapan untuk menguji lubuk berkenaan. Orang tua berdarah campuran Melayu dan Bugis itu yang setiap perbuatannya berlandaskan gerak hati mengarahkan Wak Mashud mengajak kawannya, Shuid Kidal ikut sama memancing.

Wan Muliman, bapa saudara Wak Mashud selalu mengajak Shuid Kidal menjala atau memancing di Sungai Lipis yang mengalir merentasi Pekan Benta. Keserasian antara dua sahabat itu ibarat kapur dengan sirih atau aur dengan tebing. Perwatakan Shuid Kidal yang sederhana membuatkan jalinan persahabatan mereka berdua terlalu akrab.

Selepas sarapan pagi pada hari ditetapkan, Wan Muliman, Wak Mashud dan Shuid Kidal bertolak dari rumah mereka di Ladang Budu (Budu Estet) Benta, Pahang menuju ke lokasi. Wak Mashud yang belum pernah dibawa makan angin seronok membonceng basikal bapa saudaranya itu.

Dalam perjalanan kira-kira 200 meter untuk sampai kawasan lubuk berkenaan, mereka berselisih dengan seorang wanita tua yang membawa bakul rotan penuh berisi pucuk paku.

Wan Muliman memberi salam tetapi perempuan tua itu cuma tersenyum.

Sebaik melepasi sebatang pokok terap, bau haruman semerbak menyelubungi persekitaran.

Wan Muliman memberi isyarat kepada Wak Mashud supaya berdiam saja.

“Sebaik sampai di tempat dituju, kami mendirikan pondok pisang sesikat di bawah sebatang pokok kepayang sebagai tempat memancing. Shuid Kidal mendahului kami melabuhkan joran di lubuk berkenaan.

“Namun, sebaik wak melontarkan umpan menggunakan kail batang buluh, kelihatan pokok teratai satu demi satu timbul di permukaan air. Lama kelamaan, lubuk itu dipenuhi dengan tumbuhan itu. Wak terlopong melihatkan kejadian aneh itu,” cerita Wak Mashud lagi sambi kami menghirup kopi di sebuah warung di Kampung Tanjung Pari, Baling, Kedah baru-baru ini.

Melihatkan keadaan yang pelik itu, Wan Muliman mengajak Shuid Kidal dan Wak Mashud berehat di pondok. Shuid Kidal disuruh memasak nasi kerana kebetulan hari sudah menjelang tengahari.

“Ini petanda awal mainan penghuni di sini cuba menguji kita. Jangan risau, mereka cuma mahu bergurau. Insya-Allah, kita akan pulang dengan hasil tangkapan yang banyak,” kata Wan Muliman sambil memerhatikan Shuid Kidal menyalakan api untuk memasak nasi.

Ketika mereka menikmati makan tengah hari itu dengan lauk ikan sardin goreng berlada dan ikan masin, sepasang rama-rama sebesar tapak tangan budak bercorak songket hinggap di bahu kanan Wan Muliman.

Setelah selesai makan, lelaki tua berusia 60 tahun itu menggenggam nasi yang digaul kunyit tumbuk lalu ditaburkan ke dalam lubuk berkenaan. Sejurus kemudian, pokok teratai yang sebelumnya bertaut memenuhi permukaan air akhirnya terlerai merapati tebing sungai.

Shuid Kidal yang faham sangat dengan tindakan Wan Muliman itu segera melabuhkan kailnya.

Wak Mashud yang tidak mengerti apa-apa turut mencuba nasib. Nah! Seekor ikan baung sebesar lengan menggelupur di hujung tali kailnya. Wan Muliman pada kedudukan di sisinya menepuk bahu anak saudaranya itu.

“Ada masanya kita harus dipercayai pada mimpi. Tetapi semuanya dengan kuasa Allah dan kita tidak boleh terlalu taksub. Tengok Shuid tu, nampaknya dia sedang bertarung untuk menjinakkan habuan. Minta-minta baung jugalah akan mengena.”

“Betul tu Pak Wan. Kita balik lewat sikit Pak Wan. Ikan tengah kemaruk ni,” kata Wak Mashud yang semakin teruja dengan keadaan pelik yang belum pernah dialaminya itu.

Wan Muliman bukan seperti orang lain. Beliau tidak tamak. Sebelum senja, mereka sudah berada di rumah. Jiran dapat juga merasa keenakan ikan baung dan kelah yang diberi Wan Muliman dan Shuid Kidal. Wan Muliman memang suka bersedekah. Baginya, sedekah itu sebahagian daripada ibadat.

Peristiwa aneh terus menjejaki Wan Muliman. Suatu pagi ketika beliau menyelak tudung saji untuk menikmati sarapan pagi, terhidang gulai baung masak asam tempoyak berserta ulam pucuk tumbuhan hutan.

Sejak peristiwa itu, ahli keluarga Wan Muliman yang memancing di Sungai Lipis tidak pulang kehampaan. Pernah suatu ketika dua kawan anak lelakinya merajuk tidak mahu memancing kerana sangat kecewa kail tidak disentuh ikan, sedangkan anak Wan Muliman lenguh tangan melayan ikan yang silih berganti mengena mata kail.

Malah, dalam apa juga keadaan sama ada pagi, tengah hari, petang atau malam, anak Wan Muliman yang memancing di sungai berkenaan pasti menjinjing pulang habuan lumayan. Paling tidak dua tiga ekor baung atau kelah dibawa pulang.

Wak Mashud, anak saudara paling disayangi Wan Muliman tahu serba sedikit misteri Sungai Lipis. Pernah beberapa nelayan sungai yang menjala pada waktu malam mengalami peristiwa pelik apabila jala koyak rabak sebaik ditarik naik dari dasar sungai tetapi bukan disebabkan tersangkut pada batu atau tunggul kayu.

“Dengar cerita, Lubuk Lela sekarang tidak lagi sekeras dulu. Pemancing bebas memancing tetapi ikan baung dan kelah semakin pupus dan sukar dicari.

“Seperkara yang menarik di sungai berkenaan ialah mempunyai pari yang menghuni di beberapa lubuk berhampiran Ladang Budu. Jika ingin merasa kelazatan pari sungai, pemancing boleh mencuba di tempat itu,” kata Wak Mashud menutup cerita.

No comments:

Post a Comment