Friday, 25 December 2009

:: Terhidu bau wangi

Abu nyenyak di atas pokok jejawi

Oleh Nuri Angkasa


HARI itu hujan renyai-renyai turun dalam kawasan kami memancing yang agak jauh dari perkampungan yang baru diteroka oleh masyarakat Melayu. Perkampungan kecil yang belum tersusun itu masih dalam keadaan belum dapat menjamin masa depan yang selesa. Namun peneroka terus berazam menjadikannya sebagai sebuah kampung yang terbaik, cerita Dollah (sifu udang galah) kepada penulis beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke 50, baru-baru ini.

Soal perkampungan bukan perkara utama penulis. Ini kerana ada cerita lain yang hendak dicungkil daripada pengalaman yang dilalui Dollah bersama tiga rakan pancingnya dalam ekspedisi satu hari satu malam di hulu Sungai Muar yang terkenal dengan lubuk udang galah bersepit biru bersaiz besar.

“Hujan renyai-renyai tidak melemahkan semangat kami,” cerita Dollah. Beliau menambah bahawa dalam perjalanan yang cuma boleh menggunakan motosikal saja mengambil masa tiga jam untuk sampai ke lokasi yang jarang dikunjungi orang.

Mereka membuat khemah sebaik tiba di lokasi yang ketika itu sudah lewat petang. Namun cuaca masih terang. Tebing sungai yang berdekatan dengan sebuah lubuk kecil bakal menjadi ujian pertama mereka pada bila-bila masa saja.

Namun mereka perlu menyudahkan tempat bermalam sebelum menikmati kopi panas dan kemudian memula memancing.

Abu yang dalam semangat membara terus mencari tempat di tebing sungai. Sambil itu beliau membersihkan kawasan untuk melabuhkan lima batang jorannya. Berumpankan cacing dan anak udang hidup, beliau melabuhkan harapan tinggi menggunung.

Yang lain memerhatikan telatah Abu yang selalu bertindak lebih pantas daripada rakannya. Dua batang jorannya sudah ada tanda henjutan daripada spesies yang diburu. Menggunakan pengalaman yang ada, dua udang galah bersaiz sederhana didaratkan satu persatu. Abu tersenyum lebar memandang yang lain lalu terus bermain dengan tiga batang lagi joran pancingnya yang sudah mengena.

Mereka tidak boleh menunggu lama. Sebabnya rezeki sudah ada di depan mata. Udang galah bagaikan menggila mencari makanan pada waktu senja itu dan kami tidak membuang masa mengaut rezeki satu demi satu udang galah bersepit biru bersaiz besar.

Mereka tidak cukup tangan tetapi sesekali dikejutkan dengan terhidu bau wangi yang kemudian hilang selepas beberapa waktu saja. Mereka mula mengesyaki sesuatu lalu berpandangan antara satu sama lain. Namun semua perasaan hilang apabila semua joran mengena serentak.

Keadaan menjadi kelam kabut tetapi menyeronokkan. Menjelang malam, mereka berhenti untuk membuat persediaan bermalam di kawasan itu. Paling penting unggun api dinyalakan lebih dulu. Lampu karbait dipasang empat penjuru kawasan.

Cerita Dollah lagi, makanan ringan disediakan dan kopi o panas menjadi minum utama mereka malam itu.

Beberapa ekor udang galah menjadi habuan apabila digoreng semata-mata namun sudah dapat membuka selera mereka ketika malam malam itu.

Selepas itu, mereka terus memancing. Tetapi udang sudah jarang-jarang meragut umpan. Cuma yang galak dilihat ialah beberapa pasang mata merah di permukaan air di lubuk berkenaan (tentunya penghuni setia lubuk).

Angin mula bertiup dingin. Sesekali terdengar bunyi siulan halus dan nyaring. Mereka sekali lagi berpandangan tetapi Abu dapat menyedapkan hati rakan lain.

“Pedulikan itu semua. Itu dugaan. Semangat kita mesti kuat,” kata Abu bersuara agak garang.

Mereka tidak meneruskan aktiviti memancing selepas bunyi siulan dan keadaan lubuk juga sudah tidak mengizinkan mereka menurunkan mata kail. Mereka bertiga tidur dalam satu khemah sambil menikmati bahang unggun api yang masih menyala.

Jam lima pagi Dollah dikejutkan oleh Darus yang mengatakan Abu sudah hilang.

“Kami bergegas bangun dan keluar dari khemah lalu menyalakan semula unggun api. Jelas, Abu sudah hilang. Kami terus mencari dan memanggil namanya tapi tidak ada jawapan.

“Kami menunggu hingga cuaca cerah. Dalam keadaan yang cemas, Daud terpandang Abu berada di atas pokok jejawi tidak jauh dari tapak khemah,” cerita Dollah lagi.

Semua berpandangan dan Abu sendiri tidak tahu menahu bila beliau berada atas pokok jejawi. Beliau kehairanan yang amat sangat.

Thursday, 24 December 2009

:: Dihalang bunian

Bunian usung jenazah tengah malam

Oleh Nuri Angkasa


“SIAPA meninggal? Malam-malam mengusung jenazah kat jalan Batu 13.”

“Tak ada orang meninggal pun di situ. Batu 13 tu tempatnya keras.”

Bermula peristiwa itu maka dengan ini dipaparkan kisahnya untuk dikongsi bersama. Atau, paling tidak dapat mengisi khazanah misteri di kalangan kaki pancing yang sentiasa berdepan kisah aneh dan menakutkan.

Rombongan lima orang pemancing yang diketuai oleh seorang anak muda yang baru pulang dari Australia (memegang ijazah khazanah laut dalam) bernama Shafik Roslan, bercadang untuk turun memancing bersama rakan lamanya.

Tempat pilihan kali ini bukan di laut tetapi sebuah kolam lama yang ditinggalkan di pedalaman kawasan Orang Asli di Sungai Tahan (bukan nama sebenar).

Kolam ini bagaikan tasik kecil tetapi dalam dan dihuni spesies ikan tongsan dan toman bersaiz besar.

Perjalanan menuju ke lokasi berkenaan dengan menaiki sebuah van kepunyaan Zali yang dipandu sendiri olehnya.

Mereka meninggalkan Seremban tepat jam 10 malam dalam keadaan cuaca yang sangat baik.

Shafik berada di laut lebih lama dari di bilik kuliah ketika menuntut ilmu pelaut di Australia. Justeru, minatnya memancing sama ada di laut mahupun tasik tidak terkecuali.

Mereka melalui Batu 13. Jalannya kecil lagi sunyi. Perjalanan terpaksa diperlahankan kerana rombongan mengusung jenazah memenuhi separuh jalan tanpa sebarang lampu menyuluh jalan. Namun yang aneh, langkah mereka pantas bagaikan berlari.

Ketika singgah di sebuah pekan kecil, mereka berehat minum di warung seorang tua berkopiah putih.

Apabila ditanya mengenai jenazah yang diusung pada waktu malam di Batu 13, orang tua berkenaan bagaikan tahu apa yang berlaku.

Beliau menerangkan bahawa kawasan itu perkampungan orang bunian. Kalau tidak berhati-hati, sesiapa yang melaluinya ketika itu akan memilih jalan menuju gaung kerana mengelak rombongan mengusung jenazah dalam satu kumpulan yang ramai.

“Anak kena hati-hati kalau tiba di satu kawasan itu pada waktu malam. Tapi kalau boleh elak jangan melalui jalan itu selepas 12 tengah malam,” orang tua itu mengingatkan kumpulan berkenaan.

Menurut cerita Wak Anuar kepada halaman Misteri; yang turut sama dalam rombongan berkenaan terpaksa berdepan pelbagai halangan sebelum tiba di lokasi lewat tengah malam.

Halangan kedua, ular besar merintangi jalan sebelum tiba di kawasan pedalaman Orang Asli di Sungai Tahan.

Terhalang perjalanan hampir satu jam itu cukup menjejaskan semangat dan harapan anak muda yang baru pulang dari Australia itu yang pada mulanya begitu berkobar-kobar untuk turun memancing.

Mereka meneruskan perjalanan sebaik saja ular besar memberi laluan tetapi keadaan cuaca mula berubah. Langit yang sebelum itu dipenuhi bintang bertukar gelap pekat dengan sesekali bunga kilat bermain di dada langit.

Perjalanan diteruskan dengan hati-hati. Namun mereka terhalang lagi apabila sebatang pokok besar tumbang melintang jalan.

Serta-merta juga hujan mula turun berserta angin kencang bagaikan ribut.

Shafik tidak panik tetapi terus berdoa dengan suara yang terang: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada sebarang keburukan.

Engkau tunjukkan jalan yang benar jika ada makhluk-Mu berniat jahat terhadap kami. Sesungguhnya kekuasaan-Mu lebih dari segala-galanya.”

Sejurus habis saja doa Shafik, pokok tumbang hilang serta merta dan mereka dapat meneruskan perjalanan.

Zali dan Wak Anuar sendiri turut hairan dengan doa yang dilafazkan oleh Shafik yang tidak terlintas langsung oleh semua rakan pancing bahawa kepada Allah harus diminta perlindungan dalam keadaan terdesak begitu.

Perkampungan Orang Asli masih jauh. Perjalanan bertambah sukar apabila hujan makin lebat. Dan, anehnya mereka sekali lagi terserempak dengan rombongan mengusung jenazah.

Kali ini rombongan lebih ramai dan menutup muka jalan. Shafik mengarahkan Zali memberhentikan van sambil membunyikan hon kereta beberapa kali dengan kuatnya.

Rombongan membawa jenazah serta-merta hilang. Sekali lagi mereka meneruskan perjalanan lalu berehat sebaik tiba di perkampungan Orang Asli dan terus bermalam.

Esoknya, mereka tidak meneruskan hasrat untuk ke tasik sebaliknya berpatah balik ke Seremban setelah petanda buruk dapat dirasakan menghalang setiap kali meneruskan hasrat ke tasik atau kolam lama di hujung kampung.

Shafik dapat menyelamatkan perjalanan mereka ketika terdesak, kata Wak Anuar menamatkan cerita misteri kumpulannya ketika berhasrat untuk memancing di kolam lama atau tasik.

Justeru, halangan begini harus dijadikan iktibar yang di sebaliknya mengukir misteri tersembunyi dan tentunya kepada Allah tempat kita berserah diri.

Wednesday, 23 December 2009

:: Warung yang hilang

Hujan panas bawa petanda buruk

Oleh Nuri Angkasa


ANAK muda ini kelahiran Tanjung Tualang, Perak, tetapi dibesarkan dalam kumpulan rakan muda darah petani di Sabak Bernam. Beliau kuat kepada pegangan agama hingga dapat gelaran Ustaz Durani tetapi itu tidak menjadi hal pada anak muda yang peramah dan suka berjenaka itu.

Durani tidak minat memancing sama ada memancing di laut mahu pun sungai. Beliau tidak seperti rakannya yang lain yang sudah menganggap joran pancing adalah rakan kedua mereka.

Hari itu hari minggu. Darus, Ramli dan Roslan mengajak Durani pergi ke hulu Sungai Bernam untuk berjumpa rakan lama yang masih menetap sebagai pemancing udang galah. Durani bagaikan terpanggil untuk ke hulu Sungai Bernam, walau pun rakan di sana belum dikenalinya.


Menaiki tiga buah motosikal mereka menuju ke lokasi, cerita Darus yang turut sama dalam kumpulan itu. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam itu mereka merempuh hujan panas dan petanda ini kurang menyenangkan hati Durani.

Mereka singgah di sebuah warung apabila hujan semakin lebat. Di warung itu mereka memesan minuman panas dan nasi lemak. Perempuan tua yang menguruskan warung berkenaan tertarik dengan tingkah laku Durani yang sentiasa menghormati orang tua berbanding dengan rakannya yang lain.

“Anak ni nak ke mana,” tanya orang tua itu kepada Durani.

Ramli menjawab pantas. “Kami nak ke hulu Sungai Bernam. Nak jumpa kawan. Kenapa mak cik?” tanya Ramli bagaikan ingin tahu. Tetapi orang tua itu tidak minat dengan pertanyaan Ramli malah dia terus bertanya Durani.

“Anak ni yang makcik tanya, sebab ada istimewa padanya,” kata pengusaha warung berkenaan.

“Wow!” jerit Ramli menepuk bahu Durani yang masih mendiamkan diri.

“Engkau bertuah Durani. Ke mana saja engkau pergi sentiasa diminati orang. Sampaikan kat sini pun engkau jadi juara,” semua senyum memandang Durani dan sesekali mengerling makcik yang menggelengkan kepala.

Sambil memberi nasihat, perempuan tua itu cuba menghalang kumpulan berkenaan daripada meneruskan perjalanan ke hulu Sungai Bernam jika berlaku hujan panas kerana hujan itu petanda kurang baik.

Durani sedikit sebanyak termakan nasihat makcik itu, kerana beliau sering mengamalkan petua sebagai ikhtiar berjaga-jaga terutama ketika memulakan perjalanan.

Rakan lain berkeras untuk meneruskan perjalanan. Lalu, Durani terpaksa mengikut saja. Hujan panas masih terus turun dan keadaan jalan yang berlumpur sudah mula licin lagi berbahaya.

Durani bercadang untuk berpatah balik saja dan berehat di warung makcik, tetapi rakannya tidak setuju. Mereka meneruskan perjalanan. Durani yang menunggang motosikal seorang diri tiba-tiba enjinnya mati. Sejurus kemudian muncul makcik pengusaha warung bersama seorang lelaki tua (mungkin suaminya) memandu kereta lama datang memberitahu rakan Durani yang mereka sudah salah memilih jalan. Mereka terbabas dalam gaung, cerita Darus lagi. Mereka kemudian diselamatkan oleh kedua-dua orang tua yang memiliki kekuatan sungguh luar biasa dan ganjil.

“Kami terus dibawa ke warung. Tetapi dalam sekelip mata Darus yang sedang merawat rakannya yang lain tiba-tiba mereka merasakan sedang berada di kawasan bawah pokok rendang.

“Mana orang tua yang tolong kita tadi? Bukan tadi mereka hantar kita kat warungnya? Mana warung tu?” Mereka hairan dan berpandangan sesama sendiri.

Durani yang turut menemui rakannya terus berusaha mendapatkan bantuan, sambil itu hujan panas masih turun.

Bagi Durani, dia tidak tahu mengenai warung, perempuan tuan itu mahu pun mengenai dua orang tua yang menyelamatkan rakannya. Tetapi, apa yang dia tahu rakannya tersesat jalan lalu ke dalam gaung kecil dan dia terselamat lalu membantu rakan-rakannya.

Darus sendiri menganggap itu satu misteri yang benar-benar berlaku. Dia sendiri merasakan peristiwa itu wujud tetapi ke mana hilang punca.

“Itulah misteri namanya,” kata Durani sambil melafazkan syukur Alhamdulillah.

Tuesday, 22 December 2009

:: Memujuk dengan nasi berkunyit

Teratai terkuak ditabur nasi kunyit

Oleh Sabaruddin Abdul Ghani

TIGA malam berturut-turut beliau bermimpi kanak-kanak bermain di sebuah kolam dan ada antara mereka memberi makan ikan. Indah sungguh kawasan kolam itu ibarat taman bunga raja zaman dulu kala. Harum semerbak memenuhi persekitaran.

Apabila terjaga, beliau terasa tangan kanannya seakan-akan menggenggam sesuatu tetapi tiada apa-apa yang digenggam kecuali berbau hanyir seperti bau ikan. Beliau termanggu seketika dan segera memberitahu bapa saudaranya yang baru selesai menunaikan solat Subuh, demikian kata Wak Mashud (bukan nama sebenar) membuka cerita.

Berkerut dahi bapa saudaranya apabila mendengar kisah mimpi yang diceritakan itu. Berkali-kali lelaki itu bertanya benarkah apa yang dikatakan itu. Maklumlah ketika itu Wak Mashud baru berusia 12 tahun. Orang tua itu kurang percaya kalau-kalau beliau berbohong, cerita Wak Mashud lagi mengimbau kisah lama sekitar 1950-an.

“Seminggu sebelum itu, bapa saudara wak memberitahu hasratnya untuk memancing di Lubuk Lela di Sungai Lipis, Pahang. Musim kemarau panjang ketika itu menyebabkan air sungai berkenaan surut dan cetek. Memang sesuai untuk memancing.

“Lubuk itu menjadi idaman nelayan sungai dan kaki pancing untuk mendapatkan ikan baung tetapi tidak berani kerana banyak mainan makhluk halus seolah-olah tidak suka kehadiran manusia di situ,” kata Wak Mashud yang kini berusia 70 tahun.

Yakin dengan mimpi itu, bapa saudara Wak Mashud membuat persiapan untuk menguji lubuk berkenaan. Orang tua berdarah campuran Melayu dan Bugis itu yang setiap perbuatannya berlandaskan gerak hati mengarahkan Wak Mashud mengajak kawannya, Shuid Kidal ikut sama memancing.

Wan Muliman, bapa saudara Wak Mashud selalu mengajak Shuid Kidal menjala atau memancing di Sungai Lipis yang mengalir merentasi Pekan Benta. Keserasian antara dua sahabat itu ibarat kapur dengan sirih atau aur dengan tebing. Perwatakan Shuid Kidal yang sederhana membuatkan jalinan persahabatan mereka berdua terlalu akrab.

Selepas sarapan pagi pada hari ditetapkan, Wan Muliman, Wak Mashud dan Shuid Kidal bertolak dari rumah mereka di Ladang Budu (Budu Estet) Benta, Pahang menuju ke lokasi. Wak Mashud yang belum pernah dibawa makan angin seronok membonceng basikal bapa saudaranya itu.

Dalam perjalanan kira-kira 200 meter untuk sampai kawasan lubuk berkenaan, mereka berselisih dengan seorang wanita tua yang membawa bakul rotan penuh berisi pucuk paku.

Wan Muliman memberi salam tetapi perempuan tua itu cuma tersenyum.

Sebaik melepasi sebatang pokok terap, bau haruman semerbak menyelubungi persekitaran.

Wan Muliman memberi isyarat kepada Wak Mashud supaya berdiam saja.

“Sebaik sampai di tempat dituju, kami mendirikan pondok pisang sesikat di bawah sebatang pokok kepayang sebagai tempat memancing. Shuid Kidal mendahului kami melabuhkan joran di lubuk berkenaan.

“Namun, sebaik wak melontarkan umpan menggunakan kail batang buluh, kelihatan pokok teratai satu demi satu timbul di permukaan air. Lama kelamaan, lubuk itu dipenuhi dengan tumbuhan itu. Wak terlopong melihatkan kejadian aneh itu,” cerita Wak Mashud lagi sambi kami menghirup kopi di sebuah warung di Kampung Tanjung Pari, Baling, Kedah baru-baru ini.

Melihatkan keadaan yang pelik itu, Wan Muliman mengajak Shuid Kidal dan Wak Mashud berehat di pondok. Shuid Kidal disuruh memasak nasi kerana kebetulan hari sudah menjelang tengahari.

“Ini petanda awal mainan penghuni di sini cuba menguji kita. Jangan risau, mereka cuma mahu bergurau. Insya-Allah, kita akan pulang dengan hasil tangkapan yang banyak,” kata Wan Muliman sambil memerhatikan Shuid Kidal menyalakan api untuk memasak nasi.

Ketika mereka menikmati makan tengah hari itu dengan lauk ikan sardin goreng berlada dan ikan masin, sepasang rama-rama sebesar tapak tangan budak bercorak songket hinggap di bahu kanan Wan Muliman.

Setelah selesai makan, lelaki tua berusia 60 tahun itu menggenggam nasi yang digaul kunyit tumbuk lalu ditaburkan ke dalam lubuk berkenaan. Sejurus kemudian, pokok teratai yang sebelumnya bertaut memenuhi permukaan air akhirnya terlerai merapati tebing sungai.

Shuid Kidal yang faham sangat dengan tindakan Wan Muliman itu segera melabuhkan kailnya.

Wak Mashud yang tidak mengerti apa-apa turut mencuba nasib. Nah! Seekor ikan baung sebesar lengan menggelupur di hujung tali kailnya. Wan Muliman pada kedudukan di sisinya menepuk bahu anak saudaranya itu.

“Ada masanya kita harus dipercayai pada mimpi. Tetapi semuanya dengan kuasa Allah dan kita tidak boleh terlalu taksub. Tengok Shuid tu, nampaknya dia sedang bertarung untuk menjinakkan habuan. Minta-minta baung jugalah akan mengena.”

“Betul tu Pak Wan. Kita balik lewat sikit Pak Wan. Ikan tengah kemaruk ni,” kata Wak Mashud yang semakin teruja dengan keadaan pelik yang belum pernah dialaminya itu.

Wan Muliman bukan seperti orang lain. Beliau tidak tamak. Sebelum senja, mereka sudah berada di rumah. Jiran dapat juga merasa keenakan ikan baung dan kelah yang diberi Wan Muliman dan Shuid Kidal. Wan Muliman memang suka bersedekah. Baginya, sedekah itu sebahagian daripada ibadat.

Peristiwa aneh terus menjejaki Wan Muliman. Suatu pagi ketika beliau menyelak tudung saji untuk menikmati sarapan pagi, terhidang gulai baung masak asam tempoyak berserta ulam pucuk tumbuhan hutan.

Sejak peristiwa itu, ahli keluarga Wan Muliman yang memancing di Sungai Lipis tidak pulang kehampaan. Pernah suatu ketika dua kawan anak lelakinya merajuk tidak mahu memancing kerana sangat kecewa kail tidak disentuh ikan, sedangkan anak Wan Muliman lenguh tangan melayan ikan yang silih berganti mengena mata kail.

Malah, dalam apa juga keadaan sama ada pagi, tengah hari, petang atau malam, anak Wan Muliman yang memancing di sungai berkenaan pasti menjinjing pulang habuan lumayan. Paling tidak dua tiga ekor baung atau kelah dibawa pulang.

Wak Mashud, anak saudara paling disayangi Wan Muliman tahu serba sedikit misteri Sungai Lipis. Pernah beberapa nelayan sungai yang menjala pada waktu malam mengalami peristiwa pelik apabila jala koyak rabak sebaik ditarik naik dari dasar sungai tetapi bukan disebabkan tersangkut pada batu atau tunggul kayu.

“Dengar cerita, Lubuk Lela sekarang tidak lagi sekeras dulu. Pemancing bebas memancing tetapi ikan baung dan kelah semakin pupus dan sukar dicari.

“Seperkara yang menarik di sungai berkenaan ialah mempunyai pari yang menghuni di beberapa lubuk berhampiran Ladang Budu. Jika ingin merasa kelazatan pari sungai, pemancing boleh mencuba di tempat itu,” kata Wak Mashud menutup cerita.

Monday, 21 December 2009

:: Bau bedak sejuk

Pontianak berang dilontar batu

Oleh Zahar Ali


RAMAI pemancing pasti akan berdepan dengan pelbagai ujian dan pengalaman sepanjang mereka menceburkan diri sebagai pemancing sama ada suka, duka dan kadang-kadang aneh serta tidak kurang yang kelakar.

Ini adalah satu pengalaman penulis yang tidak dapat dilupakan apabila terserempak dengan makhluk Allah yang lain ini ketika memancing di Sungai Pulau Kerengga, dekat Marang, Terengganu pada 2000.

Ceburan air di suatu sudut penghujung sungai betul-betul mengejutkan penulis yang sedang berjalan merentasi jambatan untuk menghantar pesanan makanan yang dipinta oleh tetamu di resort tempat penulis mencari rezeki. Terdetik di kepala penulis betapa rakusnya pemangsa meragut enak anak ikan di permukaan air. Jelas sekali-sekala kelibat merah sisiknya. Penulis pasti itu ikan siakap merah.


Sungai yang menghubungkan Kuala Merchang ini dinamakan Sungai Pulau Kerengga. Oleh kerana terbinanya resort yang terkenal dengan gelaran Marang Resort & Safari maka sungai ini diberi nama jolokan Sungai Safari.

Selesai menjalankan tugas harian, penulis menyusun rancangan untuk menduga penghuni sungai itu bersama rakan sekerja iaitu Man Rimau dan Jeri yang sememang kedua-duanya pemancing tegar. Jam 3 petang, penulis terus pulang ke rumah dan bersiap untuk mencari umpan yang ketika itu amat mudah dicari berikutan hujan sering melanda kawasan itu beberapa hari sebelumnya.

Tiga kali tangguk, Man Rimau berjaya mengisi balang kosong dengan lebih kurang empat puluh ekor anak ikan sepat. Kami tersenyum puas. Umpan sudah tersedia. Kami pulang ke rumah untuk berehat sementara menunggu air pasang petang kira-kira jam 7 malam. Tepat 6.30 petang, penulis sampai ke tebing sungai sementara menunggu rakan lain. Penulis mencuba teknik casting menggunakan gewang. Balingan pertama disambar dengan kuat seekor ibu toman yang akhirnya tewas selepas pertarungan selama 20 minit. Tujuh kilogram lebih, itulah berat yang dicatat. Teriakan rakan penulis memecah sunyi petang di sungai itu.

“Rimau kau! Tak tunggu aku pun.”

Man Rimau yang memang sudah menjadi trade marknya untuk ayat yang tak sepatutnya diucapkan pada sesetengah tempat.

“Apalah kau ni Man. Sebut ‘datuk’ (harimau) pulak. Bila dia datang, semua lari tak cukup tanah,” kata penulis.

Pusingan pertama kami berjaya menaikkan empat ekor siakap mereka bersaiz sederhana. Aksi tarik-menarik dan bunyi kekili membuatkan kami tidak berganjak dari tempat itu.

Sehingga jam 9 malam, semuanya sunyi. Tiada lagi aksi tadi dan anak ikan menghilangkan diri. Sambil merebahkan badan, penulis menyalakan rokok. Sesekali mata menjeling hujung joran usang yang setia berkhidmat begitu lama. Sememangnya jenama Shimano menjadi pilihan penulis untuk bertarung baik di sungai atau pantai.

Satu denyutan dapat dilihat pada hujung joran. Penulis lantas bingkas bangun untuk melibas getaran itu. Bengkok 45 darjah dibuatnya. Libasan penulis mengena. Adegan tarik-menarik berlaku. Besar juga rezeki aku ni, bisik hati penulis.

Kekili dipusing dengan cepatnya. Sampai ke tebing, penulis terpinga-pinga kerana hanya tempurung kelapa yang tersangkut pada mata kail.

Masing-masing resah melihat kejadian itu. Penulis mengandaikan itu berlaku secara kebetulan. Penulis terus memancing dengan membetulkan mata kail dan melontar semula umpan ke perut sungai.

“Har, bau bedak sejuk siapa yang pakai ni?” tanya Man Rimau pada penulis. Memang sedari tadi penulis juga terhidu bau yang sama tetapi cuba mendiamkan diri.

“Tak ada apalah Man. Agaknya bau sampah. Kau ni, mulut tak ada insuran,” penulis cuba menenangkan yang lain. Jeri sudah lama terlena kesan daripada kesunyian aksi.

“Har! Baunya makin kuat dan macam dekat sangat dengan kita. Aku rasa tak sedap hatilah. Jomlah balik,” Man Rimau bersuara dengan dahinya yang berkerut.

Berbekalkan apa yang pernah dipelajari sebelum ini, penulis mengambil anak batu dan mengucapkan ‘siapalah kau, aku nak tengok kewujudan kau’. Anak batu itu penulis baling ke perut sungai. Seketika itu tiada apa-apa yang berlaku.

“Man! Kejutkan Jeri. Kemaskan barang,” penulis memberi arahan. Satu suara mengilai nyaring dapat kami dengar dengan jelas.

“Man! Jangan berpecah dari aku. Jalan seiring, jangan pandang atas, dia memang ada,” penulis mengingatkan rakan lain.

“Macam mana ni? Aku rasa dia marah kat engkau. Tadi kau cabar dia,” Man mengeluh. Penulis hanya membalas dengan mendiamkan diri.

Berderap-derap bunyi batu sepanjang jalan kami pijak ketika mengundur diri dari tebing sungai.

Tiba-tiba kami diteduhi oleh satu bayang makhluk yang besar kembang di atas kepala kami. Bayangnya melitupi cahaya bulan di atas kami. Dari ekor mataku, jelas kelihatan wajah busuk seorang perempuan yang berpakaian koyak dan berselirat dengan kain putih yang lusuh, mengembangkan tangannya meredah angin sambil menampakkan kemarahannya pada penulis.

“Ya Allah, andainya ini dugaan-Mu padaku, jadikan aku orang yang tetap imannya dan matikanlah aku di kalangan orang diterima taubatnya,” penulis berdoa sambil memegang bahu rakan menuju ke kereta.

Akhirnya kelibat pontianak itu tidak kelihatan lagi. Sepanjang jalan pulang, kami hanya membisu dan terkunci lidah untuk berkata-kata. Peristiwa itu masih segar dalam ingatanku hingga hari ini. Bagaimanapun penulis masih lagi tidak serik untuk berkunjung ke sana.

Bagi penulis, bumi Allah ini bukan untuk kita saja. Ada bahagian untuk makhluk lain dan kita sebagai manusia mempunyai hak terhadap sebahagian kecil daripadanya. Wallahualam.

Sunday, 20 December 2009

:: Renungan mampu membakar

Iblis siat kulit pokok terap

Oleh Sabaruddin Abd Ghani


DALAM perjalanan menaiki sampan dari Kuala Ketil menuju ke lubuk Batu Berarak di Sungai Sedim dekat Kampung Sidam, perasaan Wahab agak gugup. Fikirannya terbayang kisah yang menyeramkan pernah berlaku di kawasan lubuk berkenaan.

Bukan dia takut kepada gangguan iblis dan syaitan tetapi hakikatnya gangguan tegar yang di luar dugaan boleh membuatkan seseorang, terutama yang lemah semangat dirasuk atau kena histeria.

Dia membayangkan apa akan terjadi sekiranya seorang daripada mereka yang tengah asyik memancing tiba-tiba dirasuk dan terjun sungai! Musibah menunggu mereka. Tapah di lubuk itu pula dikatakan rakus membaham tanpa mengenal mangsa.


“Awat diam saja ni? Kurang sihat atau takut?,” kata ayah Wahab, Zakaria atau nama panggilannya Pak Ya Pacak memecah kesunyian sambil mengusap kepalanya. Fikiran Wahab yang sejak tadi diulit keresahan hilang serta merta. Dia bagaikan disuntik semangat baru.

Kira-kira jam 5 petang, mereka tiga beranak iaitu Wahab, Hassan (abang Wahab) dan Pak Ya Pacak sampai di lokasi. Demi keselamatan, mereka memilih kawasan tebing agak tinggi bagi mengelak gangguan atau ancaman sang bedal.

Setelah khemah ala kadar sekadar melindungi daripada kedinginan embun pagi siap terpacak, tiga beranak itu pun memulakan misi menjejak penghuni lubuk berkenaan. Sambil memerhatikan joran yang mula meliuk-liuk, mata Wahab melilau memantau persekitaran.

Ketika itu musim kemarau. Air sungai jernih dan mengalir lesu. Persekitaran di daratan penuh dengan pepohon besar merendang selain ditumbuhi semak dan belukar membuatkan hatinya berbisik dengan perkara yang bukan-bukan. Antara yang nyata iaitu binatang berbisa seperti ular tedung selar dan yang fantasi ialah kehadiran makhluk halus menghantui fikirannya.

Namun, perasaannya terpujuk apabila menyedari keampuhan ilmu ayahnya pasti mampu berdepan dengan apa juga bentuk mainan makhluk halus. Kalau dia hilang sabar, berselerak penunggu dikerjakannya.

“Ketika itu, lubuk berkenaan memang banyak udang galah dan baung tetapi ada benda yang selalu mengusik. Pokok rendang tempat bergayut pokok tanduk rusa menjadi persinggahan langsuir.

“Sebab itu, orang dulu tidak berminat mengambil pokok tanduk rusa untuk dijadikan hiasan di rumah,” kata Wahab yang pakar memancing udang galah menceritakan kisah Lubuk Batu Berarak yang penuh misteri 15 tahun lalu.

Wahab kini menetap di Kampung Padang, Kulim dekat Kuala Ketil. Namun dia sukar untuk melupakan peristiwa pernah dialaminya itu. Mungkin orang tidak percaya tetapi dia sendiri melihat apa yang berlaku itu di depan matanya. Menyeramkan!

Menjelang senja, habuan diperoleh Wahab dan Hassan cukup lumayan. Udang galah sebesar lengan budak dan baung berkulit kuning tanah bersilih ganti meragut umpan. Wahab saja berjaya mendaratkan lapan udang galah dan enam baung. Hassan pula berpuas hati dengan lima baung dan tujuh udang galah tidak termasuk ikan kurang komersial seperti lampam, tilapia dan kaloi.

Sejurus selepas Wahab menggantikan umpan baru, permukaan air di lubuk itu beralun agak kuat. Dari pengelihatannya disinari cahaya bulan separuh penuh, permukaan air lubuk itu mengeluarkan gelembung udara sebesar bola tenis.

Serentak itu, jorannya disambar sesuatu hingga melentuk hampir mencecah air. Wahab segera mengawal permainan tetapi terasa bebanan yang tersangkut berat seperti menarik seekor anak lembu.

Dia bagaikan tidak percaya. Jantungnya seakan-akan mahu berhenti berdenyut apabila melihat kelibat satu objek berwarna putih seperti ikan belida sebesar paha tersangkut pada mata kailnya.

Peliknya, cubaan Wahab menjinakkan ikan itu gagal apabila tali seperti terlucut setiap kali digulung. Akhirnya, terasa tali kail ringan dan tiada bebanan. Objek itu ghaib entah ke mana.

Ketika dia dan Hassan bangun untuk memberi tahu ayahnya di khemah yang baru selesai solat Maghrib, tiba-tiba terdengar bunyi libasan kuat di kawasan lubuk itu. Kedua-duanya teruja dengan fenomena yang belum pernah dilihatnya itu, Wahab dan Hassan memberanikan diri memerhatikan kejadian menyeramkan itu.

Bunyi libasan itu jelas kedengaran seperti ekor ikan besar atau papan memukul permukaan air. Percikan air hasil daripada libasan itu memenuhi ruang lubuk berkenaan. Namun, tidak kelihatan ekor ikan pun yang melibas.

“Arwah ayah yang faham sangat dengan gangguan seperti itu terus berdayung di pinggir lubuk. Dia kemudian memacakkan sebatang galah buluh ke dalam sungai. Sejurus kemudian, lubuk itu kembali tenang.

“Bagaimanapun, ikhtiar yang dibuat arwah ayah saya itu tidak terhenti di lubuk itu saja. Ketika kami makan malam berlaukkan baung dan udang panggang, iblis di seberang tebing di sebelah sana pula mengganggu," cerita Wahab lagi.

Gangguan kali ini tidak kurang hebatnya. Bunyi ribut seperti menumbangkan pokok dan mematahkan dahan. Ia bagai mahu mencabar kejantanan Pak Ya Pacak. Namun, orang tua itu tidak hilang punca. Cuma dengan berdiri seperti bertafakur menghadap ke arah tebing seberang sana, bunyi gangguan seperti ribut itu tiba-tiba berhenti.

Keesokan harinya, ketika mereka bersiap untuk pulang, Wahab terpandang sebatang pokok terap yang tersiat kulitnya seperti dipanah petir. Agak lama dia merenung ke arah pokok itu.

Wahab faham apa yang berlaku. Dia berasa bertuah dapat menimba pengalaman yang mungkin orang lain belum mengalaminya. Mungkin juga peristiwa itu atas kehendak Tuhan yang mahu menyedarkan manusia mengenai kewujudan makhluk lain di dunia ini selain manusia.

Bapa kepada empat anak itu juga pernah teruji ketika memancing di Sungai Muda dekat Bumbung Lima, tahun lalu. Ketika dia dan tiga rakan lain asyik melayan kail untuk menjinakkan udang galah, tiba-tiba terasa perahu yang mereka naiki dilanggar sesuatu bentuknya seperti balak.

Dia tidak berani menyuluh. Tindakan menggunakan sesuatu yang boleh mengeluarkan cahaya bagaikan memanggil sang bedal. Buaya cukup pantang melihat sesuatu yang bercahaya apatah lagi lampu picit. Jika nasib kurang baik, dengan sampan sekali dilibas pasti berkecai!

Selain dijadikan santapan untuk keluarga, udang galah yang dipancing Wahab dijual kepada seorang pengusaha restoran masakan ikan segar di Karangan, Kulim. Harga yang dijual amat lumayan iaitu antara RM40 dan RM50 sekilogram.

“Mereka yang ingin memancing udang galah harus mengamalkan beberapa petua atau pantang larang antaranya jangan sesekali meletakkan pendayung atau galah melintang perahu. Seelok-eloknya diletakkan dalam keadaan membujur.

“Berdasarkan pengalaman saya, petua atau pantang larang ini elok diamalkan supaya tidak diganggu buaya atau kejadian lain yang boleh mengancam nyawa,” kata Wahab lagi.

Saturday, 19 December 2009

:: Seminggu di perkampungan bunian

Wan Man bergendang di kampung bunian

Oleh Amran Abdullah


SUNGAI Rompin bukan saja tersohor dengan udang galah dan puluhan spesies ikan air tawar tetapi menempatkan pelbagai spesies hidupan bercengkerang seperti kepah, kupang dan siput.

Mencari hidupan ini sebagai mata pencarian atau dijadikan lauk nasi bukan saja digemari penduduk setempat, sebaliknya mengundang orang luar.

Hujung minggu, Sungai Rompin dikunjungi pengunjung sejauh Labis, Johor Bahru, Melaka, Seremban dan Negeri Sembilan semata-mata mencari spesies hidupan yang boleh dimakan.

“Kau tak pernah ke sana?” kata Wan Man kepada Busu yang sekian lama menetap di Kampung Kijing dekat Marang, Terengganu.

“Aku tak pernah cari itu semua. Lagipun aku hanya minat memancing di Kuala Ibai...itu saja,” celah Busu.

“Kalau macam itu kau ikut aku ke Kuala Rompin,” balas Wan Man.

“Tak jauh dari sini, lima atau enam jam memandu sampailah kita. Berbaloi ke sana,” kata Wan Man lagi.

“Banyak udang galah kat sana. Dengan membaca Joranpun kita dah tau macam mana hebatnya udang galah Rompin,” balas Busu.

Busu bersetuju mengikut Wan Man. Kepah yang dikutip Busu dan Wan Man besar-besar belaka. Hitam berkulit keras, malah terdapat kulit kepah yang sudah berlumut hijau. Tanda betapa lama kepah itu yang sudah bersarang di perdu buminya.

Memang kepah di Sungai Rompin menghuni kawasan berselut dan berpasir seperti itu.

Wan Man terus mengutip dan Busu pula leka mengorek pasir dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain.

“Kalau tidak terpisah, jumpa kat kereta pukul 5 petang,” balas Wan Man.

Busu mengangguk dan bersetuju. Banyak kawasan yang diteroka mereka.

Wan Man tidak muncul jam 5 petang seperti dijanjikan. Jam 6 petang juga tidak kelihatan kelibat Wan Man. Keadaan itu meresahkan Busu.

“Dia datanglah sekejap lagi...” bisik hati kecil Busu menyedapkan dirinya sendiri.

Hari keenam Wan Man tidak muncul benar-benar membimbangkan Busu. Sejak enam hari itu juga usaha mencari Wan Man dipergiatkan.

“Banyak kepah kat situ,” kata Wan Man.

Busu masih bingung dengan kelibat Wan Man yang tidak ditemui. Usaha digerakkan mencarinya. Tanpa diduga dan disangka pada hari ketujuh, Wan Man muncul dengan keadaan sihat dan tersenyum. Dia tidak pula kelihatan letih atau ada tanda calar-calar di tubuh. Ilmu apa yang dipakai dimiliki oleh Wan Man, fikir Busu.

“Sedang aku leka mencari kepah bersaiz pinggan kecil, aku terserempak dengan empat anak gadis berkemban sedang mandi di muara Sungai Puteri, tempat aku mencari kepah tu.

“Terkejut juga kerana pada masa sekarang, mana ada lagi anak gadis mandi di sungai dan berkemban,” cerita Wan Man.

“Habis tu,” celah Busu ingin mengetahui lebih lanjut.

“Empat gadis tu, tunjukkan lagi aku tempat iaitu lubuk kepah yang lebih banyak dan lebih besar. Dengan aku berjanji akan memberikan sebahagiannya kepada mereka,” cerita Wan Man.

“Apa lagi aku bagi dan mereka mengajak aku ke kampung dan rumah mereka. Setiap seorang mengajak berkunjung ke rumah mereka. Aku dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dengan kepah yang aku ambil, mereka memasaknya.

“Aku juga dibawa berjumpa dengan ketua kampung dan penduduk di situ. Semuanya ramah-ramah belaka. Keesokannya aku dijamukan dengan pelbagai kuih-muih dan tarian tradisional. Termasuk gendang tradisional

“Habis apa kau buat?” tanya Busu minta kepastian.

“Kau tahu minat aku. Selain memancing, aku juga suka bergendang, Apa lagi aku belajar dengan anak-anak muda di kampung itu. Keadaan itu menyebabkan aku leka,” katanya.

Permainan gendang tradisional dan mempelajari muzik-muzik tradisional menyebabkan Wan Man semakin leka. Selain kelekaan mencari kepah bersaiz besar, Wan Man juga seronok bergendang.

Bakat yang ada pada diri Wan Man juga sangat digemari dan disenangi pemuda di kampung itu. Hinggalah menyebabkan ketua kampung mempelawa Wan Man untuk bermalam saja di kampung itu. Malah ketua kampung mengajak menetap lama di situ.

Suatu petang hampir senja, Wan Man keluar berseorangan dan melaung-laung nama Busu. Wan Man baru sedar yang dia tersesat di kampung orang bunian yang terletak di Kampung Sungai Puteri dekat Sungai Rompin. Memang dia leka mencari kepah bersaiz besar.

Berita kepulangan Wan Man heboh diperkatakan orang. Dia yang disangka hanyut dibawa arus, pulang dengan sihat. Busu cukup gembira mendengar berita itu.

Wan Man terus mengorak senyuman. Di hatinya, terngiang-ngiang untuk kembali ke Sungai Puteri untuk bertemu semula empat gadis itu sambil bermain gendang dan mengalunkan muzik tradisional. Minatnya itu tidak akan dihentikannya.