Saturday, 31 July 2010

:: SMK Dato Permaisuri: Pelajar guna darah seru roh

Seru roh duit hantu punca histeria

July 31, 2010, Saturday

Kumpulan pelajar terbabit turut guna titisan darah mereka untuk menyeru roh tersebut yang dipercayai masih bersama mereka

Permainan menyeru roh duit hantu yang melibatkan sekumpulan pelajar dipercayai punca serangan histeria yang merasuk pelajar perempuan SMK Dato Permaisuri kelmarin.

Kumpulan pelajar itu turut menggunakan titisan darah mereka sendiri untuk menyeru roh tersebut yang dipercayai masih bersama mereka dan mengganggu pelajar lain.

“Pelajar-pelajar ini telah bermain permainan duit hantu ini semasa cuti Hari Gawai di kediaman mereka.

“Mereka telah guna darah untuk menyeru roh duit hantu itu,” jelas sumber daripada pihak sekolah yang ditemui semalam.

Siasatan punca serangan histeria yang merasuk lebih 20 pelajar perempuan sekolah itu telah dilakukan.

Tidak mahu namanya disiarkan, sumber tersebut memberitahu, histeria menyerang pelajar sekolah itu sejak awal bulan lalu setelah tamat cuti persekolahan.

Roh duit hantu itu dipercayai mengekori kumpulan pelajar berkenaan di kawasan sekolah dan mengganggu serta merasuk pelajar secara perseorangan.

“Serangan kelmarin adalah yang serius melibatkan pelajar kami. Beberapa pelajar diserang histeria sementara yang lain menjadi ketakutan setelah melihat kawan mereka menangis dan menjerit,” jelasnya.

Menurutnya, keadaan semalam semakin terkawal tetapi tempoh pembelajaran sesi persekolahan telah dipendekkan.

Bagaimanapun, ramai pelajar sesi pagi takut untuk datang ke sekolah kerana terkejut dengan serangan histeria yang menimpa rakan mereka. Mangsa histeria kelmarin masih dibenarkan berehat di rumah.

Pelajar asrama juga dibenarkan balik untuk mengelak mereka dirasuk dan mencederakan diri sendiri.

Semua pelajar sesi pagi juga berkumpul di dalam dewan bersama guru dan pengetua di mana pelajar dinasihati supaya menumpukan perhatian terhadap pelajaran bukan masalah histeria di sekolah mereka.

Seorang pelajar tingkatan lima yang ditemui memberitahu, serangan histeria kerap berlaku di sekolah itu termasuk di dalam tandas dan menyerang pelajar asrama.

“Kami meminta pihak PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan pihak sekolah mencari jalan penyelesaian serangan histeria di sekolah ini.

“Kami tidak mahu anak kami (pelajar) berasa takut untuk ke sekolah,” jelas seorang ayah.


..............................................................................................


SMK Dato Permaisuri Miri dilanda histeria

Oleh Hazel Lee:

MIRI- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri di sini, kecoh apabila lebih 20 pelajar perempuannya di serang histeria secara berperingkat semasa waktu rehat pagi tadi.

Kejadian bermula kira-kira jam 10 pagi, apabila pelajar sesi pagi dari tingkatan tiga empat dan lima secara tiba-tiba meronta, menjerit, menangis dan pengsan.

Difahamkan, serangan bermula dari seorang pelajar perempuan yang secara tiba-tiba menangis dan meraung dalam kelas sebelum merebak kepada pelajar lain.

Serangan berlarutan sehingga sesi pagi berakhir pada jam 12.30 hari dan menular kepada beberapa pelajar sesi petang yang memasuki perkarangan persekolahan.

“Salah seorang pelajar perempuan tingkatan lima secara tiba-tiba menjerit dan kemudian berjangkit kepada pelajar-pelajar lain. Mereka seperti dirasuk ,” kata seorang pelajar yang ditemui.

Dia yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu, pelajar perempuan itu adalah sahabatnya dan pernah mengalami histeria pada hari Selasa lalu kira-kira jam 8.30 pagi.

Berikutan serangan histeria, pembelajaran sesi petang sekolah itu terpaksa dihentikan untuk mengelak serangan dari menular kepada pelajar lain.

Ibu bapa bergegas datang ke sekolah setelah dimaklumkan dengan kejadian mengejutkan itu yang turut mengakibatkan beberapa pelajar jatuh pengsan.

Pelajar dibawa keluar dari bilik kelas oleh ibu bapa, guru dan pelajar lain. Pelajar yang masih meronta-ronta, menjerit dan menangis juga ditenangkan.

Pelajar yang diserang histeria dibawa ke surau untuk rawatan dengan bantuan guru, kakitangan sekolah serta pelajar lain.

Pihak sekolah mengambil tindakan merawat pelajar menerusi bacaan ayat suci Al-Quran dan doa.

“Saya berharap pihak sekolah memberi masa kepada pelajar-pelajar ini untuk berehat dan masa untuk mengembalikan kekuatan semangat mereka,” jelas seorang ayah yang juga tidak mahu namanya disiarkan.

Pengetua, Piel Adeng yang dihubungi memberitahu, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa pada hari ini (30 Julai) dimana pelajar akan diperjelaskan tentang serangan berkenaan dan tindakan yang akan diambil oleh pihak sekolah berdepan masalah berkenaan.

“Pelajar yang terkena serangan ini termasuk mereka yang masih terkejut boleh berehat dan tidak dipaksa untuk ke sekolah,” jelasnya.

Kejadian berkenaan turut dimaklumkan kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam.

“Saya akan cuba mendapatkan maklumat daripada Jabatan Pelajaran dan pihak sekolah tentang insiden ini. Setakat ini saya belum menerima laporan dari Jabatan Pelajaran berhubung kes berkenaan,” jelasnya yang dihubungi.



No comments:

Post a Comment