Thursday 20 October 2011

:: Tepukan pukau...


Sekali tepuk RM50,000 lesap


BATU PAHAT: Hanya sekadar menepuk bahu, seorang lelaki berwatak alim mampu membuatkan mangsanya secara tanpa disedari menyerahkan geran tanah, wang tunai serta barangan kemas kepada pengamal ilmu pukau terbabit.

Seorang daripada mangsa amalan sihir itu yang hanya mahu dikenali sebagai Salim dari Seri Medan di sini, berkata dia kerugian RM50,000 dan hanya menyedari dipukau selepas pemeriksaan mendapati wang dalam akauan banknya berkurangan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 60 tahun itu bersyukur tidak sempat menyerahkan geran tanah miliknya kerana penipu terbabit menghilangkan diri terlebih dulu. Salim berkata, segala-gala bermula pada awal September lalu selepas dia bersua muka dengan lelaki dikenali sebagai Roslan, 40-an, yang selalu memakai jubah serta kopiah.

“Saya menerima panggilan telefon daripadanya dan bila saya tanya bagaimana dia dapat nombor telefon saya, Roslan memaklumkan kami mempunyai naluri rasa yang sama.

“Tanpa membuang masa, Roslan menawarkan peluang perniagaan yang boleh menjana pendapatan lumayan namun saya menolaknya dengan baik dan mengatakan tidak berminat dengan urus niaga seperti itu,” katanya di sini, semalam.