Pontianak berang dilontar batu
RAMAI pemancing pasti akan berdepan dengan pelbagai ujian dan pengalaman sepanjang mereka menceburkan diri sebagai pemancing sama ada suka, duka dan kadang-kadang aneh serta tidak kurang yang kelakar.
Ini adalah satu pengalaman penulis yang tidak dapat dilupakan apabila terserempak dengan makhluk Allah yang lain ini ketika memancing di Sungai Pulau Kerengga, dekat Marang, Terengganu pada 2000.
Ceburan air di suatu sudut penghujung sungai betul-betul mengejutkan penulis yang sedang berjalan merentasi jambatan untuk menghantar pesanan makanan yang dipinta oleh tetamu di resort tempat penulis mencari rezeki. Terdetik di kepala penulis betapa rakusnya pemangsa meragut enak anak ikan di permukaan air. Jelas sekali-sekala kelibat merah sisiknya. Penulis pasti itu ikan siakap merah.
Sungai yang menghubungkan Kuala Merchang ini dinamakan Sungai Pulau Kerengga. Oleh kerana terbinanya resort yang terkenal dengan gelaran Marang Resort & Safari maka sungai ini diberi nama jolokan Sungai Safari.
Selesai menjalankan tugas harian, penulis menyusun rancangan untuk menduga penghuni sungai itu bersama rakan sekerja iaitu Man Rimau dan Jeri yang sememang kedua-duanya pemancing tegar. Jam 3 petang, penulis terus pulang ke rumah dan bersiap untuk mencari umpan yang ketika itu amat mudah dicari berikutan hujan sering melanda kawasan itu beberapa hari sebelumnya.
Tiga kali tangguk, Man Rimau berjaya mengisi balang kosong dengan lebih kurang empat puluh ekor anak ikan sepat. Kami tersenyum puas. Umpan sudah tersedia. Kami pulang ke rumah untuk berehat sementara menunggu air pasang petang kira-kira jam 7 malam. Tepat 6.30 petang, penulis sampai ke tebing sungai sementara menunggu rakan lain. Penulis mencuba teknik casting menggunakan gewang. Balingan pertama disambar dengan kuat seekor ibu toman yang akhirnya tewas selepas pertarungan selama 20 minit. Tujuh kilogram lebih, itulah berat yang dicatat. Teriakan rakan penulis memecah sunyi petang di sungai itu.
“Rimau kau! Tak tunggu aku pun.”
Man Rimau yang memang sudah menjadi trade marknya untuk ayat yang tak sepatutnya diucapkan pada sesetengah tempat.
“Apalah kau ni Man. Sebut ‘datuk’ (harimau) pulak. Bila dia datang, semua lari tak cukup tanah,” kata penulis.
Pusingan pertama kami berjaya menaikkan empat ekor siakap mereka bersaiz sederhana. Aksi tarik-menarik dan bunyi kekili membuatkan kami tidak berganjak dari tempat itu.
Sehingga jam 9 malam, semuanya sunyi. Tiada lagi aksi tadi dan anak ikan menghilangkan diri. Sambil merebahkan badan, penulis menyalakan rokok. Sesekali mata menjeling hujung joran usang yang setia berkhidmat begitu lama. Sememangnya jenama Shimano menjadi pilihan penulis untuk bertarung baik di sungai atau pantai.
Satu denyutan dapat dilihat pada hujung joran. Penulis lantas bingkas bangun untuk melibas getaran itu. Bengkok 45 darjah dibuatnya. Libasan penulis mengena. Adegan tarik-menarik berlaku. Besar juga rezeki aku ni, bisik hati penulis.
Kekili dipusing dengan cepatnya. Sampai ke tebing, penulis terpinga-pinga kerana hanya tempurung kelapa yang tersangkut pada mata kail.
Masing-masing resah melihat kejadian itu. Penulis mengandaikan itu berlaku secara kebetulan. Penulis terus memancing dengan membetulkan mata kail dan melontar semula umpan ke perut sungai.
“Har, bau bedak sejuk siapa yang pakai ni?” tanya Man Rimau pada penulis. Memang sedari tadi penulis juga terhidu bau yang sama tetapi cuba mendiamkan diri.
“Tak ada apalah Man. Agaknya bau sampah. Kau ni, mulut tak ada insuran,” penulis cuba menenangkan yang lain. Jeri sudah lama terlena kesan daripada kesunyian aksi.
“Har! Baunya makin kuat dan macam dekat sangat dengan kita. Aku rasa tak sedap hatilah. Jomlah balik,” Man Rimau bersuara dengan dahinya yang berkerut.
Berbekalkan apa yang pernah dipelajari sebelum ini, penulis mengambil anak batu dan mengucapkan ‘siapalah kau, aku nak tengok kewujudan kau’. Anak batu itu penulis baling ke perut sungai. Seketika itu tiada apa-apa yang berlaku.
“Man! Kejutkan Jeri. Kemaskan barang,” penulis memberi arahan. Satu suara mengilai nyaring dapat kami dengar dengan jelas.
“Man! Jangan berpecah dari aku. Jalan seiring, jangan pandang atas, dia memang ada,” penulis mengingatkan rakan lain.
“Macam mana ni? Aku rasa dia marah kat engkau. Tadi kau cabar dia,” Man mengeluh. Penulis hanya membalas dengan mendiamkan diri.
Berderap-derap bunyi batu sepanjang jalan kami pijak ketika mengundur diri dari tebing sungai.
Tiba-tiba kami diteduhi oleh satu bayang makhluk yang besar kembang di atas kepala kami. Bayangnya melitupi cahaya bulan di atas kami. Dari ekor mataku, jelas kelihatan wajah busuk seorang perempuan yang berpakaian koyak dan berselirat dengan kain putih yang lusuh, mengembangkan tangannya meredah angin sambil menampakkan kemarahannya pada penulis.
“Ya Allah, andainya ini dugaan-Mu padaku, jadikan aku orang yang tetap imannya dan matikanlah aku di kalangan orang diterima taubatnya,” penulis berdoa sambil memegang bahu rakan menuju ke kereta.
Akhirnya kelibat pontianak itu tidak kelihatan lagi. Sepanjang jalan pulang, kami hanya membisu dan terkunci lidah untuk berkata-kata. Peristiwa itu masih segar dalam ingatanku hingga hari ini. Bagaimanapun penulis masih lagi tidak serik untuk berkunjung ke sana.
Bagi penulis, bumi Allah ini bukan untuk kita saja. Ada bahagian untuk makhluk lain dan kita sebagai manusia mempunyai hak terhadap sebahagian kecil daripadanya. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment