Friday, 23 July 2010

:: Bukan jin..bukan Malaikat..siapa dia ?

Pelik tetapi benar


Inilah cabaran, sukar untuk saya percayai malah menjadikan saya bertambah yakin bahawa terlalu sedikit pengetahuan kita terhadap alam ghaib.

Pesakit seorang muslimat lingkup berpurdah baru sahaja mendirikan rumahtangga. Ayahnya seorang pengamal tarekat nahsyabandi.

Semenjak berkahwin dia didatangi sejenis makhluk yang bercakap arab kuno mungkin sezaman dengan Nabi Adam AS. Suaminya lepasan syiria yang tentunya fasih berbahasa arab telah menghubungi gurunya di Syria dan gurunya mengakui bahawa bahasa yang dilafazkan oleh isterinya adalah bahasa arab kuno.

Menariknya wanita ini tidak kerasukan total hanya 2 dalam 1 dan berupaya menterjemah kata-kata makhluk ini.

Saya cuba berdialog dalam bahasa arab dengannya dan dia faham soalan-soalan saya lalu dijawabnya dalam bahasa arab lantas diterjemah isterinya. Saya soal dalam bahasa melayu dia pun faham dan menjawab dalam bahasa arab lantas diterjemah oleh empunya badan.

Saya tanya adakah dia jin, katanya tidak dan dia diutus oleh ALLAH. Dia mengucap dan bersumpah apa yang dia perkatakan adal benar.

Katanya dia ditugaskan untuk menjaga bakal zuriat wanita ini. Dia mahu identitinya dirahsiakan kerana ini boleh menimbulkan fitnah [saya hanya menceritakan sekadarnya sebagai sebahagian catatan ilmiah] .

Saya gunakan teknik ikrar pemutus dan racun. Seperti biasa menggeletarlah seluruh badan pesakit dan saya arahkan ke hujung jari kaki pesakit. Apabila saya mahu menarik keluar, makhluk itu seolah membantu saya dengan memicit dan mengusap peha dan lutut pesakit sambil berkata "ukhruj, ukhruj! [keluar, keluar]. Yang nyata dia tidak terkesan dengan teknik ini.

Suaminya mengatakan sebelum ini dia telah merawat isterinya sendiri kerana memang banyak gangguan sehingga dia masih ingat semua gambar yang diambil oleh semua hadirin semasa majlis walimahnya adalah bergoyang dan kabur. Suaminya juga adalah perawat.

Tetapi berbeza dengan makhluk ini apabila diberi minum air zam-zam, bukannya ia terkesan tetapi minta minum lagi. Begitu juga dengan air yang telah dibacakan 30 juzuk Al-Quran berpuluh botol digunakan tetapi kesannya makluk ini semakin meminta untuk ditambah!

Saya minta dia bersumpah tentang beberapa perkara dan dia bersetuju.

Yang menjadi persoalan saya siapakah dia. Bukan jin, bukan malaikat..... Allah sahaja yang mengetahui.





:: Kedai guna pelaris jin ?

Cara Mudah Nak tahu Kedai Guna Pelaris Jin

" Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hambaKu, kecuali ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat"
( Al-Hijr: 42)

"Sesungguhnya Syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya" ( An-Nahl : 99)

"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan tukang tenung ( bagi mendapatkan bantuan berkaitan ghaib), kemudian mempercayai ramalan si tukang/dukun tadi, maka ia (yang pergi berjumpa itu) telah pun kufur dengan agama Nabi Muhammad SAW " ( Riwayat Al-Bazar & Abu Ya'la, Albani : Sohih, Ghayatul Maram, no 285)

Assalamualaikum, salam blogger

Di zaman moden hari ini masih ramai lagi yang berani menempah tempat di Neraka dengan mengamalkan sihir untuk pelbagai tujuan dan maksud. Walaupun sudah jelas larangan Rasulullah s.a.w tentang bahaya sihir ternyata masih ada lagi yang mendapatkan khidmat bomoh.

Mereka ini terdiri dari berbagai lapisan masyarakat dan tujuan, bahkan ada juga dari kalangan artis dan ahli politik yang mendapatkan khidmat tukang-tukang sihir ini. Ada juga yang ingin membalas dendam kepada seseorang yang tidak disukainya dengan cara ini.

Apa yang saya nak sentuh pada kali ini ialah berkenaan dengan penggunaan pelaris kedai. Disangkakan dengan bercambahnya ilmu dan pusat-pusat pengajian Islam di masjid-masjid, surau-surau dan forom-forum amalan khurafat ini sudah berkurangan tapi nampaknya masih rancak di negara kita Malaysia.

Jika dulu amalan pelaris yang menggunakan khidmat jin khadam atau tangkal ini hanya popular di Indonesia dan Sabah Sarawak sahaja tapi sekarang sudah merebak sampai ke Semenanjung. Jadi kita sebagai pengguna harus berhati-hati dalam memilih kedai makan. Persoalannya bagaimana nak tahu kedai makan yang di syaki itu benar2 mengamalkan pelaris atau tidak.

Ini satu petua yang diajarkan oleh seorang pengamal perubatan Islam.

Cara mudahnya nak tahu kedai itu ada pelaris (Khadam jin), baca Ayat Qursi 3 kali di luar dari kedai. Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7x ke arah kedai. Tak perlulah tiup macam bomoh pooh kiri pooh kanan.he he

Tiup perlahan-lahan sampai habis nafas (mcm ustaz Ismail Kamus ajar)

Sekiranya ada pelaris di kedai tersebut, "khadam" tu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam tu, eloklah kita jangan makan di kedai tersebut.

Beberapa cara di bawah bolehlah diamalkan untuk mengelak sihir :-

1) Al-Fatihah.

2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.
Ia berdasarkan hadith :
قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : إقراء قل هو الله أحد , والمعوذتين , حين تمسي و حين تصبح , ثلاث مرات تكفيك من كل شيء ( رواه أبو داود والترمذي )
Ertinya : Baginda S.A.W telah berkata kepadaku : "Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad" (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu.( At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ) At-Tirmidzi : Hasan Sohih, An-Nawawi : Sohih

Semoga penerangan ini bermanfaat.

Sekian wassalam.... http://ijoks2009.blogspot.com/2010/07/

Rujukan Terjemahan Al-Qur'an: Ustaz zaharudin.net



Sunday, 27 June 2010

:: Dugaan hidup bermadu?

Isteri tua guna sihir

2010/06/27
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Jiwa terseksa, batin merana. Mungkin itu ungkapan tepat bagi menyelami penderitaan ditanggung Rafidah, 30, selepas hampir dua tahun menghidap penyakit ganjil akibat disihir madunya kerana dendam dan cemburu.

MALANG... Rafidah jalani rawatan membuang sihir dengan pembantu Ustaz Mohd Suhaimi, Mazlin Said Ramdzan.
MALANG... Rafidah jalani rawatan membuang sihir
dengan pembantu Ustaz Mohd Suhaimi, Mazlin Said Ramdzan.


Lebih memburukkan keadaan, Rafidah turut mengalami masalah membuatkan dirinya berbau busuk ketika hendak mengadakan hubungan kelamin dengan suami iaitu kontraktor yang beristeri dan ada tiga cahaya mata.

Derita ini terpaksa ditanggung Rafidah selepas dua bulan mendirikan rumah tangga pada 2008.

Rafidah menyedari, hidup bermadu bukan mudah dilalui selepas dia nekad mengambil keputusan untuk hidup berpoligami. Namun, sedetik pun dia tidak menyangka, madu yang berkongsi hidup dengannya sanggup menggunakan ilmu hitam dipanggil sihir najis, semata-mata mahu meleraikan hubungannya bersama suami.

Perbuatan melampau madunya terbongkar apabila Rafidah yang mendapatkan khidmat rawatan perubatan secara Islam daripada Ustaz Mohd Suhaimi Rozali di Darul Ruqiyyah (DR), Gombak, dekat sini, meluahkan kesengsaraan hidupnya kepada wartawan Metro Ahad, SHAMRAN SARAHAN.

“SEJAK terkena sihir madu, suami bukan saja enggan menyentuh saya lagi, malah hubungan kami menjadi dingin dan dia seolah-olah membenci.

Ada masanya saya menjadi sangat tertekan dan ingin berpisah dengan suami, tetapi pada masa sama saya masih sayang serta tidak mahu terburu-buru mengambil keputusan berpisah (bercerai).

Tambahan pula, kini saya tahu suami berbuat demikian angkara perbuatan jahat madu saya, Zaleha, oleh itu perpisahan bukan jalan penyelesaiannya.

Pada mulanya saya sering mengalami gangguan dan kesukaran tidur di waktu malam, kemudian apabila ingin bersama suami, badan mengeluarkan bau kurang menyenangkan ketika kami bersama.

Sekarang lagi teruk, dengan berlendir dan mengeluarkan cecair putih berbau busuk, saya tidak selesa, dan suami pula rimas dengan keadaan saya.

Kini dia jarang bersama saya lagi. Boleh katakan, dalam tempoh sebulan kami hanya berjumpa seminggu. Peliknya, semua ini hanya berlaku apabila bersama suami. Apabila kami berjauhan saya menjadi normal kembali.

Kebelakangan ini kelakuan suami juga banyak berubah dan sering marah tanpa sebab walaupun hanya membabitkan perkara remeh.

Adakalanya dia seperti ingin berjauhan dengan saya. Dia pernah berkata tinggal bersama isteri tuanya lebih aman berbanding tinggal dengan saya.

Saya sedih, isteri mana tidak kecewa jika diperlakukan begitu. Namun saya juga akur bagaimana hendak bersamanya jika keadaan saya begini.

Saya mengesyaki madu tergamak melakukan perbuatan sebegitu rupa untuk memisahkan kami.

Sihir itu dipanggil sihir najis iaitu benda najis daripada darah haid yang dijampi, kemudian dimasukkan ke dalam makanan, minuman atau minyak wangi yang dipakai dan suami.

Ia menyebabkan suami tidak boleh menyetubuhi isteri. Itu yang berlaku kepada saya. Suami juga kadangkala melihat saya dengan pandangan hodoh dan tidak berupa manusia seperti lazimnya.

Madu saya terlalu kuat cemburu dan tidak suka jika suami lebih banyak menghabiskan masa bersama saya.

Sedangkan ketika mula berkahwin dulu suami bahagikan masa dengan adil, tetapi Zaleha tidak bersetuju dan mahu masa lebih diluangkan kepadanya kerana dia isteri tua dan mempunyai anak. Itupun saya sudah mengalah.

Dia (Zaleha) sebenarnya tidak merestui hubungi kami tetapi terpaksa akur dengan keputusan suami yang ingin berkahwin dengan saya.

Sebab itu, apa saja yang saya lakukan bersama suami, dia pasti buat perangai. Demi menjaga kebahagiaan rumah tangga dan ingin berbaik dengan Zaleha, saya pernah mengajak madu duduk sebumbung, tetapi pelawaan saya ditolak.

Madu menuduh saya menyimpan niat jahat untuk tinggal bersama dan mengarahkan suami untuk tidak mengendahkan permintaan saya.

Banyak lagi perkara remeh diungkit Zaleha untuk mengeruhkan keadaan. Dia tidak senang kerana saya memiliki perniagaan, saya pernah dituduh cuba menggoda lelaki ketika menguruskan perniagaan.

Saya tidak mahu berdendam dan akan memaafkan Zaleha. Yang saya inginkan sekarang hanyalah suami, saya mahu rumah tangga yang saya dirikan ini diselamatkan.”

Wednesday, 17 February 2010

:: Ilmu hitam di Brunei ?

Ilmu hitam amat dikutuk oleh Allah: Prof. Dato' Dr Haron

Oleh Aziz Idris

Prof. Dato' Dr Harun Din sedang menunjukkan cara rawatan. - Gambar Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Amalan ilmu hitam oleh manusia telah wujud berabad-abad lamanya dan penggunaan ilmu ini lebih menjurus kepada kejahatan dan ilmu hitam ini dikatakan berasal dari makhluk iblis dan makhluk ini adalah satu-satunya makhluk yang memiliki ajaran sesat.

Perkara ini dinyatakan oleh Prof. Dato' Dr Haron Din dari Malaysia dalam seminar mengenai perubatan Islam sempena majlis konvokesyen Darusysyifa' Warrafahah (DSR) hari ini.

Berangkat ke majlis ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik.

Turut hadir ialah Mufti Kerajaan, Pehin Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Juned yang juga selaku ahli DSR.

Menurut Dr Dato' Haron, ilmu hitam telah wujud pada zaman Nabi Idris dan telah digunakan oleh kumpulan 'Bani Israil' pada tahun 586 Masihi.

"Ilmu hitam boleh didapati pada mana-mana komuniti tanpa mengira sejauh mana canggih atau primitif komuniti tersebut dan penggunaannya adalah dengan pemikiran melalui teknik atau strategi bagi faedah keduniaan tanpa menghiraukan nilai kewujudan," jelasnya. Pengamal ilmu hitam sanggup berbuat apa saja untuk memuaskan pelanggannya asal sahaja mereka mematuhi bayaran tinggi yang dikenakan dan katanya lagi, hasil dari ilmu hitam telah menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa termasuk penyakit yang tidak diduga tanpa penjelasan yang jelas dari pakar perubatan, perceraian, permusuhan, hilang kewarasan, sakit kepala yang kronik dan juga kematian.

"Ilmu hitam hanyalah ilusi dan ianya tidak wujud dan ilmu hitam ini mempunyai banyak definisi dari cendekiawan Islam tetapi semua definisi ini adalah serupa," katanya.

Dato' Dr Harun berkata ilmu hitam telah disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah dalam beberapa ayat dan beliau turut menjelaskan mengenai kesan ilmu hitam dan hukumannya dalam Islam. Amalan ilmu hitam, katanya adalah suatu dosa dan amat dikutuk oleh Allah dan terdapat banyak nama yang diberikan kepada pengamal ilmu hitam seperti 'bomoh', 'dukun' atau 'pawang'.

Ilmu hitam amat dilarang dalam Islam dan pengajian agama perlu menekankan mengenai kesan penggunaan ilmu hitam bagi mencegah penyebarannya. Seminar yang disusuli dengan sesi soal-jawab turut dihadiri oleh 400 peserta dengan 200 darinya adalah graduan DSR.

:: Darussyifa' ke Brunei

162 terima sijil perubatan Islam

Oleh Ak Fairol RMF
Gambar Infofoto


BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik hari ini berkenan berangkat mengurniakan sijil kepada 162 pengamal perubatan Islam yang menamatkan kursus pendidikan formal perubatan Islam Darusyssyifa' Warrafahah (DSR) dalam majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Bridex.

Kursus yang mengambil masa 80 jam pembelajaran dalam masa setahun itu mempunyai kursus ilmu dan kemahiran yang mengkhusus, seperti ilmu kemahiran bekam, herba untuk perubatan, urut tradisional dan lain-lain bidang ilmu yang dikira memenuhi visi dan misi persatuan, sebagai perubatan alternatif, khususnya perubatan Islam.

Kursus asas DSR mengandungi program pembelajaran kaedah pengubatan Islam dan asuhan pembudayaan mengistiqamah diri dengan disiplin amalan keimanan dan akhlak untuk kesempurnaan peranannya.

Menyertai program DSR adalah seperti mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi serta menentang syirik terhadapnya selain mengimani dengan sepenuh hati bahawa perubatan Islam adalah sebenar-benarnya wahyu Allah.

Presiden DSR, Dato Paduka Ahmad Bukhari Abu Hanafiah dalam ucapannya berkata, DSR berazam melahirkan pakar perawat tempatan dalam pelbagai bidang perubatan alternatif dengan iltizam bersedia berkhidmat ikhlas kepada masyarakat.

Di awal tahun 2007, sekumpulan 14 orang - kemudiannya menjadi 20 pengasas - sangat prihatin terhadap kebajikan umat Islam dan penduduk Brunei dalam perkara menyembuhkan penyakit yang tidak difahami dunia perubatan biasa.

Sunday, 14 February 2010

:: Penunggu dan lembaga seiras beruk ?

Beruk gergasi kaut ikan dalam bot

Oleh Saiful Bahrin Mohd Shariff


CERITA yang hendak dikongsi ini benar-benar berlaku ketika sekumpulan pemancing meneroka perairan Pulau Jerejak pada April 2003 lalu. Pada suatu malam selepas selesai mesyuarat di pejabat, penulis dan seorang rakan - Suhairi, singgah makan dan minum di sebuah gerai di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sambil berbual datang pula rakan baik kami seorang peguam. Uzair namanya.

Perbualan kami malam itu semakin rancak apabila kehadiran seorang lagi penduduk tempatan yang memperkenalkan diri sebagai Pak Long Din juga dari Bukit Mertajam. Topik malam ini bertambah menarik apabila tajuk cerita bertukar mengenai memancing. Pak Long Din orang yang paling menyerlah cerita pengalaman pasal ikan dan memancing.

Maka terjadilah perjanjian bersama Pak Long Din untuk keluar memancing di perairan Pulau Pinang seperti yang diceritakan. Masa yang ditunggu tiba. Maka bermula operasi kami dengan menaiki bot Pak Long Din di Batu Maung, Pulau Pinang. Kumpulan kami - Suhairi, Uzair dan penulis.


Jam tangan menunjukkan hampir jam 11 malam. Di lokasi pertama tiada sambutan memberangsangkan. Hanya anak kerapu dan gelama saja. Oleh kerana kurang yakin, Pak Long Din mengubah haluan ke lokasi Pulau Jerejak. Di perairan pulau berkenaan sambutannya juga hambar. Pak Long Din mulai tercabar dan agak malu dan apa yang digebangkan pada hari itu tidak menjadi.

Kami bertukar tempat lagi. Kali ini tidak jauh dari lokasi kedua tadi. Di lokasi ini agak menarik. Terdapat dua batu besar yang hampir tenggelam di pinggir Pulau Jerjak. Di sini barulah ada keyakinan sedikit. Ikan lapar agaknya. Kami tidak jemu melayan sentapan yang agak besar seperti kerapu, jenahak dan sebagainya. Pak Long Din tersenyum puas. Rasa malunya kian hilang. Apatah lagi beliau menaikkan pari hampir 15 kilogram dan hanya menggunakan tali koyan saja. Manakala Suhairi tidak henti-henti memutar kekili pancingnya sambil berteriak kegirangan.

Dalam keghairahan, Uzair tiba-tiba terpandang sesuatu lantas mencuit bahu penulis lalu bertanya: “Kau nampak sesuatu tadi?”

Sambil dia menunjukkan ke arah batu besar yang berdekatan dengan bot kami. Lantas penulis menjawab: “Aku tahu, tapi jangan bising. Diam sajalah”.

Beliau bertanya lagi: “Macam mana ada orang duduk atas batu tu. Macam mana dia panjat batu tu?”

Penulis cuba menenangkan fikirannya dengan memberitahu mungkin ada nelayan tempatan menunggu pukat yang dipasang dan datang dengan bot sendiri.

Kelibat orang di atas batu itu amat nyata seolah-olah sedang menghisap rokok. Pak Long Din merasainya dengan apa yang penulis beritahu dan mengakui dengan soalan Uzair, cuma mereka buat selamba saja.

Tiba-tiba kelibat orang itu hilang daripada pandangan. Penulis mulai cuak dan risau. Sementara itu, Suhairi tidak henti-henti menaikkan ikan sambil bergurau. “Hoi.... kau orang tengok ni.... Jenahak besar...,” katanya.

Penulis dan Uzair hanya senyum tawar.

Tiba-tiba Uzair bersuara: “Syok la... nanti naik hantu air baru padan muka...”

Penulis dan Pak Long Din tersentak dengan gurauan Uzair.

Tidak lama kemudian perkara pelik berlaku apabila hasil tangkapan Suhairi hilang satu persatu dari atas bot. Lantas beliau bersuara: “Siapa pulak sapu ikan aku ni...!”

Kemudian Pak Long Din bersuara: “Kamu duduk diam-diam... dia datang dah...”

Kami kehairanan. Kemudian bot kami rasa terumbang ambing seperti ada orang memanjatnya. Tiba-tiba wajah seekor berok berbulu tebal dengan sepasang mata yang merah berada atas bot . Penulis, Uzair dan Suhairi kecut perut dan seperti hendak pengsan. Suhairi terkencing dalam seluar. Apa boleh buat, kerana dia terlalu takut. Lembaga berkenaan merayap dengan menghulurkan tangannya yang panjang mengambil ikan kami.

Pak Long Din naik angin lalu bertempik dengan sekuat-kuatnya. Apa lagi meraunglah lembaga itu dan terjun ke laut berenang menuju ke Pulau Jerejak. Ketika lembaga berkenaan berada di pulau berkenaan suara jeritannya bergema hingga jelas kedengaran oleh kami dalam bot.

Hampir sejam menyepi, Pak Long Din menyambung semula aktivitinya selepas membelit semula ekor pari yang melibas badan lembaga tadi. Selepas itu, Pak Long Din menaikkan beberapa jenahak manakala kami yang sudah hilang semangat duduk berehat saja. Selepas itu kami pulang ke Jeti Batu Maung. Dalam perjalanan pulang Pak Long Din menceritakan semuanya supaya kami faham.

Kelibat orang di atas batu itu bukanlah manusia cuma penunggu pulau. Lembaga seiras dengan beruk pula adalah jelmaan syaitan dan iblis untuk mengganggu.

:: Dihantar pulang

Tidur di lubuk, terjaga di pangkalan

Oleh Nuri Angkasa


LIMA kali tarikh ditunda untuk turun memancing udang di hulu Sungai Semantan yang terdapat banyak lubuk udang galah bersepit biru tetapi sentiasa berdepan dengan bahaya sang bedal.

“Sebuah sampan besar dengan kuasa 25 kuda yang mengisi lima pemancing dan seorang tekong bot membawa kami ke hulu Sungai Semantan dengan harapan supaya dapat membawa pulang rezeki udang galah bersepit biru dengan banyak. Umpan cacing khas yang kami bawa dan anak udang kecil hidup mampu mengisi hajat kami yang besar,” demikian cerita Zubir sambil mengingati tragedi seorang rakan pancing disambar buaya tetapi pulang dengan selamat seminggu selepas itu.

Bertolak dari sebuah pangkalan di Kampung Bagan Jeram (bukan nama sebenar) pada awal pagi itu yang disifatkan langkah baik menurut ramalan tekong Dolmat, anak tempatan Temerloh, Pahang. Tekong berusia 25 tahun itu menganggap sepanjang Sungai Semantan adalah laluan permainannya walaupun ada kalanya berdepan dengan bahaya tetapi itu boleh dielak. Cuma pantang larang mesti dijaga dan mulut tidak terlepas cakap.


Lubuk pertama ditemui. Pancang sebatang kayu mati tidak jauh dari tebing sungai yang penuh dengan pokok rimbun dijadikan lokasi mencuba nasib kerana lokasi sebenar masih jauh ke hulu. Salim dan Mazlan menggunakan tiga batang joran serentak. Mereka menurunkan umpan cacing. Mazlan paling pantas mendaratkan seekor udang sederhana besar dan diikuti oleh Salim.

“Ada ummph lubuk ni Dol,” Salim bersuara gembira memandang tekong Dolmat yang berehat di tepi rumah enjin sangkut.

“Saya sendiri berjaya mendaratkan lima ekor udang galah,” cerita Zubir dan mengakui tekong Dolmat ada petua tersendiri kerana beberapa minit selepas itu beliau berpindah lokasi.

Air di lubuk itu bergelombang sebaik saja kami tinggalkan tetapi tekong Dolmat tidak menunjukkan reaksi perubahan air mukanya. Kami pun tidak bertanya sebab musababnya.

Lubuk kedua airnya lebih tenang berbanding lubuk pertama. Kawasannya juga lebih luas. Sebatang pokok besar mati menjadi labuhan. Kami terpaksa berhati-hati memancing kerana di bawahnya penuh dengan ranting dan dahan pokok besar yang masih belum rapuh. Saiz udang di sini agak besar dan sepitnya biru berlumput. Ini dibuktikan oleh tekong Dolmat sendiri yang turut sama memancing dan berjaya mendaratkan udang galah besar. Ini mendorong kami bagaikan tidak sabar untuk melakukan kejutan hampa sebab udang di sini bijak menarik tali pancing ke celah dahan kayu lalu.

Lokasi kedua ini tidak banyak rezeki yang didaratkan tetapi berbaloi kerana saiznya besar. Dua buah sampan kecil kepunyaan rakan tekong Dolmat memintas kami. Sambil melambai tangan, mereka terus memecut laju ke hulu. Dua jam kami berada di labuhan itu kerana berminat dengan udang bersaiz besar.

“Saya sendiri cuma dapat empat ekor tetapi berbaloi berjemur dua jam,” tambah Zubir.

Malam itu kami bermalam di kawasan lubuk tidak jauh dari tebing sungai. Kelihatan ada lampu pada beberapa tempat seperti ada orang memancing tetapi kami tidak bertanya dan tekong Dolmat juga tidak menyatakan apa-apa.

Kami diam dan terus memancing hingga jauh malam. Ketika jam 1 pagi suasana mula dirasakan berlainan. Bau wangi dapat dihidu dengan jelas dan angin bertiup lembut bagaikan berlagu. Kami berpandangan tetapi tekong Dolmat terus berehat sambil menghisap rokok.

Jauh sayup-sayup terdengar ketawa yang menyeramkan bulu roma dan pada permukaan air di lubuk itu ada beberapa bola mata merah mengintai kami.

“Kita tidur dulu, lepas itu kita memancing semula,” kata tekong Dolmat mengarahkan kami untuk tidur dan beliau memasangkan lampu lebih besar di hadapan dan belakang bot.

Kami tidur bagaikan dipukau. Kami pun tidak lagi mendengar suara ketawa kerana lelap dengan pantas.

Esoknya kami terjaga kerana dikejutkan dengan suara orang ramai. Kami hairan kerana sudah berada di Jeti Bagan Jeram tempat mula kami turun. Orang ramai sudah berada di kawasan itu.

“Macam mana kita boleh ada di sini? Malam tadi kita berlabuh di lubuk!” Salim bingung memandang tekong Dolmat yang hanya tersenyum.

“Kita dah selamat, bersyukur sahajalah,” dia menutup cerita ekspedisi memancing udang di hulu Sungai Semantan.

Tetapi yang menjadi misterinya ialah bagaimana mereka boleh berada di Jeti Bagan Jeram tempat turun memancing sedangkan mereka tidur di lubuk yang ada tanda-tanda keras tempatnya?

Itulah misteri yang sukar di jawab tetapi ia berlaku.