Friday, 18 December 2009

:: Jangan kacau kami

Penunggu pindahkan pemancing dalam lubuk

Oleh Nuri Angkasa


"HATI-HATI... lubuk itu ada penunggu. Jangan buat tak menentu, cakap jangan lepas," demikian pesan Pak Dolmat kepada kumpulan pemancing yang singgah mengisi perut di warungnya sebelum bergerak ke Lubuk Bujang Jantan di hulu Sungai Kelantan.

Menaiki tiga buah motosikal, mereka berlima orang meninggalkan Kuala Balah menuju ke lokasi, cerita Faizal kepada penulis yang berada di Dabong dalam satu temu janji yang di buat melalui telefon, baru-baru ini. Dabong satu daerah di Hulu Kelantan yang sudah membangun berbanding pada tahun 1950-an. Ketika itu penulis berada di sana dalam D Kompeni Batalion Ke-3 Askar Melayu DiRaja untuk menjalankan tugas operasi dalam kawasan berkenaan.

Lubuk Bujang Jantan adalah satu lubuk besar di hulu Sungai Kelantan. Lubuk itu terkenal dengan ikan baung, patin dan kelah selain lampam, sebarau, tengas dan jelawat. Lokasi itu tidak selalu dikunjungi pemancing kerana kedudukannya agak jauh dan keras (ada penunggu). Faizal anak jati Dabong tetapi sudah bekerja di Kuala Lumpur. Sebaik mengambil cuti panjang, beliau mengumpulkan rakan pancing lamanya untuk pergi memancing di Lubuk Bujang Jantan.


Melalui jalan yang sudah tidak begitu sukar dari Kuala Balah yang mengambil masa hampir dua jam, mereka selamat sampai di lokasi. Lubuk kelihatan tenang tetapi sesekali dikejutkan dengan lompatan ikan sebarau dan lampam. Mereka tidak terus memancing kerana khemah perlu didirikan terlebih dulu.

Kamal diberi tugas memasang kerana beliau adalah anggota tentera yang sedang bercuti. Sebaik selepas makan tengahari. Yazid dan Daud paling awal mencari kedudukan di tebing sungai berlubuk itu. Tiada pemancing lain pada ketika itu. Ini sedikit mengusik hati kecil mereka. Tetapi keberanian dan semangat yang ada pada ketika itu membuatkan mereka dapat bertahan hingga malam yang mula didatangi perubahan.

Sesekali bertiup desiran angin yang datang tidak menentu, sesekali ada bunyi air lubuk bagaikan dilambung ke udara. Sesekali juga berbunyi suara nyaring dan halus. Kamal yang bersikap garang dan berani itu bersuara agak kuat: “Janganlah kacau, kami datang nak mencari rezeki, kami tak ganggu siapa pun.”

Mereka terus memancing dalam satu kumpulan yang berdekatan dengan diterangi cahaya lampu karbait dan unggun api yang masih menyala di tengah kawasan perkhemahan. Aneh, cuma anak ikan ikan yang dapat mereka daratkan sepanjang waktu memancing yang bermula dari petang hingga tengah malam.

“Apa yang tak kena! saya bertanya sendiri,” cerita Faizal lagi sambil menambah bahawa pada malam itu mereka terus diganggu. Ikan patin dan baung bersaiz besar langsung tidak mahu menyentuh umpan terbaik yang mereka bawa iaitu ulat sagu.

Kelibat bayang-bayang lembaga sesekali terlihat antara permukaan air di lubuk dan berterbangan lalu hilang. Suasana sepi semula. Mereka mengambil keputusan untuk berehat dalam khemah tetapi dikejutkan sekali lagi. Kali ini terdengar salakan anjing yang panjang.

Petanda tentunya ada yang dilihat oleh binatang itu. Justeru dalam keadaan bimbang dan takut itu, mereka membaca ayat Kursi manakala Kamal marah-marah sambil menepuk tanah dan bersuara dengan kuat.

“Kenapa masih ganggu kami ! Kenapa? Apa salah kami!” Kamal kemudian berdiri sambil memandang sekeliling lalu menyambung dengan suara sedikit menurun. “Kami tak ganggu kamu...”

Suasana kemudian menjadi sepi dan tenang semula. Namun mereka tidak meneruskan aktiviti memancing lalu mengambil keputusan untuk berehat tidur. Namun lebih mengejutkan apabila esok paginya mereka semua tidak ada dalam khemah. Masing-masing beralih tempat. Faizal berada di bawah pokok ketapang. Yazid dan Daud di tepi gigi air di sudut sebelah barat lubuk. Ali di atas pokok manakala Kamal berada di tengah-tengah lubuk masih terbaring atas papan tebal.

Kamal mereka selamatkan dan pulang dengan membawa mesej bahawa Lubuk Bujang Jantan memang ada penunggu. Namun misteri itu terus tenggelam apabila lubuk itu tidak lagi dikunjungi pemancing, demikian cerita Faizal sambil menamatkan cerita dengan menjamu nasi dagang di warung Pak Dolmat yang sepanjang masa tersenyum melihat kami. Tentu ada yang tersurat dan tersirat bagi orang tua itu.

Thursday, 17 December 2009

:: Wanita berkemban muncul


Disapa Nenek Mukut penjaga gunung Tioman

Oleh Amran Abdullah


BUDIN banyak menyaksikan keindahan Pulau Tioman melalui kaca televisyen. Malah terdetik hatinya pada satu hari nanti untuk ke pulau itu.

Lebih menarik dan mengasyikkan lagi apabila Budin mengidamkan untuk memancing ikan bersaiz besar seperti rancangan pancing yang dilihatnya di peti televisyen itu.

“Besar ebek tu. Ikan tenggiri pun bersaiz XL,” bisik hati kecil Budin.

Budin kerap kali juga memancing. Namun itu semua dilakukannya di pesisir pantai. Budin tidak pernah memancing di laut terbuka menggunakan bot.

Budin kali ini bertekad dan menyatakan hasrat itu kepada Salleh, rakan pancingnya. Salleh adalah kawan rapat. Dia juga sangat aktif memancing di laut lepas. Sidek, rakan rapat pemancing itu juga bersetuju mengikut Budin dan Salleh.

Kepakaran Salleh memang diakui rata-rata kaki pancing di kampungnya. Nama Salleh meniti dari bibir ke bibir sebagai seorang yang handal memancing di laut.

Salleh seperti juga Budin, dia hanya mendengar keindahan Pulau Tioman tetapi tidak pernah berkunjung ke sana.

Bertemankan Sidek, Budin dan Salleh menyediakan segala kelengkapan termasuklah makan dan minum. Hasrat mereka hanya satu menuju ke Pulau Tioman untuk memancing.

Ketiga-tiga sahabat ini memilih Kampung Mukut di Pulau Tioman sebagai destinasi bermalam selama berada tiga hari di pulau peranginan itu. Malah dari kampung itu juga ketiga-tiganya akan bertolak untuk memancing ebek atau tenggiri di luar perairan Taman Laut itu.

“Semua boleh bertolak jam 7 pagi esok... selepas sarapan pagi.” kata tekong muda di tempat mereka menginap.

Menunggu keesokan paginya, Sidek, Budin dan Salleh tidak melepaskan peluang memancing di hujung jeti Kampung Mukut, tempat mula-mula mereka sampai.

Banyak ikan yang mengena tetapi belum sebesar ebek yang ditonton Sudin melalui kaca tv. Banyak lolong dan pelaling.

“Banyak juga ikan di sini. Mungkin tak ramai yang memancing selain kita bertiga.” seloroh Salleh sambil disambut ketawa dua rakannya.

Di luar sedar ketiga-tiga pemancing itu, tiba-tiba muncul seorang wanita berkemban lalu menyapa mereka yang asyik memancing dengan lembut.

“Banyak dapat ikan, nak?” tanya wanita tua itu.

Budin yang menyedari sapaan itu terus menjawab, mendahului rakannya yang lain.

“Banyak juga, tapi kami baru saja memancing di sini.” balas Budin.

“Baguslah tu. Tapi jangan ganggu kawasan ini. Nanti ikan-ikan di sini lari ke tempat lain.” balas nenek tua itu.

Budin, Sidek dan Salleh memerhati sama lain sambil memandang ke arah nenek tua.

“Baik nek!” balas Budin cepat dan memandang nenek tua berkemban itu turut turun ke kawasan pinggir pantai dan mandi.

Namun selepas itu semakin banyak pula Budin, Sidek dan Salleh memperoleh ikan.

Tangkapan ebek juga turut memuaskan hati ketiga-tiga pemancing itu, Mereka sangat gembira dan berpuas hati dapat datang ke Pulau Tioman dan memancing di situ.

“Siapa nenek tua tu?” tanya Sidek kepada tekong muda, pemandu bot mereka.

“Nenek tua mana?” balas tekong muda dan ini menimbulkan kehairanan kepada Sidek, Budin dan Salleh.

“Mandi berkemban di depan kami semalam?” balas Sidek yang juga semakin kehairanan.

“Kampung ini sudah tidak ada wanita tua. Yang ada remaja wanita dan isteri orang yang menjaga chalet dan tempat penginapan itu,” jawab tekong muda.

Tekong muda menjelaskan lagi: “Ramai wanita tua di sini sudah menetap bersama anak mereka di Mersing atau Tanjung Gemok. Kat sini payah kalau sakit pening...”

“Tuan-tuan bertuah kerana dapat bertemu Nenek Semukut, penjaga gunung Pulau Tioman.

“Nenek Semukut hanya dapat ditemui oleh orang-orang tertentu saja, dan boleh bertemu pemancing pada waktu senja dekat hujung jeti. Itu kerana dia turun mandi laut sekali-sekala? jelas tekong muda itu.

Penjelasan tekong muda itu, menghilangkan rasa resah dan keraguan ketiga-tiga sahabat pemancing itu.

“Sekarang sudah tidak ada lagi wanita berkemban ketika mandi di Pulau Tioman. Ini termasuklah anak muda,” balas tekong muda.

“Patut juga banyak ikan di sini, lebih banyak dari dalam tv tu,” kata Budin dalam hati.

Wednesday, 16 December 2009

:: Arwah hantar ikan sembilang

Arwah rakan beri ikan sembilang

Oleh Saiful Bahrin Mohd Shariff

TRAGEDI ini terjadi 17 tahun lalu. Hobi memancing adalah lumrah aktiviti kami. Di sini, ingin penulis ceritakan pengalaman peribadi hampir 20 tahun yang lalu.

Kami terdiri daripada enam orang sahabat yang amat meminati memancing dan bersukan. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan 1989. Kumpulan kami terdiri daripada Pak Su, Man, Amir, Sham, penulis dan Rahmat. Lokasi yang kami tuju ialah Pantai Bersih, Bagan Ajam dekat Butterworth, Pulau Pinang.

Pada awal 1987, penulis menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Shah Alam selama tiga tahun. Ketika itu terbantutlah segala aktiviti memancing buat seketika. Sehinggalah pada cuti semesta, penulis bercuti sebulan untuk menunggu keputusan peperiksaan.


Penulis pun pulang ke kampung untuk menghabiskan cuti yang agak panjang. Pada suatu petang, penulis turun ke padang untuk bermain bola bersama rakan sekampung. Hampir waktu Maghrib kami berhenti bermain sambil berehat di tepi padang. Penulis tertanya sesuatu pada rakan mengenai gerangan Hamid (bukan nama sebenar). Kenapa beliau tidak ada bersama petang itu. Selalunya beliau akan bermain di posisi sayap kanan. Oleh kerana soalan demi soalan aku ajukan, barulah Pak Su menyatakan bahawa Fandi sudah meninggal dunia empat bulan yang lalu akibat jatuh dari bumbung rumah. Penulis terasa amat simpati dan sedih atas kehilangan beliau.

Pada suatu hari, kami merancang untuk memancing seperti biasa di Pantai Bersih. Segala rancangan diatur dengan baik. Kami difahamkan ketika itu adalah musim sembilang. Kali ini, tinggal kami berlima saja tanpa kehadiran arwah Fandi.

Perjalanan kami dari rumah untuk ke lokasi hanya 45 minit dengan berbasikal. Kami tiba di Pantai Bersih jam 10.30 malam. Pada mulanya kami duduk setempat. Selepas satu jam berlalu, cuma anak gelama yang sudi menjamah umpan.

Pak Su dan Man pun menukar tempat ke lokasi lain. Tinggallah penulis, Amir dan Rahmat dalam kedudukan berhampiran. Masa terus berlalu. Penulis mula terasa bosan. Akhirnya penulis mengambil keputusan menukar tempat duduk ke lokasi lain tidak jauh dari Amin dan Rahmat.

Pak Su dan Man entah ke mana. Hanya lampu pelita mereka yang nampak samar-samar dari jauh. Jam di tangan menunjukkan hampir 2.20 pagi. Hasil tangkapan kurang memuaskan.

Oleh kerana amat bosan, penulis menghisap rokok demi menghalau nyamuk dan agas yang mengganggu telinga. Tidak semena-mena. ada orang datang menghampiri aku dengan membawa beberapa ekor ikan semilang besar-besar belaka. Orang itu menegur penulis mengenai hasil tangkapan yang diperoleh.

Dengan hati sedikit kecewa penulis menjawab: “Takde apa.”

Lalu orang itu pun meletakkan ikannya yang besar dan agak banyak di sebelah penulis. Orang itu kemudian meminta rokok daripada penulis. Dengan tanpa bicara, penulis pun menghulurkan rokok dari poket baju kepadanya. Seketika kemudian, penulis terfikir sejenak dalam keadaan samar-samar siapalah beliau. Setahu penulis, rakan tidak ada seorang pun rakan penulis yang merokok melainkan Pak Su. Tetapi Pak Su hanya menghisap rokok daun nipah. Namun dia entah di mana bersama Man malam itu.

Hati penulis mula goyah dan gelabah. Daripada segi fizikal dan suara, orang itu amat penulis kenali. Setahu penulis, arwah Hamid memang merokok. Lalu penulis bertanya pada beliau: “Hang siapa?”

Orang itu menjawab: “Aku Hamid... kawan hang. Takkan dah tak kenal kot!”

Penulis terus terasa seperti hendak pitam. Tubuh terasa sejuk dan pucat. Cepat-cepat penulis terus bingkas dan berlari meninggalkan orang itu bersama peralatan pancing. Penulis terus mengayuh basikal sepantas yang boleh untuk pulang ke rumah. Keesokan harinya rakan lain datang ke rumah untuk bertanyakan hal semalam dan kenapa penulis pergi meninggalkan mereka tanpa memberitahu sesiapa pun.

Dalam keadaan badan terasa demam, penulis menceritakan peristiwa semalam yang dialami. Semua rakan kehairanan dan terpinga-pinga antara percaya dengan tidak. Suatu perkara yang meyakinkan penulis iaitu suara dan bentuk badan Hamid yang agak jelas sekali malam itu.

“Orang itu memakai kemeja-T putih lengan panjang,” cerita penulis lagi.

Kini hampir 20 tahun berlalu. Penulis pun sudah berumah tangga. Malah tugasan memisahkan penulis dengan rakan sekampung lain dan kami jarang dapat melakukan aktiviti memancing bersama. Namun kini hanya anak penulis sebagai teman memancing di ketika masa lapang. Kami akan ke kolam pancing komersial di sekitar Butterworth dan Pulau Pinang.

Tuesday, 15 December 2009

:: Siapa yang menemaninya memancing ?

Makhluk menyerupai sepupu temani Hazwan

Oleh Nuri Angkasa


HAZWAN memang tidak minat langsung untuk turut sama dengan kawan-kawan turun memancing sama ada di sungai, tasik lombong, kolam mahu pun di laut. Ceritalah apa pun mengenai keseronokan bertarung dengan ikan yang tersangkut di mata pancing atau bertarung dengan ikan bersaiz XL namun semua itu tidak langsung menarik minat Hazwan.

Bagaimanapun beliau tetap mempunyai seorang kawan baik yang sentiasa bercerita mengenai hobi memancing. Setiap hujung minggu atau hari kelepasan am, Hazwan sering keseorangan kerana rakannya sentiasa keluar memancing.

Masa terus berlalu. Tetapi sejak kebelakangan dia sendiri rasa tercabar apabila sepupunya, Shakila pulang dari Amerika menunjuk minat memancing yang serius walau dalam keadaan berdepan dengan kesibukan dengan kerja dalam sebuah syarikat swasta.


Shakila ketika belajar di luar negara sering turun memancing dan bermalam di tengah laut bersama rakan pelajarnya. Menyedari adanya perasaan malu setelah beberapa kali dipelawa oleh Shakila, lalu beliau menyahut pelawaan Shakila kerana ingin membuktikan bahawa dia bukan seorang lelaki yang penakut untuk turun memancing.

Seminggu selepas itu, Hazwan sudah berada dalam kumpulan rakan pancingnya yang turun memancing di tasik lama di pedalaman hutan simpan Manong, Perak. Hazwan diajar oleh rakan yang lain mengenai teknik memancing yang betul dan kemudian meneruskan aktiviti dengan sendiri.

Ketika di hutan Simpan Manong, Hazwan terus memancing walaupun ramai rakannya sudah mula berehat dalam khemah kerana sudah lewat malam. Satu jam selepas itu keadaan sekeliling menjadi sepi tetapi Hazwan tidak merasa takut walaupun dia seorang saja yang masih memancing dengan ikan tidak seberapa yang dia dapat. Dalam keadaan sunyi dan sesekali angin lembut bertiup, Hazwan terkejut apabila muncul Shakila dengan tiba-tiba lalu menceritakan bahawa dia dengan dua rakan pancing yang lain sedang berada di hujung tasik sebelah hulu tetapi tidak berapa jauh dari khemah rakan Hazwan.

Shakila mempelawa Hazwan untuk berpindah ke lokasi berkenaan yang didakwa ada banyak ikan. Hazwan tanpa banyak bicara terus pergi mengikut sepupunya ke lokasi yang sudah dibanjiri oleh ramai pemancing dalam keadaan terang benderang dan sesetengah daripada mereka sedang bersuka ria sambil minum dan makan.

“Itu kawan-kawan Shaki. Mereka ke sini bukan saja nak memancing tapi mereka nak berseronok,” Shakila menerangkan pada Hazwan apabila dilihat Hazwan mula sangsi.

Hazwan diajar oleh Shakila cara memancing. Gadis itu memberikan sebungkus mata kail untuk diikat pada tali sebagai perambut. Selepas itu mereka mencuba lalu berhasil mendaratkan ikan yang bukan sedikit. Hazwan bagaikan lupa diri dan Shakila terus melayan hingga masa sudah begitu lama berlalu lalu mereka keletihan dan tertidur.

Esoknya, awal pagi sebelum terbit matahari perkhemahan rakan Hazwan menjadi gempar. Mereka mendapati Hazwan hilang dari khemah malah hilang dalam kawasan memancing di tepi tasik yang berdekatan. Mereka terus mencari dan akhirnya terjumpa Hazwan yang masih terlena di tepi tasik yang agak jauh sedikit dari perkhemahan mereka.

Hazwan dikejutkan tetapi dalam keadaan antara jaga dan tidur dia bertanya mengenai Shakila yang didakwa ada bersama memancing dengannya malam itu. Lantas dia turut menunjuk sebungkus mata pancing dan ikan yang dipancing bersama pada malam itu.

Memang dakwaannya terbukti dengan barang-barang yang masih ada bersamanya. Peristiwa itu tidak berkubur di situ saja kerana sekembalinya daripada memancing Hazwan terus ke rumah Shakila. Dia menceritakan apa yang berlaku.

Shakila terkejut kerana beliau ada di rumah pada malam berkenaan. Persoalannya - siapa yang yang bersama dengan Hazwan memancing di tasik pada malam itu? Bagaimana dengan mata pancing yang masih ada bersama Hazwan? Misteri ini tidak berjawab hingga hari ini tetapi nyata ada makhluk yang menyerupai Shakila menjadi teman memancing Hazwan sebagai membuktikan cabaran bahawa beliau tidak penakut untuk turun memancing.

Sunday, 13 December 2009

:: Perumpun menyesatkan

Sesat cari perumpun di Sungai Derhaka

Oleh Saiful Baharin Mohd Shariff


KALAU tidak silap penulis, peristiwa itu berlaku pada 1997. Ketika itu, penulis baru menceburi hobi memancing udang galah. Lokasi terbaik memancing udang galah ialah di Sungai Permatang Bendahari, Penaga. Ketika itu, penulis baru berjinak-jinak belajar memancing udang galah.

Suatu hari ketika cuti hujung minggu, penulis diajak oleh Pak Jang Mat bersama abangnya, Cha, untuk mencari perumpun. Oleh kerana perumpun agak sukar diperoleh maka kami pergi mencarinya sendiri untuk disimpan.

Inilah pengalaman pertama baru penulis untuk mencari perumpun. Untuk mencarinya, bukan mudah seperti disangkakan. Kami terpaksa menempuhi segala onak dan duri dalam hutan nipah tebal.


Tempat yang paling sesuai untuk mendapatkan perumpun adalah di Sungai Derhaka, dekat Kota Kuala Muda, Kedah. Di sana jarang orang masuk ke hutannya. Lagi pun hutan nipah di situ tebal dan berselang-seli dengan pokok bakau. Nyamuk dan agas cukup banyak.

Ketika mencari perumpun, Abang Cha berpesan supaya kami jangan berpecah. Penulis tidak tahu langsung bagaimana hendak mencari perumpun. Hanya Pak Jang dan Abang Cha yang tahu.

Sebab kurang yakin untuk mendapatkan perumpun, penulis menukar fikiran untuk cari siput belitong yang bertenggek di dahan nipah dan datang bakau. Hasilnya cukup lumayan. Sedang asyik mencari siput belitong, penulis terserempak dengan seorang lelaki yang agak aneh.

Dari segi pakaian agak kusam berwarna hitam seolah-olah pakaian lama seperti filem ‘Dupa Cendana’. Dia mengandar bungkusan pakaian yang diikat pada sebatang kayu dikandar serta bertopi mengkuang seperti tudung saji.

Lalu penulis menegur beliau namun tidak dijawab. Lantas beliau terus hilang dari pandangan. Agak pantas dia bergerak di celah hutan nipah yang tebal itu. Tidak jauh dari saya, kelihatan Pak Jang Mat.

Ketika kami berhenti berehat, penulis bertanya Pak Jang adakah beliau perasan kelibat orang tua tadi.

“Ada juga,” kata Pak Jang.

“Tapi dia pergi ke mana?”. Kami ajukan soalan pada Abang Cha pula. Namun dia tidak nampak kelibat orang tua itu sedangkan beliau berada di sebelah Pak Jang Mat tadi.

Lantas beliau menegur kami supaya jangan menegur atau bertanya jika ada apa-apa yang pelik berlaku. Bermula jam 10 pagi kami meredah hutan nipah, tanpa disedari jam di tangan menunjukkan jam 1.45 petang.

Abang Cha mengajak kami pulang kerana hari mulai petang. Dalam mencari jalan keluar, kami bertiga sesat entah ke mana. Tiada lagi kedengaran bunyi kenderaan yang lalu-lalang ataupun bunyi enjin bot menyusur masuk atau keluar melalui anak sungai . Kami pelik. Penulis mulai cemas. Kami mencari lagi lorong yang kami masuk tadi. Namun tak jumpa. Lebih menghairankan lagi bagaimana terdapat satu kawasan lapang seperti baru ditebas. Seolah-olah kawasan itu diratakan.

Kami sudah tidak tentu arah mencari jalan pulang. Kami hanya mengharapkan Abang Cha. Akhirnya kami menemui sebatang anak sungai. Nasib kami kurang baik kerana ketika itu air mulai pasang dan menutupi sebahagian hutan nipah. Kami tidak dapat menjejaki jalan keluar. Air mula naik ke paras lutut. Lalu Abang Cha suruh kami membuang semua siput yang ada. Kami terpaksa meranduk air yang kian meninggi. Penulis macam hendak menangis tetapi cuba menyembunyikan perasaan itu. Di dalam hati, Allah saja yang tahu.

Akhirnya kami berjaya mencari jalan keluar atas pengalaman Abang Cha. Barulah kedengaran bunyi kenderaan yang lalu lalang. Air pasang meningkat ke paras dada. Semua dokumen pengenalan diri dan pakaian kami, basah.

Ketika kami sampai di rumah Abang Cha dan selesai membersihkan diri, barulah kami berbual semula mengenai kejadian tadi. Persoalannya di sini, bagaimana kemunculan orang tua tadi sedangkan penulis dan Pak Jang nampak jelas. Malah bagaimana dia dapat meredah hutan nipah dan bakau tebal dengan begitu pantas tanpa halangan. Sedangkan kami terhegeh-hegeh dan terkial-kial untuk melepasi diri daripada dahan nipah serta selut yang agak lembut. Malahan kulit-kulit siput berselerak serta akar-akar bakau berceracak. Bagaimana pula kami tidak sedar air pasang mulai naik. Lebih aneh lagi terdapat suatu kawasan lapang tanpa pohon nipah dan bakau di tengah-tengah hutan nipah.

Sehingga kini, kejadian itu masih bermain di benak penulis. Inilah pengalaman penulis yang pertama dan terakhir untuk mencari perumpun di Sungai Derhaka. Mengikut cerita orang, Sungai Derhaka keras dan berpuaka. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Saturday, 12 December 2009

:: Makhluk lain berwajah Mat Beruang

Mat Beruang muncul dua wajah

Oleh Nuri Angkasa


BOLEH dikatakan pelbagai cerita yang didengar malah beberapa peristiwa aneh berlaku di hulu Sungai Bera, Pahang pada ketika itu yang dialami sendiri oleh kaki pancing yang tidak mengenal erti takut atau putus asa.

Ini dialami kumpulan lasak enam anak muda tempatan dari Felda dekat Bera diketuai seorang pemuda serba boleh yang mahu dikenali sebagai Mat Beruang (nama di kalangan kaki pancing).

Ruangan Misteri kali ini mengimbau semula peristiwa silam yang pernah berlaku pada kumpulan lasak ini ketika berada di lokasi di hulu Sungai Bera suatu ketika dulu. Kisahnya membabitkan kejadian ribut besar yang berlaku di kawasan itu sebaik saja kumpulan enam orang itu meninggalkan tempat berkenaan.


Hari itu selepas solat Zohor, khemah masih belum didirikan. Namun tapak untuk bermalam di tepi sungai yang sesuai untuk melabuhkan joran pancing sudah dikenal pasti. Makanan ringan dan nasi lemak yang dibawa dari luar sudah mula dijamah tetapi aktiviti memancing belum diberi lampu hijau oleh Mat Beruang.

Ketika itu, tiada kumpulan pemancing lain di kawasan berkenaan walaupun hari itu hujung minggu. Lazimnya, ramai kaki pancing datang di lokasi memancing itu walaupun jauh dari kawasan kampung pedalaman.

“Dia orang tidak ada maka lebih banyak rezeki dapat kita ambil dari Sungai Bera ini,” kata Kidam sambil ketawa besar. Mat Beruang agak gelisah kerana dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena. Dia bangun dan berjalan-jalan di tepi sungai sambil melihat arus air yang sederhana dan memandang sekeliling. Dia kemudian memandang rakan-rakannya.

Kidam yang terlepas cakap sebentar tadi merasa bersalah jika kata-katanya itu menimbulkan marah pada Mat Beruang. Dia segera minta maaf kepada Mat Beruang kemudian duduk semula bersama rakannya yang lain. Namun Mat Beruang masih terus mundar-mandir di tepi tebing sungai yang menghala ke hulu.

Kidam, Borhan dan Sabri terus membiarkan Mat Beruang yang mempunyai kerja berlainan pada setiap kali turun memancing.

“Dia tahu apa yang dia buat. Kita jangan bimbang. Kita tunggu saja di sini. Jangan pancing dulu,” kata Borhan yang sudah mengenali Mat Beruang sejak kecil lagi.

Terasa desir angin bertiup perlahan tetapi tidak semua dahan pokok bergoyang. Masing-masing terus mendiamkan diri. Borhan memandang arah hulu Sungai Bera tempat Mat Beruang menghilangkan diri dari pandangan. Dalam kelibat yang pantas Mat Beruang muncul dengan wajah sedikit berlainan lantas mengarahkan rakannya segera meninggalkan lokasi itu, demikian cerita Ali yang turut sama dalam kumpulan itu.

“Kami bergegas meninggalkan lokasi itu bersama Mat Beruang tanpa bercakap sepatah pun. Tetapi gerak laku Mat Beruang yang berjalan di hadapan agak berlainan. Dia langsung tidak memandang kami apatah lagi bersuara. Kami selamat sampai di hujung sebuah kampung yang bukan jalan kami mula masuk ke lokasi hulu Sungai Bera.

Kami membasahkan tekak di sebuah warung minum kepunyaan penduduk tempatan. Tetapi Mat Beruang sekali lagi menghilangkan diri. Kidam dan Borhan menggelengkan kepala melihat telatah Mat Beruang yang tidak pernah diam.

Dalam keadaan yang serba aneh itu tiba-tiba datang ribut menerpa disusuli guruh dan hujan lebat turun dengan lebatnya. Kami basah kuyup walau pun berada dalam warung. Dua jam hujan tidak berhenti, air mula naik di kawasan warung itu.

“Ke mana Mat Beruang ni,” kata Kidam dengan nada bimbang. Tetapi orang tua pemilik warung itu menegaskan bahawa tiada Mat Beruang. Cuma mereka berlima saja. Semua berpandangan antara satu sama lain. Dalam keadaan bimbang dan cemas itu Mat Beruang muncul kepenatan sambil bersuara kuat.

“Kenapa kamu tinggalkan aku ! Kamu nak suruh aku mati dalam ribut banjir di lubuk tu ke?” kata Mat Beruang sambil terduduk penat. Dia memesan teh tarik panas. Semua terdiam dan berpandangan.

“Engkau yang bawa kita orang ke sini,” Borhan bersuara, cerita Ali lagi.

Mat Beruang naik angin. Marahnya bertambah dan suaranya tambah lantang: “Aku kamu tinggalkan seorang diri meredah balik dalam ribut banjir yang hampir membunuh aku, kamu kata aku yang bawa kamu balik ke sini. Kamu dah gila,” Mat Beruang rebah pengsan dan sebaik terjaga d rumahnya dalam keadaan masih lemah dia mendapat mimpi bahawa ada lembaga menyerupainya menyelamatkan rakan pancing keluar dari kawasan itu lebih awal.

Namun Mat Beruang boleh berdepan dengan masalah itu walau terpaksa bertarung dengan kekuatan amalan dan semangatnya, kerana Mat Beruang ada amalan tersendiri. Semua menarik nafas panjang, Ali menamatkan cerita misteri banjir ribut di hulu Sungai Bera. Tetapi siapa yang membawa kumpulan lasak keluar dari hulu sungai itu? Jawapannya terus terpendam hingga kini.

Friday, 11 December 2009

:: Diajak kanak2 terus hilang

Kahar berkelah dengan kanak-kanak di tepi tasik

Oleh Sabaruddin Abd Ghani

SUDAH beberapa kali Kahar mengajak kami meredah puncak Bukit Raya di Kampung Budu dekat Kuala Lipis, Pahang. Konon katanya, di situ terdapat banyak pokok salak berbuah dalam pelbagai perisa. Beriya-iya dia memujuk tetapi kami tidak berapa yakin. Ramai penduduk memberi tahu seperti dakwaan Kahar tetapi apabila pergi, tiada sepokok salak pun dijumpai.

Yang pergi cuma dapat letih. Bukan mudah untuk meredah banjaran bukit berbatu dan berhutan tebal itu. Pernah terjadi beberapa penduduk lari berselerak apabila terserempak seekor pak belang menyergah mereka.

Bukit Raya bukan saja kaya dengan khazanah alam, malah mempunyai keistimewaan tersendiri. Kalau pergi dengan niat jahat maka padah ganjaran diterima dan begitulah sebaliknya.


Begitu lebih kurang cerita Bang Judin (bukan nama sebenar) mengimbas kembali kisah bukit itu yang keadaannya seperti banjaran gunung menghiasi pemandangan latar beberapa kampung lain seperti Kampung Jerangsang, Tanjung Besar, Kemahang, Chat dan Tualang Padang.

Berbalik kepada kisah asal, Bang Judin berkata, Kahar yang belum pernah menjejakkan kaki di puncak bukit itu berhasrat benar suatu hari nanti akan melakukannya. Banyak kisah aneh yang didengar mempengaruhi dirinya untuk menjelajah bukit terkenaan.

Suatu hari, Kahar yang ketika itu sudah beristeri dan mempunyai dua anak pergi ke rumah Wahab Tongkat Ali. Lelaki agak berusia ini mendapat gelaran demikian kerana sering mencari akar kayu, terutama tongkat Ali di lereng bukit itu bagi tujuan perubatan.

Kedatangan Kahar ke rumah Wahab Tongkat Ali bertujuan memberitahu sesuatu. Dia yakin perancangan kali ini pasti menjadi. Selain Judin, Wahab Tongkat Ali juga minat memancing.

Seorang lagi, Daud Londeh juga tidak boleh diperkecilkan kepakarannya memancing. Kahar perlu mendapatkan keyakinan Wahab Tongkat Ali kerana dalam kumpulan sahabat memancing itu, lelaki yang arif dengan spesies tumbuhan hutan itu adalah anggota paling senior dan disegani ahli lain.

“Dua hari selepas itu, Pak Wahab datang ke rumah saya. Dia memberitahu ada projek baik di puncak Bukit Raya. Katanya, terdapat kawasan seperti tasik di situ yang dihuni pelbagai jenis ikan.

“Agak tersentak mendengar ceritanya. Setahu saya tiada kawasan berair di di kawasan puncak bukit itu. Saya yakin Kahar yang mengada-adakan cerita bagi menarik minat orang tua itu,” kata Bang Judin yang kini menetap di Yan, Kedah.

Meneruskan cerita, Bang Judin yang menganggotai kumpulan memancing Grup Ligat (GL) itu akur dengan cadangan Pak Wahab untuk menjejak lokasi baru itu. Antara percaya dan tidak percaya, Bang Judin yakin sesuatu pasti berlaku atas kehendak Allah.

Ditambah pula mereka sudah lama berehat kerana ketika itu Pahang dilanda musim tengkujuh yang tidak mengizinkan mereka memancing di sungai, membuatkan pelawaan Pak Wahab itu diterima Judin; ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.

Setelah tercapai kata sepakat, kumpulan GL diketuai Wahab pun bertolak ke destinasi.

Mereka yang tinggal di Kampung Tanjung Besar memilih Kampung Kemahang sebagai laluan menjejak lokasi.

Lebih kurang dua jam perjalanan melepasi Taman Rekreasi Bukit Tacing di Kampung Kemahang, Wahab dan anak buahnya berasa seakan-akan hilang arah. Namun, dalam usaha menentukan arah perjalanan sepatutnya diteruskan, Kahar terpandang suatu kawasan berpaya di sebelah kanan arah laluan.

“Yakin dengan lokasi itu menjanjikan habuan berbaloi, kail berumpankan lipas dilemparkan ke dalam kawasan berpaya seperti tasik kecil itu.

“Bagaikan tak percaya, cuma mengambil masa kira-kira 10 minit umpan pertama dilabuhkan, saya dan Daud Londeh lenguh tangan melayan kemaruk ikan meratah umpan,” kata Bang Judin.

Ketika asyik melayan joran yang tidak henti direntap mangsa, Daud Londeh bertanyakan Bang Judin di mana Kahar memancing. Meskipun Daud bimbangkan keselamatan rakannya itu terancam kerana sejak tadi tak nampak batang hidungnya, Bang Judin selamba memberitahu yang Kahar mengikut Wahab memancing di kawasan sebalik pokok pisang hutan.

Ketika dua sahabat itu bersiap-siap pulang ke khemah untuk menyediakan makan tengah hari, Bang Judin terkejut mendengar Wahab berdeham dengan pelbagai jenis akar kayu tergalang di bahu.

“Eh, bukan tadi Pak Wahab pergi memancing dengan Kahar di kawasan sebalik pokok pisang hutan di sebelah sana itu. Mana Kahar?

“Niat aku ke sini untuk mencari akar kayu. Kahar tak ikut aku. Tak tahulah ke mana dia pergi. Bertenang, kita sama-sama cari dia,” balas Pak Wahab sambil merenung Bang Judin dan Daud Londeh yang kelihatan resah.

Agak lama juga mereka menggeledah sekitar kawasan pokok pisang hutan itu tetapi gagal menemui Kahar. Teringat usaha paling berkesan perlu dilakukan, Wahab melaungkan azan ke arah kiblat.

Pencarian diteruskan semula dan akhirnya Kahar ditemui terlena di celah perdu pokok pisang dalam keadaan santai dengan roti, tin sardin, bungkusan mi segera dan air oren bagaikan terhidang di sisinya.

Siapa lelaki sebaya Wahab Tongkat Ali yang mengajak Kahar memancing di kawasan yang dia disembunyikan itu? Dan kenapa Wahab lebih berminat mencari akar kayu? Persoalan itu yang sehingga kini hampir 20 tahun kisah itu berlaku tidak dapat dilupai Bang Judin.

Mengenai pokok salak yang dikatakan aneh itu, sebenarnya memang tumbuh tetapi bukan semua mereka yang menjelajah bukit berkenaan berpeluang menemuinya. Buahnya dalam setandan yang dikatakan berperisa manis madu, masin dan tawar mendorong penduduk setempat mencarinya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Bang Judin berkata Kahar yang seakan-akan tersasar arah dibawa seorang lelaki tua ke kawasan tasik berair biru. Ketika terpesona menikmati keindahan tempat itu, tangan Kahar ditarik seorang kanak-kanak lelaki untuk sama-sama berkelah di situ.