a. Cara berpakaian semasa mereka berjampi
Biasanya semasa berjampi Tok Bomoh atau Tok Pawang yang bersahabat dengan khadam ini memakai pakaian khas, antaranya seperti :-
i. Memakai baju dan seluar yang bewarna hitam dengan melilit kain hitam di kepala atau
memakai tengkolok bewarna hitam dan sebagainya.
ii. Memakai jubah. Kadangkala bewarna putih dan kebiasaanya bewarna kuning, kononnya dia dari keturunan raja. Terdapat juga yang memakai jubah hijau kononnya beliau bersahabat dengan Jin Islam.
iii. Terdapat juga yang berpakaian baju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok atau berketayap.
iv. Ada juga yang berambut panjang, yang kononnya beliau berketurunan dari Jawa, Sumatera dan sebagainya.
b. Mengubat Pesakit dengan Cara Menurun/Menyelap.
Sebelum menurun biasanya Tok Bomoh akan membaca beberapa serapah, jampi atau mentera tertentu dan ada kalanya membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terdapat juga yang memegang keris dan mengasapkanya pada asap kemian. Dalam beberapa saat sahaja masuklah Jin ke dalam tubuh Tok Bomoh tersebut. Ada yang mengeletar, ada yang berguling-guling dan sebagainya, ketika di masuki oleh Jin khadam mereka itu.
Suara dan raut wajah mereka juga akan bertukar. Sesetengahnya kelihatan sangat tua dan berkedut, manakala suara mereka juga terketar-ketar dan sangat perlahan dan adakalanya susah untuk di fahami, ini kerana Jin sahabat mereka itu sudah tua. Matanya kadang-kala pejam dan suka tunduk ke bawah. Suara juga sudah berubah dan mengikut jenis dan dari tempat mana Jin itu berasal. Kalau Indonesia, ia akan bercakap bahasa Indonesia atau bahasa Jawa, begitulah seterusnya. Biasanya ucapan Jin tersebut di mulai dengan katanya... " Assalamualaikum, apa hajat
cucu ku datang ke mari / memanggil ku ? "
c. Tanpa Menurun / Menyelap
Terdapat juga Tok Bomoh yang mempunyai khadam daripada gulungan Jin yang memanggil Jin khadam mereka tanpa menurun. Cara rawatan tersebut dapat dilakukan dengan berbagai cara
antaranya :-
a. Dengan meletakkan air, limau dan sintuk atau barang-barang lain yang difikirkan perlu di hadapannya.
b. Terdapat juga Tok Bomoh jenis ini yang menilik terlebih dahulu, seperti dengan menggunakan limau dan menggolekkanya atau membelahnya kemudian dilepaskan kedalam air dan melihat limau tersebut samada terbalik atau tertiarap. Mereka juga kadangkala menggunakan mangkuk yang diisikan dengan air sambil menilik dan membuat ramalan. Terdapat juga Tok Bomoh yang menggunakan jarum yang diletakkan di atas air dan jarum tersebut akan berpusing dan sebagainya.
d. Membelah Batin.
Pertolongan daripada khadam juga digunakan oleh Tok Bomoh-Tok Bomoh yang dapat
membelah batin pesakitnya tanpa menggunakan sebarang alatan pembedahan seperti pisau dan sebagainya. Walaupun kadang-kala Tok Bomoh jenis ini juga menggunakan pisau tetapi tiada kesan luka yang dapat di lihat di badan pesakit. Pesakit akan merasai seolah-olah seperti di bedah dan dapat merasai kesan darah dan sebagainya. Setelah selesai melakukan pembedahan batin ini, Tok Bomoh tersebut biasanya akan menggunakan daun sireh atau limau nipis untuk
menyempurnakan pembedahan ghaibnya.
Sebenarnaya kita boleh menggunakan Khadam dalam melakukan pekerjaan kita dengan syaratsyarat
berikut, antaranya :-
1. Tidak terikat dengan mana-mana syarat daripada Khadam
2. Tidak menggunakan Tanasukh Aruah ( Menurun )
3. Kelakuan yang tidak menyalahi syarak ketika melakukan rawatan
4. Perawat telah mantap pegangan dan kefahaman Akidah, Akhlak dan Syariat.
Sebenarnya tidaklah salah jika kita ingin menjadi Tok Bomoh, tok dukun atau Mak idan,
malahan Islam juga menggalakkan umatnya menceburi Bidang tersebut, kerana Bidang tersebut merupakan salah satu daripada Fardhu Kifayah tetapi biarlah cara dan amalan serta kaedahnya itu merupakan sesuatu yang diharuskan oleh syarak dengan mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, bukannya yang di terima melalui mimpi, menggunakan pertolongan khadam yang terdiri daripada para Jin dan sebagainya.
Tok Bomoh yang Makan Upah.
Terdapat sejenis Tok Bomoh lagi yang amat bahaya dalam masyarakat Melayu, yang kerjanya hanyalah untuk menimbulkan kesusahan dan huru hara kepada orang lain. Tok Bomoh jenis ini lebih di kenali sebagai Tok Bomoh yang makan upah. Tok Bomoh jenis ini kebiasaannya mempunyai khadam daripada golongan Jin Islam yang fasik dan Jin Kafir serta kuncu-kuncu mereka.
Mereka menggunakan perkhidmatan Jin-Jin tersebut untuk menganiayai manusia lain atas sebabsebab
tertentu, antaranya seperti iri hati, hasad dengki atau cemburu atas kejayaan orang lain
samada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, persekolahan atau marah kepada orang atasan kerana tidak terpilih untuk kenaikan pangkat atau tidak memenangi tender dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang menggunakan Tok Bomoh jenis ini bagi membalas dendam sebab sakit hati kerana di hina, di kutuk atau kerana senda gurau yang berlebihan.
Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan perkhidmatan Tok Bomoh ini semata-mata kerana marah atau benci kepada orang lain di sebabkan kekayaan orang tersebut atau iri hati melihat orang tersebut lebih berada daripadanya atau marah kerana kesombongan orang lain terhadapnya dan lain-lain lagi,
Kebanyakan kes yang dijadikan alasan oleh sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini kebiasaanya berhubung dengan masalah rumah tangga contohnya seperti untuk menundukkan suami atau isteri yang terlalu garang, meruntuhkan rumah tangga orang lain, supaya dirinya nampak cantik dan di sayangi oleh suami ( dalam kes si suami yang berpoligami ), kerana pinangannya di tolak oleh pihak keluarga wanita atau kekasihnya di rampas oleh lelaki lain dan sebagainya.
Cara-cara Untuk Melakukan Penganiyaan.
Terdapat berbagai cara yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka. Antaranya :-
a. Menanam barang-barang Hikmat
Setelah mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini orang tersebut mestilah menanam barang-barang tertentu yang telah di puja dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti minyak dagu, minyak berpuja ( minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, di selit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia di
tabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.
b. Memuja gambar
Terdapat juga cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar, alat-alat
badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang.
c. Tuju melalui angin/makanan
Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang di sakiti dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh dengan di tuju dan di kasadkan kepada orang yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat kedalam makanan dan minuman seseorang.
d. Memuja Patung sebagai penganti orang yang di aniayai
Pemujaan patung yang di puja dan dikasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dang sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.
Kesan dan Akibat ke atas diri mangsa.
Setelah syarat-syarat yang di minta oleh Tok Bomoh makan upah ini di penuhi dan semua
peraturannya diikuti maka akan berlaku sesuatu keatas orang yang dihajati oleh si pengupah tersebut. Antara kesan dan tanda-tanda bahawa seseorang tersebut telah menjadi mangsa Tok Bomoh makan upah ini ialah antaranya :-
a. Badan sentiasa sakit menyucuk-nyucuk, anggota terasa panas, bisa seluruh badan atau
sebahagian daripada badan, badan terasa kebas dan sebagainya.
b. Perasaan menjadi resah dan gelisah, tidak boleh tidur malam, sering bermimpi yang buruk dan mengerikan, terdapat lebam-lebam bewarna biru seperti kena tokok ditempat-tempat tertentu pada badan.
c. Orang yang dianiayai akan menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan
seumpamanya.
d. Sering meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri.
e. Mengalami sakit kepala sebelah samada di sebelah kanan atau kiri.
f. Rahim terasa sakit dan kadang-kala terasa seperti hendak jatuh
g. Badan terasa berat seperti ada benda di atas belakangnya dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya.
h. Sentiasa terkenang atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah.
i. Tidak boleh duduk dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut.
j. Selalu tidak sedarkan diri dan pengsan.
k. Kadang-kala si mangsa berbau busuk di merata-rata tempat.
l. Perut mangsa menjadi buncit tanpa apa-apa penyakit. ( kata orang busung )
m. Kadang-kala kemaluan dirasakan telah berpindah ketempat lain seperti berada di dahi,
sedangkan orang lain tidak dapat melihatnya.
n. Terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan " kamu akan mati tidak lama lagi dan sebagainya.
o. Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku.
p. Sentiasa menolak pinangan yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anakteruna mereka enggan berkahwin sampai ke tua.
Tok Bomoh yang mengambil upah untuk menganiayai orang lain ini amatlah besar dosanya dan telah menjerumuskan dirinya kelembah kekafiran begitu juga orang-orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh-Tok Bomoh dari jenis ini. Kedua-dua belah pihak sama-sama menjadi kafir dan akhirnya sama-sama akan dihumbankan ke dalam neraka di hari Khiamat kelak.
Oleh itu sebagai umat Islam kita mestilah menjauhkan diri daripada Tok Bomoh-Tok Bomoh yang seperti ini. Anggaplah segala sesuatu yang berlaku keatas diri kita itu adalah merupakan takdir dan Qada dan Qadar daripada Allah. Semua kejadian itu adalah atas kehendak Allah, tentu ada hikmah dan nikmat di sebalik semua kejadian tersebut, jangan suka menaruh perasaan dendam, cemburu dan iri hati, kerana perasaan tersebut akan merusakkan diri kita sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah serentak melalui lidah, anggota, hati yang dinamakan dengan ucapan doa, teguh cita-cita dan usaha ikhtiar, kerana Dialah yang lebih berkuasa dan lebih Mengetahui segalagalanya.
Mempelajari ilmu Sihir, beramal dengannya untuk menyakiti dan mengkhianati sesama manusia, bererti mereka telah mempelajari ilmu sesat ( kufur ), berada dalam kesesatan ( kekufuran ), beramal dengan kesesatan ( kufur ), mati dalam sesat ( kufur ) dan kekal sebagai ahli neraka, selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Islam dengan ucapan dua khalimah syahadat serta taubat nasuha. Segala amalan baiknya itu akan dipindahkan oleh Allah kepada orang yang dikhianatinya. Segala kejahatan mereka yang di sihir itu di campakkan oleh Allah keatas diri penyihir sebagai tambahan kepada kejahatan yang sedia ada. Jika ditakdirkan mereka yang dianiayai itu meninggal dunia, oleh sebab beradat melalui ilmu sihirnya, maka mati orang yang di sihir itu sebagai ahli fitrah ( syurga ) dengan syarat dia telah menerima penyakit tersebut dengan penuh sabar dan bergantung harap kepada kebesaran dan keagungan Allah dengan penuh kesabaran dan penuh redha.